RnR: Tiga Artis Jadi Tukang Masak!

27 Nov

MUNGKIN ramai yang tidak tahu, pelakon kacak bertubuh sasa, Fahrin Ahmad tidak kekok di dapur.

Lagaknya di dapur ala chef terkenal dengan memakai apron mengadun kek coklat tidak kalah dengan pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja yang juga berstatus ibu anak satu.

Sharnaaz pula nampak malu-malu melayan kerenah dua artis popular, Eja dan Fahrin yang sempat usik-mengusik ketika di dapur. Eja yang juga bunga di tengah dua kumbang sudah pasti menjadi bahang usikan Fahrin dan Sharnaaz. Namun, sebagai artis lebih senior dan seperti ‘kakak’, Eja bijak mengawal keadaan sehinggalah sesi fotografi berakhir kira-kira jam 6 petang. Itulah suasana ceria yang dapat digambarkan sepanjang sesi fotografi sempena program amal, 4th Chocolate Cake Championship yang diatur di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Ketika ditemui Eja yang tampil jelita dengan busana rekaan Calvin Thoo berkata, dia tetap meluangkan masanya yang terhad untuk menjayakan program amal itu. “Ini kali kedua saya menjayakan jualan kek amal ini. Sekalipun sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod, Mantera Anjasmara, saya tetap meluangkan sedikit masa untuk program jual kek amal ini, sekali gus melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Secara kebetulan, saya memang tidak ada penggambaran drama hari ini dan apa salahnya saya menyokong acara murni seperti ini. “Saya menjayakan program ini juga atas dasar persahabatan dengan publisis popular, Bill Bora yang sudah sekian lama terjalin itu,” katanya.

Eja, 38, yang juga ibu kepada seorang anak perempuan Nur Eishal, setahun tiga bulan, mengakui naluri keibuannya terpanggil untuk membantu kanak-kanak malang.

“Saya buat program ini dengan hati yang ikhlas untuk membantu mereka dan semoga kutipan tahun keempat ini lebih besar lagi untuk mengurangkan keperitan yang ditanggung kanak-kanak kurang bernasib baik,” katanya.

Seperti Eja, Fahrin juga menjayakan program itu buat kali kedua penganjurannya. “Saya buat program ini bukan untuk keuntungan sebaliknya untuk meringankan beban kanak-kanak yang kurang bernasib baik itu. “Apabila diundang Bill, saya tidak berfikir panjang untuk buat program kebajikan itu bersama artis lain.

“Saya percaya dengan pepatah Inggeris, ‘the more you give, the more you will get back in life’,” katanya.

Sharnaaz pula baru kali pertama menjayakan jualan kek amal selebriti itu.

“Baru saya tahu ada program amal seperti ini. Saya tidak ingin melepaskan peluang untuk menjayakan acara amal ini sebagai sebahagian dari tanggung jawab kami sebagai artis yang juga ‘role model’ kepada masyarakat.

“Saya juga tidak ingin lepaskan peluang buat acara amal ini lagi pada masa depan. Saya berharap lebih ramai artis akan tampil ke depan memeriahkan lagi acara amal ini,” katanya. Sementara itu, publisis industri hiburan dan fesyen, Bill Bora dan kerjasama hotel bertaraf lima bintang menganjurkan 4th Chocolate Cake Championship itu dengan misi untuk menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak malang.

Jualan kek amal selebriti ini akan berlangsung di Great Eastern Mall, Jalan Ampang bermula jam 3 petang pada 4 Disember nanti. Menurut Bill, ia kali keempat pihaknya menganjurkan jualan kek amal selebriti itu.

“Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di luar sana mengenai nasib kanak-kanak terbiar ini.

“Anda boleh berjumpa dengan kelibat mereka di lorong gelap di sekitar Petaling Street, Jalan Tuanku Abd Rahman dan Chow Kit pada waktu tengah malam.

“Kanak-kanak terbiar ini hanya hidup di jalanan dan bukan di rumah kebajikan atau rumah anak-anak yatim yang lebih terbela nasib mereka. “Pihak kami akan serahkan hasil kutipan jualan amal ini kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang akan mengenal pasti kanak-kanak terbiar ini,” katanya.

Lebih bermakna, kata Bill, seramai 15 hotel lima bintang sekitar Kuala Lumpur akan mengambil bahagian dalam acara murni itu.

Antaranya Hotel Mandarin Oriental, Hotel Renaissance, Berjaya Times Square, Hotel Park Royal, Hotel Le Meridien, Hotel Empire, Dorsett Regency, Grand Millenium dan Holiday Inn Glenmarie.

Stesen ntv7 akan menjadi penyiar rasmi program ini manakala sepotong kek coklat ini hanya dijual pada harga RM18.

“Pada penganjuran kek selebriti amal sebelum ini, pihak kami berjaya mengutip lebih RM60,000 untuk disalurkan kepada kanak-kanak terbiar itu. “Jika kita tidak membantu kanak-kanak malang ini mereka akan mudah terjerumus dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, jenayah dan sebagainya lagi,” katanya.

Tidak lengkap jika acara amal berkenaan jika tidak dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air.

Antara 30 selebriti popular itu ialah Fahrin Ahmad, Eja, Sharnaaz Ahmad, Vanidah Imran, AC Mizal dan Amber Chia.

Tambah Bill lagi, pihak Lord’s Tailor juga akan membeli kek untuk beramal dan akan dihadiahkan kepada penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang juga pelanggan tetap mereka selama ini.

“Datuk Chef Wan akan menjadi ketua juri program itu nanti,” katanya.

Hadir sama pada petang itu ialah Pengarah Komunikasi, Hotel Mandarin Oriental, Veronica Choo dan Eksekutif Chef Pastri, Holger Deh. Holger, 38, yang berasal dari Jerman pula berkata, dia cukup teruja untuk menjayakan program amal itu.

“Ia adalah penghargaan buat saya dan pihak hotel untuk menyediakan kek coklat yang lazat bertemakan ‘Joy of Christmas’ nanti. Saya akan dibantu beberapa kakitangan untuk menyiapkan kek seberat lima kilogram itu. Jika tahun lalu kek coklat hotel kami menang tempat kedua semoga kali ini tuah akan menyebelahi kami lagi,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: