Drama Bertaraf Filem

29 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH


AHMAD Puad Onah (berdiri enam dari kiri),(berdiri empat dari kanan) bersama para pelakon dan tenaga produksi Cikgu Kemisah Kirkby selepas melancarkannya di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

DRAMA Cikgu Kemisah Kirkby yang ditayangkan melalui saluran TV2 setiap Rabu pukul 9 malam sejak 17 November lalu merupakan antara drama bersiri televisyen (TV) tempatan yang mementingkan kepuasan penonton.

Kerana itu, Multilift Film Production (MFP) selaku penerbit drama bersiri 26 episod tersebut sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi bagi menerbitkan drama yang kosnya dikatakan mencecah RM1 juta.

Penerbit MFP, Anwar Ismail biarpun enggan mendedahkan kos penerbitan Cikgu Kemisah Kirkby, tetapi tidak menafikan ia menelan belanja yang besar kerana membina set khusus untuk pembikinan drama itu.

“Untuk pembikinan drama bersiri ini, kami telah membina sebuah rumah kayu yang besar di Desa Balqis, Kuala Linggi, Melaka. Di sana saja penggambaran drama bersiri itu dijalankan selama lebih sebulan.

“Set yang dibina khas untuk drama ini direka bagi menghidupkan jalan cerita watak Cikgu Kemisah Kirkby yang mendiami rumah tersebut,” katanya kepada Hits pada pelancaran drama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Watak Cikgu Kemisah Kirkby yang dilakonkan oleh Liza Othman itu memaparkan ketokohan seorang guru lepasan Kolej Kirkby di England dalam mendidik anak-anak bangsanya di sebuah kampung.

Meskipun cuma sekadar sebuah cerita fiksyen yang ditulis oleh penulis skrip Mahizan Husin, namun Anwar menyifatkan drama bersiri yang berkonsepkan kekeluargaan itu mempunyai taraf seperti sebuah filem cereka.

“Ini kerana, selain membabitkan kos yang tinggi dan pembinaan prob khas, Cikgu Kemisah Kirkby juga menghasilkan album lagu-lagu latar yang disiarkan menerusi drama itu berjudul Dendang Merantau nyanyian Endang S. Taurina.

“Album itu mengandungi 10 lagu dan lagu yang berjudul Cikgu Kemisah Kirkby dipilih sebagai lagu tema drama tersebut. Lagu-lagu daripada album itu bukan sahaja disiarkan dalam drama itu, tetapi ia juga dijual di pasaran.

“Sepanjang enam bulan drama 26 episod itu ditayangkan di TV2 secara tidak langsung ia akan mempromosikan album nyanyian Endang S. Taurina yang pernah popular di Malaysia dan Indonesia pada tahun 1980-an,” ujarnya.

Idea mengundang Endang terlibat sama dalam drama Cikgu Kemisah Kirkby kata Anwar tercetus sewaktu dia menyertai Program Titian Budaya di Jakarta, Indonesia pada tahun 2007.

Katanya, dia menampilkan Endang S. Taurina sebagai penyanyi lagu-lagu tersebut selepas diperkenalkan oleh rakan baiknya, John Alan Shah sewaktu menyertai program pertukaran budaya Malaysia dan Indonesia itu.

“Endang bukan sahaja sudah dikenali ramai di Malaysia dan Indonesia sejak hampir 30 tahun lalu tetapi suaranya juga mantap seperti dulu. Suaranya juga sesuai untuk menyanyikan lagu lagu tema drama ini dengan baik.

“Untuk perancangan masa depan, kami berharap drama bersiri ini juga akan dapat ditayangkan di stesen-stesen TV di Indonesia. Sebab itu, kami gunakan Endang sebagai penyanyi lagu latar drama bersiri ini,” jelasnya.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: