DiGi Bantu Search, Wings

2 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN


ANGGOTA-anggota Search dan Wings begitu ceria dan tidak sabar bagi menjayakan Digi-Live Konsert Gemuruh DT Search & Wings pada sidang akhbar di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUMPULAN rock legenda tanah air, Search dan Wings sebelum ini seringkali merungut apabila sukar mendapatkan penaja terutama syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) dalam konsert-konsert yang mereka adakan.

Ekoran tiadanya penaja, dua kumpulan itu sukar untuk mengadakan konsert mereka di seluruh negara yang biasanya menelan kos penganjuran yang tinggi sehingga mencecah lebih RM500,000 setiap kali ia diadakan.

Bagaimanapun, Wings dan Search kini mampu menarik nafas lega apabila konsert mereka DiGi Live – Konsert Gemuruh DT Search & Wings yang akan diadakan pada bulan depan mendapat kerjasama daripada DiGi.

Menurut vokalis Wings, Awie dia bersyukur kerana DiGi sudi bekerjasama menjayakan konsert itu di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 18 Disember dan Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor 25 Disember ini.

“Kami lega kerana selepas sekian lama barulah ada syarikat telco seperti DiGi yang berani tampil bekerjasama membantu kami menjayakan konsert seperti ini. Sebelum ini mereka lebih banyak menaja artis luar negara,” komennya.

Awie yang ditemui selepas sidang akhbar DiGi Live – Konsert Gemuruh DT Search & Wings di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu berkata, ia mungkin ekoran daripada kejayaan Konsert Double Trouble yang mereka adakan sebelum ini.

Secara tidak langsung kejayaan konsert bergerak dua kumpulan itu katanya, telah membuka mata pihak-pihak tertentu terutama syarikat-syarikat telco bahawa mereka masih mampu menarik ramai peminat setiap kali beraksi di atas pentas.

“Konsert Double Trouble yang dijayakan oleh Search dan Wings berjaya menarik ramai penonton setiap kali ia diadakan. Setakat ini ia telah diadakan di Sabah, Johor, Kuala Lumpur dan Kuantan. Sambutannya amat baik.

“Kami juga telah mengeluarkan DVD (cakera video digital) rakaman daripada konsert-konsert itu dan sambutannya juga bagus. Ini secara tidak langsung menambahkan lagi kepercayaan syarikat-syarikat telco kepada kami,” katanya.

Konsert anjuran Rye Production Sdn. Bhd., dengan kerjasama DiGi itu kata Awie, turut mendapat kepercayaan daripada dua penganjur itu bagi membawakan kelainan daripada segi persembahan untuk menarik ramai peminat.

Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini menambah, menerusi konsert di Sunway Lagoon itu, Wings dan Search akan tampil menyanyi sambil diiringi para pemuzik orkestra di mana ia pertama kali mereka lakukan.

“Kami telah diberi tugas oleh penganjur untuk mengadakan sebahagian daripada persembahan itu dengan menggunakan para pemuzik orkestra. Tetapi ia bukannya seperti Kumpulan Orkestra DBKL atau Filharmonic Orchestra.

“Persembahan kami bukanlah secara orkestra penuh tetapi ia antara gimik bagi menunjukkan kelainan. Lagu-lagu dalam bentuk orkestra pula hanya tertumpu kepada yang berentak balada atau slow rock sahaja,” ujarnya.

Vokalis Search, Amy pula berkata, dia dan Search serta Wings berbangga apabila diberi peluang beraksi di Sunway Lagoon kerana mereka merupakan artis tempatan pertama yang diberi peluang tersebut.

Sambil menyifatkan selain sokongan syarikat telco seperti DiGi, dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan taman tema air itu yang memberi kerjasama kepada artis tempatan mengadakan konsert di situ.

“Sebelum ini Sunway Lagoon hanya memberi peluang kepada artis-artis dari luar negara beraksi di sana. Saya harap konsert ini dapat menarik 20,000 penonton hadir bagi menyaksikannya. Ini suatu tanda positif buat artis-artis tempatan.

“Pada 5 Ogos lalu, Sunway Lagoon mengundang saya sebagai artis pembuka tirai bagi persembahan gitaris, Slash. Saya harap selepas ini akan ada lebih banyak konsert untuk artis-artis tanah air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Segmen Pemasaran DiGi Telecommunications Sdn. Bhd., Moharmustaqeem Mohammed berkata, konsert seperti itu merupakan platform untuk DiGi terus menyokong industri muzik tempatan.

Enggan mendedahkan jumlah tajaan yang dihulurkan bagi mempromosikan DiGi Live – Konsert Gemuruh DT Search & Wings, beliau menjelaskan DiGi memberi kerjasama pada konsert itu berdasarkan permintaan peminat.

“Semua itu berdasarkan permintaan daripada para peminat Search dan Wings serta para pelanggan kami. Kalau permintaannya semakin tinggi tidak mustahil DiGi akan memberi kerjasama untuk konsert ini di Sabah dan Sarawak pula.

“Demi pelanggan DiGi juga kami akan memberi potongan harga tiket sebanyak 30 peratus daripada tiket berharga RM70. Ini salah satu cara kami menghargai sokongan para pelanggan kami selama ini,” jelasnya.

Selain pelancaran dan sidang akhbar konsert itu, pihak penganjur turut membuat kejutan sempena ulang tahun hari lahir Awie yang ke-42 pada 24 November lalu pada majlis itu yang turut mendapat kerjasama daripada RapidKL.

Pada konsert di Sunway Lagoon kelak, bas RapidKL akan menyediakan perkhidmatan membawa pulang para penonton ke stesen-stesen seperti di Kelana Jaya, Subang Mewah, Pasar Seni dan Subang Parade.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: