Archive | November, 2010

Dr. Mahathir Sumber Inspirasi Siti Nurhaliza

30 Nov

KEPUTUSAN drastik yang diumumkan Siti pada sesi sidang akhbar pertama ABPBH yang diadakan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini sebetulnya mengejutkan ramai pihak.

Bahkan, keputusan dibuat Siti itu dianggap ada baik dan buruknya, tetapi ia harus dihormati.

Ujar Siti, keputusannya itu adalah muktamad dan berharap semua pihak merestuinya.

“Siti akui ia satu keputusan yang agak sukar kerana sedar, pelbagai kecaman atau spekulasi akan timbul.

“Tapi, Siti tetap dengan keputusan ini dan berharap, ia tidak mendatangkan keburukan dalam karier seni saya.

“Ahli kelab peminat Siti, CT Zone juga telah diberitahu terlebih awal mengenai perkara ini dan mereka menghormati kehendak Siti.

“Siti berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan seni saya selama 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan,” jelas Siti merendah diri.

Tambah anak jati Kuala Lipis, Pahang itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi sumber inspirasi dan kekuatannya ketika dia membuat keputusan untuk menarik diri daripada acara tahunan itu.

Katanya, sewaktu Dr. Mahathir ingin bersara dahulu, tokoh itu berada di puncak pentadbirannya.

Namun, legenda negara itu tekad berundur selepas mentadbir negara dengan cemerlang.

“Begitulah juga situasi yang saya kaitkan dengan diri Siti. Siti sudah berpuas hati dengan pencapaian Siti sepanjang bergelar anak seni.

“Siti juga sedar, sebagai penyanyi, Siti tidak akan berada di puncak untuk selama-lamanya. Jadi, tibalah masanya untuk Siti memperlahankan aktiviti seni Siti ketika ini dengan membuat keputusan tersebut,” jawab Siti menjelaskan keputusannya itu.

Penyanyi dan usahawan kosmetik itu juga akur, sekalipun keputusannya itu turut menyebabkan beliau tidak boleh dicalonkan lagi dalam penganjuran ABPBH edisi seterusnya, itu tidak menjadi isu kepadanya.

Utusan

Siti Percaya Pengganti Ditemui

30 Nov

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL


UNTUK edisi ABPBH kali ini, Siti Nurhaliza tidak sabar mahu hadiri sebagai penonton.

DARI mata kasar, kita semua sering melihat penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sempurna sebagai seorang anak seni.

Banyak rekod dilakar penghibur terkenal itu dan antara yang sukar digugat mana-mana penyanyi.

Paling diingati ramai ialah, beliau memegang rekod 14 kali meraih anugerah kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Selepas puas turun naik pentas menerima anugerah berkenaan, kali ini, penghibur kesayangan negara itu memilih untuk berundur diri daripada namanya disenarai sebagai calon untuk majlis anugerah popular itu.

Keputusan yang dibuat itu bukanlah didorong oleh rasa merajuk atau berkecil hati dengan mana-mana pihak.

Tidak juga terlintas di fikirannya, keputusannya berundur semata-mata untuk menguji kredibiliti artis lain yang boleh menggantikan tempatnya selaku penyanyi popular di Malaysia.

“Siti seorang yang sangat realistik. Siti percaya suatu hari nanti akan ada pengganti Siti Nurhaliza.

“Tapi itu bukanlah tujuan utama saya membuat keputusan ini. Semua artis layak menang sekiranya mereka mendapat sokongan padu peminat,” jelas Siti menjawab setiap inci soalan yang diajukan kepadanya.

Paling utama juga, keputusan berundur daripada dicalon dalam mana-mana kategori ABPBH itu juga tegas Siti, bukanlah disebabkan kebimbangannya berhubung popularitinya.

Ada dakwaan yang menyebut, Siti bimbang namanya tersingkir daripada senarai pilihan peminat jika terus dicalonkan.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Cuma impian saya pada edisi ABPBH kali ini dan seterusnya hanyalah untuk melihat bakat baru mewarnai ABPBH. Itu saja,” tegas Siti menjelaskan salah faham segelintir pihak.

Untuk edisi ABPBH kali ini juga, apa yang dinantikan Siti ialah untuk melalui pengalaman menjadi penonton dan berteka-teki siapakah bakal pemenang bagi setiap kategori.

“Saya percaya, debaran kali ini pastinya berbeza berbanding sebagai calon. Dan saya teruja untuk menjadi penonton dan penyokong kuat acara ini,” kata Siti mengenai keinginannya itu.

Pada masa yang sama, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Cindai itu menyuarakan harapannya agar keputusannya itu dihormati oleh semua pihak termasuk pemujanya.

Utusan

Erma Belum Puas Dengan Natrah

30 Nov

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar oleh ZAKARIA IDRIS


Erma Fatima

TAHUN lalu, naskhah Natrah mencatat rekod sebagai pementasan teater tempatan yang paling mendapat sambutan hangat sewaktu ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Dengan pementasan sebanyak 14 kali dan mengaut kutipan tiket mencecah RM500,000 dengan bilangan penonton seramai 18,000 ia bukti sambutan baik daripada peminat teater Melayu.

Kerana itu juga, tidak hairanlah atas permintaan ramai, Natrah yang diarahkan oleh Erma Fatima dipentaskan semula mulai 25 November lalu hingga hingga 5 Disember ini di IB.

Biarpun mula dipentaskan di Panggung Sari untuk musim kedua, namun sutradara itu belum berasa puas dengan teater yang mengisahkan penderitaan gadis Belanda bernama, Natrah.

Menurut Erma, teater konflik dan dilema gadis malang itu mengenai cinta serta agama anutannya masih banyak yang perlu diperbaiki.

‘Saya belum puas hati dengan pementasan kali ini. Saya akan jawab sama ada akan terus tidak puas hati atau tidak pada pementasan malam-malam berikutnya atau salah satu daripadanya.

‘Apatah lagi, dengan adanya sedikit masalah teknikal pada pementasan malam ini yang khusus untuk wakil-wakil media massa menambahkan lagi rasa tidak puas di hati saya.

‘Rasanya cukuplah setakat ini sahaja musim pementasan Natrah. Lagi pun sudah dua musim ia dipentaskan,’ katanya sewaktu ditemui selepas pementasan itu di IB baru-baru ini.

Elemen hiburan Bollywood


SUASANA ceria kanak-kanak dan lagu-lagu latar termasuklah yang berentak Bollywood menceriakan pementasan Natrah.

PEMENTASAN teater kisah hidup wanita yang pernah menggemparkan negara sebelum Merdeka itu sebetulnya harus dilihat dari aspek yang lebih luas.

Erma sebagai teraju utama pementasan itu dilihat sangat berhati-hati dalam mementaskan naskhah yang sarat dengan sejarah dan fakta yang penting.

Lantaran itu, enggan audiens yang menonton teater itu penat berfikir sepanjang hampir 150 minit persembahan itu menyebabkan Erma menyelitkan unsur-unsur hiburan.

Paling menonjol tentunya elemen Bollywood dalam lagu yang diselitkan dalam teater berkenaan.

Jelas Erma, elemen lagu-lagu yang dikatakan persis lagu-lagu Hindi itu diselitkan tidak lebih sebagai hiburan dan ia masih bersesuaian dengan jiwa para penonton teater tersebut.

‘Saya selitkan lagu-lagu yang berentak begitu supaya para penonton tidak tertekan dengan ‘masalah’ yang dihadapi oleh Natrah. Ia sebagai ‘juadah’ untuk rehat seketika.


NATRAH masih mengekalkan Maya Karin dan Remy Ishak sebagai pelakon utamanya.

‘Lagi pun sejak zaman P. Ramlee lagi kita sudah biasa dengan lagu-lagu macam itu. Zaman mak bapa saya bercinta dulu pun dengan lagu-lagu yang ada pengaruh lagu-lagu Hindustan.

‘Jadi saya rasa tidak salah kalau saya menyelitkan lagu-lagu yang berirama sedemikian. Ia masih sesuai dan mampu menghiburkan para penonton,’ jelas Erma mengenai rasional dia berbuat demikian.

Sementara itu, pada masa sama beliau juga masih bersemangat mengarahkan Natrah biarpun sebelum ini pernah berhasrat melupakan karya itu kerana dikritik oleh pihak-pihak tertentu.

Erma antaranya dikatakan tidak memahami karya sejarah seperti elemen yang banyak terkandung dalam Natrah sehingga ia dikatakan hampir melemahkan semangatnya.

‘Dalam isu itu saya sudah buangnya jauh-jauh dalam tong sampah. Isu itu pernah jatuhkan semangat saya tetapi saya bangkit semula.

‘Bagi saya, naskhah Natrah harus dibaca bukan sahaja daripada mata kasar tetapi daripada sudut mata hati. Natrah bukan karya sejarah. Sejarah hanya latar belakangnya sahaja,’ ujarnya.

Utusan

Artis Bollywood Himpun Di Singapura Lagi

29 Nov

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Sekali lagi artis popular Bollywood akan berhimpun di Singapura. Kali ini untuk mewarnai Zee Cine Awards 2011 di Marina Bay Sands pada 14 Januari depan. Pasti meriah dengan kehadiran nama-nama besar dan hangat.

Antara nama yang sudah memastikan  kehadiran ialah Shah Rukh Khan, Arjun Rampal, Akshay Kumar, Priyanka Chopra, Deepika  Padukone dan ramai lagi. Tiket menonton sudah dibuka sekarang.

 

Anugerah itu sudah masuk tahun glamor yang ke 12. Kali ini pelakon Akshay Kumar dipertanggungjawabkan menjadi pengacara. Dia juga turut mengadakan persembahan malam kemuncak itu nanti. Inilah kali pertama Akshay jadi pengacara majlis anugerah itu dan dia akan ditemani rakan pengacara, Sajid Khan.

 

“Pemilih tiket akan dapat menyaksikan persembahan meriah dengan muzik dan lagu-lagu petikan filem popular yang pernah memenangi anugerah,” kata jurucakap dari Alice George Communication bagi pihak Marina Bay Sands.

Sands Grand Ballroom, ballroom terbesar di Asia Tenggara akan dirubah menjadi dewan teater yang menakjubkan dengan kehadiran bintang Bollywood. Pentasnya juga dibikin khas untuk acara tersebut dalam usaha untuk memberi keselesaan kepada penonton.

Presiden dan CEO Marina Bay Sands,Thomas Arasi berkata: “Kami teruja sebab kerja kuat selama sebulan berjalan lancar  sebagaimana yang dimahukan.

“Inilah kali pertama kami menjadi host acara yang sangat berkaliber ini dan ia pastinya akan menjadi permulaan untuk kami meneroka perkara baru pada masa hadapan.”

Untuk menyemarakkan lagi acara istimewa itu, Marina Bay Sands juga menawarkan pakej istimewa termasuk tawaran harga bilik istimewa kepada pembeli tiket. Untuk mendapat maklumat lanjut pasal pakej bilik boleh layari laman web http://www.marinabaysands.com.

Tiket juga boleh didapati di laman http://www.marinabaysands.com/ticketing. Harga tiket untuk VVIP $997.00, VIP$697.00, A Reserve $597.00, B Reserve $387.00, C Reserve $277.00 dan D Reserve dengan harga $197.00. Cepat dapatkan tiket anda.

 

Mangga Online

Hati Saya Untuk Noh – Mizz Nina

29 Nov

Ditulis oleh Nonie
  
  

Setiap wanita dambakan kekasih hati yang romantis dalam melayari kehidupan bahagia bersama. Begitulah juga yang dialami Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina. Hati berbunga tatkala si kumbang menulis sebuah lagu untuk dirinya lalu dimuatkan dalam album terbaru Hujan.

Walaupun Jauh, lagu yang mengisahkan perbezaan darjat antara pasangan kekasih. Mungkin itulah yang dirasakan Noh ketika ini. Namun bagi Nina, walau apapun kisah yang dicoretkan, apa yang penting hatinya kini hanya untuk Noh.

“Nina rasa special sangat sebab inilah pertama kali ada orang tuliskan lagu untuk Nina. Tak sangka Noh romantik sangat. Dalam lirik itu ada tuliskan ‘siapa yang bertuah memiliki mu, tuan empunya sang bidadari itu’, biar Nina jawabkan, hanya Noh dalam hati Nina, tak ada yang lain.

“Lagu itu mungkin perasaan dia waktu kami baru bersama. Dia fikirkan betulkah semua ini berlaku sebab macam tak mungkin. Namun seiring dengan masa berlalu, kami figure out tak banyak perbezaan seperti yang difikirkan dan jika dulu mungkin jauh, sekarang sudah dekat.

“Serius Nina susah hati bila orang luar perkatakan perkara yang negatif mengenai hubungan kami. Noh juga emosi bila mendengar komen yang tak elok. Namun Nina banyak nasihatkan Noh supaya jangan fikirkan perkara ini lagi dan syukur semuanya berjalan lancar.

“Duit dan harta hanya sementara, bila sudah mati semuanya tak penting lagi,” ujar Nina yang turut hadir memberi sokongan pada majlis pelancaran album terbaru Hujan, Lonely Soldier Boy.

Noh Lega Bapa Nina Terima

Bukan mudah baginya menyesuaikan diri dengan orang kenamaan, lebih-lebih lagi tunangnya adalah anak bongsu kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim. Bagi Noh walaupun keluarga Nina menyambut baik hubungan mereka, namun perasaan rendah diri tidak dapat disembunyikan.

“Saya ada masalah untuk sesuaikan diri sebab saya hanya budak kampung, Nina anak orang berada. Lagu Walaupun Jauh berkisarkan perbezaan darjat yang terlalu jauh antara saya dan Nina.

“Sebenarnya perkara ini bukan masalah antara keluarga kami, malah bapa dia baik dengan saya dan keluarga dia sangat humble. Cuma orang luar yang banyak bercerita yang tak elok mengenai hubungan kami. Namun itu sebenarnya membuatkan saya lagi semangat untuk tunjukkan kepada keluarga Nina yang musician seperti saya boleh berjaya.

“Dan bagi saya semuanya selesai apabila bapa Nina beri persetujuan untuk kami mengikat tali pertunangan. Cuma baru-baru ni bapa dia tegur fesyen rambut terbaru saya (ketawa),” begitulah luahan hati Noh yang terkenal dengan sifat selambanya.

ManggaOnline lihat Mizz Nina begitu menyokong perjalanan karier Noh dan sanggup bersesak dengan peminat Hujan yang lain semata-mata mahu merakam persembahan kekasih hati di atas pentas.

Walaupun Jauh

Siapa yang bertuah memiliki mu
Tuan empunya sang bidadari itu

Bolehkah aku menyentuh kulitmu itu
Agar ku bisa merasakan syurga seketika waktu

Tiada kata yang dapat ku lafaz kan untuk mu
Biarkan diriku terbang jauh
Ini bukan mimpi walau dalam tidurku ini
Biarkan aku mendekati mu – walaupun jauh

Namun kurasakan memang jauh
Jarak antara kita berdua Tuhan saja yang tahu

FOTO oleh SHAHRIL AZMAN BIN MOHD ZAIN

 

Mangga Online

Dil To Bachcha Hai Ji Ditayang Januari Ini

29 Nov


Shraddha Das & Shazahn Padamsee

MUMBAI 28 Nov.

Alicia Keys Serius Jalan Kerja Amal

29 Nov


Alicia Keys

LOS ANGELES 28 Nov. – Alicia Keys dan Lady Gaga melakukan kerja amal dengan serius dan mereka tidak akan mengakses laman web rangkaian sosial untuk membuktikannya.

Gaga, Justin Timberlake, Usher dan ramai selebriti lain menyertai kempen baru yang digelar Korban Kehidupan Digital bagi pihak badan amal yang diusahakan Keys, Keep A Child Alive.

Barisan penghibur itu akan keluar daripada platform media sosial seperti Facebook dan Twitter pada Selasa ini iaitu Hari AIDS Sedunia dan hanya akan kembali mendaftar masuk sebaik-baik kutipan amal mencecah AS$1 juta (RM3.2 juta).

“Ia adalah sangat penting dan sangat membanggakan kerana kami menggunakan medium yang kerap diakses,” kata Keys dalam satu temu bual telefon dari New York, minggu lalu.

Untuk kempen yang turut disertai Jennifer Hudson, Ryan Seacrest, Kim dan Khloe Kardashian, Elijah Wood, Serena Williams, Janelle Monae dan suami Keys sendiri, Swizz Beatz itu, mereka telah merakamkan ulasan Twitter terakhir dan pengakuan.

Video itu akan muncul dan menunjukkan mereka berbaring di dalam keranda dalam apa yang mewakili kempen mereka berkaitan kematian digital.

Yayasan yang ditubuhkan Keys pada 2003, menerima sumbangan menggunakan sistem pesanan ringkas dan teknologi kod bar dalam kempen Buy Life. Usaha sebegini dibuat untuk membantu keluarga yang terjejas akibat HIV/AIDS di Afrika dan India. – AP

Utusan