Kenali Peserta PILIH KASIH Musim 2

2 Dec

Ditulis oleh Nonie
  
  

Musim pertama telahpun berlalu dan Iqbal Mazlan dinobatkan sebagai juara. Kini debaran semakin terasa bagi 16 penghuni baru ‘akademi’ ini demi menyahut cabaran dalam arena lakonan. Peserta yang terpilih bukan calang-calang, sebahagiannya telahpun menimba pengalaman bergelar pelakon.

Memilih pendekatan yang lebih tegas, Pilih Kasih musim terbaru menetapkan tahap disiplin yang tinggi terhadap penuntutnya. Tiada hubungan luar dibenarkan termasuk telefon dan televisyen agar sepenuh perhatian dapat diberi sepanjang tiga bulan proses pembelajaran.

Program terbitan Suhan Movies & Trading ini turut menampilkan barisan juri profesional dan barisan tenaga pengajar untuk memantapkan perkembangan ilmu lakonan seperti Erma Fatima (Teater), Datuk Ibrahim Ahmad dan Aziz M Osman selaku guru Drama Pendek dan Hamzah Tahir (Monolog) manakala Fauziah Nawi dan Dr Abu Hassan selaku juri tetap. Fatimah Abu Bakar pula bertanggungjawab memberi pendedahan dan motivasi memandangkan tekanan yang dihadapi peserta semakin bertambah.

ManggaOnline (MO) berkesempatan bertemu sebahagian peserta Pilih Kasih Musim Kedua dan hasilnya memberansangkan. Namun MO tertarik kepada Ahmad Iswazir Ismail yang juga digelar klon Pierre Andre, kematangan dan rasional memberikan jawapan menarik perhatian. Kata-kata seperti ahli sufi dan falsafah dalam setiap bicara seperti lagak orang seni. Sesuai sekali berada dalam industri.

“Lakonan sudah jadi kehidupan saya. Proses pembelajaran hidup adalah hasil daripada lakonan dan ianya adalah sisi lain kehidupan manusia. Kita seharusnya berfikir luar daripada kotak kerana lakonan bukan sekadar hiburan.   

“Setiap apa yang berlaku ada persoalannya, sebagai penonton, kita mengambil pengalaman yang dilihat untuk cipta hidup yang lebih baik. Kita adalah satu watak, dengan lakonan saya boleh menghayati watak lain. Namun semua harus sedar, kita semua adalah pelakon yang berpentaskan dunia.

“Walaupun saya lepasan Diploma Arts & Design, namun semasa belajar saya masih mencari-cari apa matlamat sebenar dan saya jatuh cinta pandang pertama apabila menyertai teater dan membuat keputusan untuk terus mengorak langkah lebih jauh dalam lakonan.

“Harapan saya hanyalah satu, untuk menang dan menjadi pelakon profesional,” katanya yang pernah terlibat dengan teater Uda Dan Dara di Istana Budaya.

Sementara itu, bagi si cantik yang juga bekas pramugari ini, Cristina Suzanne Stockstill, 25 atau lebih selesa dipanggil Eeyn, tujuan utama menyertai Pilih Kasih agar dapat menjadi pembuka jalan kepada pintu rezekinya.

“Tiada niat untuk popular, niat saya hanya untuk mencari rezeki dan mampu memiliki rumah sendiri suatu hari nanti. Tahap keyakinan diri saya rendah sebelum ini dan saya harap pendedahan yang diberi dapat membantu ke arah perubahan yang lebih positif.

“Waktu ujibakat, saya bermonolog kenapa tak kaya dan abang Rosyam katakan perwatakan saya seperti tomboi membantu lakonan nampak lebih natural,” ujar gadis kelahiran Johor Bahru ini.

Bagi Mohamad Nabil Razali, 18, dorongan kakak menguatkan lagi semangat untuk mencuba nasib dalam ujibakat program ini. Namun lakonan bukanlah sesuatu yang asing baginya, pengalaman bersama produksi drama mungkin satu kelebihan bagi Nabil berbanding peserta lain.

“Minat berlakon memang ada namun banyak yang perlu diasah. Saya percaya abang Rosyam mampu memimpin kami ke saluran yang betul. Pilih Kasih merupakan platform yang tepat untuk menonjolkan bakat yang ada.

“Saya mahu penonton senang hati melihat lakonan yang ditonjolkan nanti,” katanya yang pernah muncul dalam drama Habil Dan Qabil.

MO terhibur dengan keletah peserta dari Kelantan, Nor Munirah Mokhtar (Myra), 19, gayanya sempoi dan berseloroh. Ketika diaju sebab memilih Pilih Kasih sebagai platform, seloroh sahaja Myra katakan nak popular. Namun usaha gadis genit ini mencapai cita-cita harus dipuji. Berulang alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur semata-mata ingin menghadiri ujibakat.

“Saya balik ke Kelantan untuk ujibakat namun di sana hanya menerima peserta lelaki dan perempuan tidak dibenarkan masuk. Jadi saya terpaksa balik semula ke Kuala Lumpur untuk menghadiri ujibakat. Saya sangat meminati bidang ini sejak kecil dan berharap agar impian menjadi kenyataan. Namun tak mahu terlalu yakin, nanti kecundang pula,” luahnya.

Pilih Kasih musim ini juga turut menampilkan peserta dari  Sabah, Alia Afiqah Abden, 18. Peserta tinggi lampai ini pada mulanya datang ke sesi ujibakat hanya untuk melihat Rosyam Nor secara dekat, namun siapa sangka hatinya terbuka untuk mencuba dan berjaya melepasi ujian.

“Saya hanya mahu lihat abang Rosyam namun bila melihat peserta lain bersemangat untuk mencuba, saya rasa tercabar dan terus menjalani ujibakat. Waktu itu pertama kali saya baca skrip dan berlakon.

“Sebelum ini saya hanya terlibat dengan pertandingan Ratu Cantik seperti Miss Eastern Plaza Tawau, Miss Fotogenik, Miss Cheongsam Sabah dan banyak lagi. Saya mahu kembangkan bakat ke bidang lakonan dan naikkan nama Sabah kerana jarang ada pelakon yang datang dari sini.

“Jika berjaya, mungkin saya akan beralih ke bidang nyanyian pula selepas ini,” ujarnya yang mempunyai pertalian saudara dengan Mas AF.

FOTO oleh ZAKARIA IDRIS

 

 

Mangga Online

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: