IYAZ Anak Manja

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

BIARPUN popular sebagai penyanyi dan meraih pendapatan lumayan sejak dua tahun lalu, namun kerana masih muda iaitu pada usia 22 tahun, Iyaz masih bergantung kepada ibunya dalam menjalani kehidupan seharian.

Menurut Iyaz atau nama sebenarnya Keidran Jones, dia sentiasa berhubung dan jarang berjauhan dengan ibunya termasuklah sewaktu mengadakan persembahan di luar negara yang mengambil masa agak lama.

“Saya mudah rindukan rumah dan ibu saya. Banyak perkara yang saya fikirkan apabila berjauhan dengan ibu saya seperti biskut yang dimasaknya sewaktu di rumah. Apabila berjauhan seperti ini saya pasti terkenangkannya.

“Sebab itulah ada yang menggelarkan saya sebagai anak emak,” katanya pada sidang akhbar sempena persembahannya pada Anugerah Shout! yang diadakannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada kunjungan kali pertama ke negara ini, Iyaz diundang mengadakan persembahan pada Anugerah Shout! 2010 anjuran stesen televisyen 8TV di Stadium Putra, Bukit Jalil bersama artis-artis tempatan yang lain.

Iyaz yang kini popular menerusi lagu Replay dan Gonna Get This itu berkata, dia berbesar hati diundang beraksi pada anugerah itu biarpun terpaksa berjauhan dengan ibunya yang banyak memberi dorongan selama ini.

“Saya memang rapat dengan ibu saya di mana banyak perkara saya luahkan kepadanya. Misalnya soal teman wanita. Malah, segala perbelanjaan yang saya gunakan turut saya ceritakan kepada ibu saya untuk pengetahuannya,” ujarnya.

Namun, demi kerjayanya penyanyi yang berasal dari British Virgin Island, Amerika Syarikat (AS) ini tidak menjadikannya suatu halangan sebaliknya peluang bagi meluaskan lagi populariti lagu-lagunya di rantau Asia Tenggara.

Justeru, apabila diundang mengadakan persembahan pada Anugerah Shout! 2010, Iyaz tidak menoleh ke belakang kerana daripada situ dia dapat mengenali artis-artis tempatan yang sedang popular ketika ini.

“Saya berasa berbesar hati apabila dijemput mengadakan persembahan pada anugerah itu. Sejujurnya saya tidak mengenali artis-artis di negara ini tetapi berbangga apabila dapat berkongsi pentas dengan mereka.

“Pada masa sama, para peminat di negara ini akan lebih mengenali lagu-lagu saya. Secara tidak langsung ia akan mempromosikan lagi album single terbaru saya berjudul Solo. Kalau dijemput lagi saya akan datang ke sini lagi,” jelasnya.

Sungguhpun dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu pop, tetapi Iyaz begitu terbuka dengan genre muzik lain termasuklah meminati kumpulan punk rock terkenal (AS), Green Day yang disifatkannya begitu unik dan hebat.

Lantaran itu, maka tidak hairanlah penyanyi kulit hitam yang pernah berduet dengan Charice melalui lagu Pyramid ini turut menyimpan angan-angan untuk berkolaborasi dengan Green Day pada suatu hari nanti.

“Saya adalah salah seorang peminat Green Day. Saya suka menonton konsert mereka termasuklah apa juga perkara yang mereka lakukan. Ia begitu unik sekali. Kalau ada peluang saya ingin berkolaborasi dengan Green Day.

“Selain itu, saya juga meminati Michael Jcakson dan hajat saya untuk berkolaborasi dengannya dalam lagu. Sayangnya dia sudahpun meninggal dunia. Beliau merupakan penyanyi pop yang terhebat di dunia,” katanya.

Pada 2009 Iyaz yang diperkenalkan oleh penyanyi Sean Kingston itu tampil dengan album single berjudul Replay. Lagu itu menduduki tempat kedua dalam carta Billboard Hot 100 di United Kingdom dan Australia.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: