Riezman Kritik Pengarah

28 Nov

Riezman Khuzaimi dan Amy Mastura.
Riezman Khuzaimi dan Amy Mastura.
Pelakon filem Aku Tak Bodoh luah rasa tidak puas isu budaya ditangani produksi Singapura

PELAKON filem Aku Tak Bodoh, yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara, mengakui filem yang diadaptasi dari filem Singapura, I Not Stupid itu mempunyai perjalanan cerita yang menarik tetapi pengarahnya, Borris Boo tidak memanfaatkan kelebihan itu dengan menggarap karyanya mengikut acuan dan budaya masyarakat Melayu.
Kritikan yang diberikan Riezman Khuzaimi itu bersebab kerana sebagai pelakon beliau akur dengan hak pengarah, sebaliknya dia sendiri berasakan sebagai penonton yang menonton aku Tak Bodoh, dirinya tidak mencapai kepuasan meskipun ia adalah filem adaptasi daripada filem box-officed dari negara jiran itu.
“Jika mahu mengambil 100 peratus daripada skrip asal, untuk apa filem ini dibikin semula. Garapan Aku Tak Bodoh seharusnya diberi perisa tempatan tetapi sebaliknya pula berlaku. Saya sendiri tidak menemui kepuasan yang dicari kerana saya meletakkan harapan yang lebih tinggi apabila filem ini dibuat semula,” katanya ketika ditemui B’POP di Balai Berita, baru-baru ini.

Riezman berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak terikat dari segi lakonan malah gandingannya, Amy Mastura memberikan kerjasama yang baik.

Tetapi akuinya keserasian yang diharapkan tidak ditemui dengan pengarah berkenaan, lalu menimbulkan suasana kerja yang penuh tekanan kepadanya apabila menonton filem itu.

“Ada beberapa isu seperti adab di meja makan walaupun kecil tetapi bertentangan dengan amalan serta budaya masyarakat Melayu di sini cuba dipaparkan. Saya mempersoalkan beberapa tindakan Borris yang mungkin menimbulkan ketidakpuasan hati dan pertikaian penonton.

Saya tidak bersetuju kerana paparan beberapa suasana dalam filem itu bertentangan dengan budaya masyarakat tempatan.

“Saya kecewa kerana pengarah tidak melakukan ‘homework’ sebelum melangkah ke lokasi. Jangan persoalkan mengapa saya membangkitkan isu ini kerana saya juga pernah berlakon di luar negara. Saya cuba mengadaptasi dengan suasana dan budaya filem di Hong Kong ketika membintangi Shanghai Cruiser pada tahun 2000. Tetapi keseronokan itu saya tidak temui apabila bekerja dengan Borris,” katanya.

Namun, kata Riezman, amanah diberikan penerbit harus dilunaskan dengan penuh tanggungjawab, malah kepercayaan untuk membawakan watak dengan baik perlu direalisasikan biarpun laluan ke arah itu memberi tekanan cukup berat kepadanya selaku watak utama Aku Tak Bodoh.

Tekanan diterima kata Riezman, bukan daripada tuntutan karakter diberikan kepadanya kerana dia mendapat kerjasama baik daripada semua pelakon utama dan produser filem itu, sebaliknya keengganan pengarah untuk keluar daripada landasan asal filem itu dan menyesuaikannya dengan budaya masyarakat di sini memberikan tekanan hebat kepada Riezman serta pemain Aku Tak Bodoh yang lain.

Aku Tak Bodoh digarap pengarah Singapura, Borris menerusi adaptasi I Not Stupid yang diarahkan Jack Neo, empat tahun lalu.

Selain Riezman dan Amy, filem itu turut membariskan Adibah Noor, Datuk Jalaluddin Hassan, Airis Yasmin, Namron, Aeril Zafrel, Rohaizat Hassan dan Wan Nor Aizat.

Riezman berkata, kegagalan Borris memahami budaya hidup masyarakat Melayu di negara ini menyebabkan beberapa babak dalam Aku Tak Bodoh kelihatan janggal, selain pengarah itu terlalu terikat dengan naskhah asal filem itu membuatkan impak diharapkan untuk mengukuhkan perjalanan kisah filem itu gagal ditemui.

Sebagai pelakon, Riezman berkata, mereka sudah sedaya upaya membantu supaya filem itu tidak menjadi pertikaian umum apabila ditayangkan kepada orang ramai. Cadangan diberikan katanya, bukan membelakangkan peranan Borris sebagai pengarah kerana mereka masih menghormati kerja dan idea sutradara itu.

“Perlu tolak ansur supaya isu sensitif membabitkan budaya serta agama tidak dipandang ringan kerana akhirnya yang bakal dipersalahkan ialah mereka sebagai pelakon. Kelemahan Borris ialah kerana dia tidak memahami bahasa dan budaya masyarakat Melayu di sini. Apabila pemahamannya kurang, beberapa babak yang sewajarnya meninggalkan impak kepada penonton menjadi longgar,” katanya.

Difahamkan, skrip filem itu diterjemahkan oleh Hassan Muthalib untuk disesuaikan mengikut cita rasa penonton filem Melayu.

Sementara itu, Amy Mastura yang turut serta dalam temubual itu mengakui perbezaan cara bekerja antara produksi tempatan dan Singapura. Bagaimanapun, sebagai pelakon, Amy tetap menghormati peranan pengarah malah sentiasa memberikan kerjasama supaya penggambaran berjalan lancar.

Baginya, jika bersuara sekali pun bukan kerana menidakkan kreativiti pengarah sebaliknya turut sama membantu untuk menghasilkan sebuah produk yang diterima umum.

“Pelakon juga perlu menjaga nama baik dan kualiti lakonan mereka. Selebihnya terpulang kepada pengarah kerana sebagai pelakon, saya cuma menjalankan tanggungjawab seperti yang dimahukan. Saya pernah menonton I Not Stupid dan tertarik dengan jalan ceritanya yang kuat dan mempunyai kelebihan untuk mendidik masyarakat,” katanya.

Membawakan watak ibu yang sibuk dan kuat berleter, Amy berkata, lakonan baginya bukan sekadar menjadi pelengkap kepada kemunculan dalam sesebuah produksi. Akuinya, dia tidak pernah takut jika terikat dengan watak yang hampir sama malah tidak akan sesekali menolak jika peranan diberi meninggalkan impak besar kepada penonton.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: