Karnival Upin & Ipin

30 Nov

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN


MASKOT Upin dan Ipin.

BERMULA dari siri animasi di televisyen selama lima hingga tujuh minit setiap episod, watak comel siri Upin & Ipin kemudian beraksi ke layar yang lebih besar.

Siri terbitan Les’ Copaque Productions (LCP) muncul dengan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dan mendapat sambutan hangat sehingga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Fenomena watak adik beradik botak, Upin dan Ipin itu memang tidak dapat disangkal sehingga ia berjaya menambat hati penonton di negara seberang pula iaitu di Indonesia.

Tidak cukup dengan aksi mereka di kaca televisyen dan di panggung, pelbagai produk Upin & Ipin turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat.

Langkah mereka tidak terhenti di situ apabila LCP terus mengatur pelbagai strategi mengekalkan aura si comel ini dengan menganjurkan satu karnival khas Upin & Ipin bagi menghargai sokongan jutaan peminatnya di seluruh negara.

Karnival yang diberi nama Karnival Upin & Ipin yang juga merupakan anjuran bersama TV9 akan berlangsung selama lima hari di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor bermula 24 hingga 28 Disember ini.

Karnival Upin & Ipin yang diadakan bersempena dengan cuti sekolah ini akan diisi dengan pelbagai program menarik yang turut melibatkan ibu dan bapa bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Menurut Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md. Radzi, pelbagai program menarik dan lain daripada yang lain telah diatur sepanjang karnival ini berlangsung.

Katanya, selain daripada pameran dan jualan, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya persembahan khas pelakon suara Upin & Ipin, pertandingan mewarna, serta sukaneka yang boleh disertai seisi keluarga.

Apa yang menarik juga, beliau memberitahu, satu perarakan animasi dengan penyertaan pelbagai watak dalam siri animasi ini turut diadakan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Burhanuddin berkata, peminat Upin & Ipin juga berpeluang untuk mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Upin & Ipin pada hari karnival berkenaan yang turut menawarkan pelbagai faedah.

“Kami juga akan mengadakan pameran sukan bermotor serta tayangan filem animasi adalah antara yang menarik untuk dinantikan.

“Apa yang pasti, karnival ini menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung khususnya kanak-kanak, peminat setia Upin & Ipin serta orang ramai yang berminat untuk mengetahui proses penghasilan animasi berteknologi tinggi ini.

“Orang ramai yang berminat untuk menyewa tapak di karnival ini boleh menghubungi pihak kami,” katanya pada sidang akhbar Karnival Upin & Ipin di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, pengunjung juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan melalui pelbagai pertandingan di karnival itu seperti tiket penerbangan dan pelbagai lagi.

LCP mensasarkan lebih 50,000 pengunjung terutama kanak-kanak akan berkunjung ke karnival ini sebagai pelengkap percutian persekolahan akhir tahun mereka.

Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Feisal Abdul Malik, kerjasama antara LCP dan TV9 itu bukan pertama kali kerana LCP animasi Upin & Ipin disiarkan di TV9.

“Sebagai rakan media, TV9 akan turut menyiarkan aktiviti-aktiviti menarik di karnival itu di dalam rancangan TV9 seperti di Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9 dan juga Adik Di 9.

“Kami berharap acara ini akan menjadi acara tahunan sepanjang musim sekolah dan semoga kerjasama antara TV9 dan LCP akan berterusan dan berkekalan,” ujarnya.

Selain Karnival Upin & Ipin pada bulan Disember ini juga, pelbagai perancangan yang telah diatur oleh LCP bagi terus mempromosikan animasi ini.

LCP kini sedang giat menghasilkan filem terbaru Upin & Ipin iaitu Laksamana Upin & Ipin yang akan menemui penonton pada tahun 2012.

Watak-watak dalam Upin & Ipin bakal terpampang di setem-setem tempatan hasil usaha Pos Malaysia Berhad pada bulan depan.

Selain itu, oleh kerana sambutan hangat siri animasi itu di Indonesia, sebuah syarikat telefon bimbit di sana, Nexian, akan melancarkan telefon bimbit Upin & Ipin.

Turut akan diwujudkan sebuah program baru yang bakal disiarkan di TV9 pada tahun depan di TV9 iaitu Kelab Upin & Ipin yang formatnya menyerupai Mickey Mouse Club yang cukup popular di Holywood.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: