Hujan Promosi E-Commerce

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


ANGGOTA-anggota Hujan terpaksa menggunakan payung kerana tempias hujan lebat sewaktu majlis pelancaran album mereka baru-baru ini.

SEBAGAI pemuzik dan penyanyi generasi baru, kumpulan Hujan tidak terkecuali melalui pelbagai perubahan terutamanya soal penerbitan album. Album mereka kini tidak terhad kepada cara fizikal iaitu menerusi kaset dan cakera padat sahaja.

Sebaliknya, selain jualan album secara muat turun digital, Hujan turut tidak ketinggalan membuat persediaan bagi memasarkan album-album mereka pada masa akan datang di Internet menerusi sistem e-commerce.

Pemain keyboards Hujan, Hang Dimas berkata, dia bersama kumpulannya kini sedang mempromosikan jualan pelbagai produk Hujan secara e-commerse di Internet sebagai persediaan pada masa depan.

“Kami mahu mempromosikan jualan produk-produk Hujan secara e-commerce atau membelinya secara talian di Internet. Kami yakin pada masa depan jualan pelbagai produk termasuklah muzik popular di e-commerce.

“Ini kerana, setakat ini tidak ramai yang menggunakannya termasuklah membelinya melalui laman YouTube,” katanya pada sidang akhbar pelancaran album terbaru Hujan berjudul Lonely Soldier Boy di Kuala Lumpur

baru-baru ini.

Album yang mengandungi 14 lagu dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Morning Rocket Sdn. Bhd. serta diedarkan Warner Music Malaysia itu mula dipasarkan pada 25 November lalu dengan kos rakamannya berjumlah RM30,000.

Menurut Dimas, melalui jualan secara e-commerce Hujan bukan setakat menjual album terbitan mereka tetapi juga produk-produk seperti kemeja-T yang boleh dibeli secara terus dan mudah di Internet.

Katanya, pendekatan itu dilakukan bagi mempertingkatkan lagi jualan produk-produk mereka di mana ia tidak terhad kepada jualan secara fizikal kaset dan cakera padat yang kurang memberangsangkan akhir-akhir ini.

“Selain itu, Hujan juga cuba memperkembangkan lagi produk atas jenama kumpulan ini dengan menjalankan sendiri sebuah kedai yang diberi nama Morning Rocket yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kami yakin perniagaan e-commerce akan berkembang pesat dan menjadi salah satu cara perniagaan yang cepat, mudah dan menguntungkan pada masa depan. Sebab itu, kami harus mulakan dari sekarang,” ujarnya.

Hujan yang turut dianggotai oleh Noh selaku vokalis dan gitaris serta Izzat (bass) mungkin tiada masalah bagi memasarkan produk-produk mereka kerana mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sesawang MySpace.


MIZZ Nina turut hadir memberi sokongan dan sempat mengambil gambar tunangnya, Noh yang beraksi bersama Hujan pada persembahan tersebut.

Selain klip video mereka yang diluncuri lebih 2 juta pengunjung di YouTube, Hujan juga banyak mendapat sokongan daripada para peminat fanatik yang dikenali sebagai Raingers setiap kali mereka mengadakan persembahan.

Sementara itu, Noh tidak menafikan Raingers banyak menyokong Hujan selama ini termasuklah memberi inspirasi dalam penciptaan lagu-lagu dan lirik-lirik yang dihasilkan dalam album-album kumpulannya itu.

“Album Lonely Soldier Boy merupakan sebuah album yang boleh dihayati oleh segenap lapisan pendengar sampaikan golongan makcik-makcik (tua) juga boleh menghayatinya. Contohnya lagu Di Kala Bulan Bermain Biola,” komennya.

Sewaktu ditanya tentang judul album dan konsep muzik yang ditampilkan kali ini ia merupakan antara pengaruh dan kecenderungan anggota-anggota termasuklah yang dipetik daripada elemen-elemen komik.

Misalnya, judul album Hujan, Lonely Soldier Boy merupakan pengaruh daripada sebuah komik Jepun yang dipersembahkan dengan gaya olahan mereka sendiri selepas mereka mendapatkan kebenaran daripada pemegang hakciptanya.

“Asalnya lagu Lonely Soldier Boy berasal daripada lagu kartun Jepun di mana kami olahnya pada tahun 2006. Lagu itu hakciptanya daripada sebuah syarikat penerbitan di Jepun. Warner Music Malaysia telah membantu kami.

“Kartun dari Jepun itu popular pada tahun 1982 di mana kami telah pun berjaya mendapat kebenaran bagi menggunakan karya itu dalam lagu tersebut,” katanya yang turut ditemani tunangnya, penyanyi Mizz Nina pada majlis tersebut.

Selain melancarkan album Lonely Soldier Boy, Hujan pada petang itu turut mengadakan persembahan istimewa secara percuma di hadapan kira-kira 200 peminat mereka dengan menyampaikan lapan buah lagu.

Dalam pada itu, Noh tidak menafikan dia turut mendedikasikan lagu berkonsepkan balada berjudul Walaupun Jauh buat Mizz Nina dalam album itu yang kesemua lirik dan lagunya hasil ciptaannya sendiri.

“Lagu itu biasa sahaja macam lagu tipikal Melayu yang lain. Ia mengisahkan tentang hubungan saya dan Mizz Nina. Walaupun kami tinggal tidak jauh tetapi kami masih berjauhan sebab belum berkahwin,” terangnya.

Selepas pelancaran album itu, Hujan telah menghiburkan para peminat mereka dengan lapan buah lagu berjudul Obsesi, Kita Tak Peduli, Bahagia, Muda, Jangan Kejutkan, Lonely Soldier Boy, Inspektor Ramos dan Mencari Konklusi.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: