Kardashian Kard Dibatal

1 Dec

NEW YORK 30 Nov. – Program Keeping Up with the Kardashians ternyata popular tetapi kad debit yang dipromosikan oleh tiga beradik yang membintangi program televisyen realiti Amerika Syarikat (AS) itu telah dibatalkan.

Sebuah bank di Minnesota semalam menghentikan penjualan kad debit prabayar yang memaparkan imej tiga beradik Kardashian itu.

Tindakan itu diambil selepas Pendakwa Raya Connecticut, Richard Blumenthal berkata, kad tersebut yang mengenakan caj ‘melampau-lampau’ secara tidak adil yang disasarkan terhadap golongan muda yang kurang arif tentang selok-belok kewangan.

University National Bank berkata, 250 pelanggan yang membeli Kardashian Kard berjenama MasterCard sejak pelancarannya pada 9 November lalu boleh terus menggunakannya selama 30 hari dan akan menerima bayaran balik baki serta yuran pendahuluan selepas itu.

Menurut bank yang beribu pejabat di St. Paul itu, pihaknya sedang mengkaji semula perjanjiannya dengan syarikat Kardashian, Dash Dolls LLC untuk memastikan pemegang kad menerima bayaran balik dan akan berusaha untuk meminimumkan kesulitan kepada pemegang kad.

Blumenthal pada Jumaat lalu berkata, kad debit itu membebankan golongan muda yang meminati ‘kehidupan mewah dan boros’ yang ditunjukkan oleh Kim, Kourtney dan Khloe Kardashian, dengan caj yang boleh mencecah AS$100 (RM310) setahun berserta caj bagi pengeluaran ATM, pembatalan dan bercakap dengan telefonis.

Menurut surat peguam Kardashian yang disiarkan oleh pejabat Blumenthal, tiga beradik itu semalam menarik diri daripada perjanjian yang membenarkan bank tersebut menggunakan gambar wajah mereka pada kad.

“Adik-beradik Kardashian telah bekerja keras untuk menunjukkan imej positif di mata umum, imej yang menarik bagi semua orang, terutamanya golongan muda dewasa.

“Malangnya segala hasil usaha mereka kini terancam disebabkan publisiti negatif berpunca daripada kenyataan Pendakwa Raya itu,” kata peguam Kardashian, Dennis Roach.

Kad debit prabayar yang dikaitkan dengan selebriti kini semakin popular, kata penasihat kanan polisi untuk persatuan pengguna Consumers Union di Washington, D.C., Pamela Banks.

“Mengaitkan kad dengan seseorang yang terkenal atau kaya boleh mendorong lebih ramai pengguna untuk cuba meniru gaya hidup golongan kaya dan terkenal tetapi kad debit prabayar tidak mempunyai langkah perlindungan yang sama seperti kad debit biasa,” katanya. – Reuters

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: