Erma Belum Puas Dengan Natrah

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar oleh ZAKARIA IDRIS


Erma Fatima

TAHUN lalu, naskhah Natrah mencatat rekod sebagai pementasan teater tempatan yang paling mendapat sambutan hangat sewaktu ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Dengan pementasan sebanyak 14 kali dan mengaut kutipan tiket mencecah RM500,000 dengan bilangan penonton seramai 18,000 ia bukti sambutan baik daripada peminat teater Melayu.

Kerana itu juga, tidak hairanlah atas permintaan ramai, Natrah yang diarahkan oleh Erma Fatima dipentaskan semula mulai 25 November lalu hingga hingga 5 Disember ini di IB.

Biarpun mula dipentaskan di Panggung Sari untuk musim kedua, namun sutradara itu belum berasa puas dengan teater yang mengisahkan penderitaan gadis Belanda bernama, Natrah.

Menurut Erma, teater konflik dan dilema gadis malang itu mengenai cinta serta agama anutannya masih banyak yang perlu diperbaiki.

‘Saya belum puas hati dengan pementasan kali ini. Saya akan jawab sama ada akan terus tidak puas hati atau tidak pada pementasan malam-malam berikutnya atau salah satu daripadanya.

‘Apatah lagi, dengan adanya sedikit masalah teknikal pada pementasan malam ini yang khusus untuk wakil-wakil media massa menambahkan lagi rasa tidak puas di hati saya.

‘Rasanya cukuplah setakat ini sahaja musim pementasan Natrah. Lagi pun sudah dua musim ia dipentaskan,’ katanya sewaktu ditemui selepas pementasan itu di IB baru-baru ini.

Elemen hiburan Bollywood


SUASANA ceria kanak-kanak dan lagu-lagu latar termasuklah yang berentak Bollywood menceriakan pementasan Natrah.

PEMENTASAN teater kisah hidup wanita yang pernah menggemparkan negara sebelum Merdeka itu sebetulnya harus dilihat dari aspek yang lebih luas.

Erma sebagai teraju utama pementasan itu dilihat sangat berhati-hati dalam mementaskan naskhah yang sarat dengan sejarah dan fakta yang penting.

Lantaran itu, enggan audiens yang menonton teater itu penat berfikir sepanjang hampir 150 minit persembahan itu menyebabkan Erma menyelitkan unsur-unsur hiburan.

Paling menonjol tentunya elemen Bollywood dalam lagu yang diselitkan dalam teater berkenaan.

Jelas Erma, elemen lagu-lagu yang dikatakan persis lagu-lagu Hindi itu diselitkan tidak lebih sebagai hiburan dan ia masih bersesuaian dengan jiwa para penonton teater tersebut.

‘Saya selitkan lagu-lagu yang berentak begitu supaya para penonton tidak tertekan dengan ‘masalah’ yang dihadapi oleh Natrah. Ia sebagai ‘juadah’ untuk rehat seketika.


NATRAH masih mengekalkan Maya Karin dan Remy Ishak sebagai pelakon utamanya.

‘Lagi pun sejak zaman P. Ramlee lagi kita sudah biasa dengan lagu-lagu macam itu. Zaman mak bapa saya bercinta dulu pun dengan lagu-lagu yang ada pengaruh lagu-lagu Hindustan.

‘Jadi saya rasa tidak salah kalau saya menyelitkan lagu-lagu yang berirama sedemikian. Ia masih sesuai dan mampu menghiburkan para penonton,’ jelas Erma mengenai rasional dia berbuat demikian.

Sementara itu, pada masa sama beliau juga masih bersemangat mengarahkan Natrah biarpun sebelum ini pernah berhasrat melupakan karya itu kerana dikritik oleh pihak-pihak tertentu.

Erma antaranya dikatakan tidak memahami karya sejarah seperti elemen yang banyak terkandung dalam Natrah sehingga ia dikatakan hampir melemahkan semangatnya.

‘Dalam isu itu saya sudah buangnya jauh-jauh dalam tong sampah. Isu itu pernah jatuhkan semangat saya tetapi saya bangkit semula.

‘Bagi saya, naskhah Natrah harus dibaca bukan sahaja daripada mata kasar tetapi daripada sudut mata hati. Natrah bukan karya sejarah. Sejarah hanya latar belakangnya sahaja,’ ujarnya.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: