Michael Dapat Restu Jaafar Taib

2 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ihsan ASTRO


MICHAEL Ang bersama barisan pelakon Gila-Gila pada majlis pelancaran di Cathay Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

DIBERI tanggungjawab untuk menerbitkan sebuah sketsa oleh saluran Astro Warna (saluran 132, Astro) cukup memeningkan kepala Michael Ang.

Sebagai seorang penerbit, dia mengakui bukan mudah untuk menghasilkan sketsa yang mampu meninggalkan impak kepada audiens.

Sementelah, sudah banyak rancangan seumpama itu dihasilkan dan Michael sendiri tidak tahu apakah lagi konsep yang sesuai untuk diketengahkan.

Baginya, bukan mudah untuk menghasilkan sketsa kerana kalau silap percaturan, ia boleh menjadi bencana lalu cercaan dan kritikan pedas pasti akan dihamburkan kepadanya.

Namun, entah bagaimana, sedang dia duduk santai di rumah, tiba-tiba fikirannya melayang kepada komik yang cukup popular dan menjadi kegilaan ramai satu ketika dahulu, Gila-Gila (GG).

Memandangkan Michael juga peminat tegar majalah komik itu, lalu dia fikir mengapa tidak dia menzahirkannya menjadi sebuah sketsa.

Tanpa menunggu lama, dia berusaha menjejaki pemilik dan pencipta GG iaitu Jaafar Taib untuk menyuarakan hasratnya itu.

“Tanpa saya duga, Jaafar memberikan restunya kepada saya untuk menerbitkan GG menjadi sebuah siri televisyen.

“Gembira bukan kepalang saya dibuatnya dan dia sendiri memberikan sepenuh kebebasan kepada saya untuk menggunakan kreativiti saya dalam menjadikan ia sebuah tontonan yang menarik.

“Bagi saya, keistimewaan GG adalah terletak kepada jenakanya yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat,” kata Michael yang sebelum ini pernah menerbitkan filem Anak lakonan Erra Fazira dan Ida Nerina.

Menerusi syarikatnya, Box Lite Film Sdn. Bhd., Michael juga pernah menerbitkan drama untuk siaran Astro Ria seperti Ibuku Mee Segera dan terbaru, Kum Kum.

Untuk versi televisyen ini, GG dibahagikan kepada tiga segmen yang merangkumi tiga sketsa setiap satu.

Sketsa-sketsa yang ditampilkan adalah From Taiping With Love, Adegan Yang Kita Tidak Ingin Lihat, Atuk Aku, Tan Tin Tun, Budak Minang, 3 Dara Pingitan dan parodi filem-filem Melayu.

Hanya lima orang pelakon sahaja yang membintangi GG dan pemilihan mereka juga adalah bersesuaian dengan watak menerusi sketsa yang ditampilkan.

Mereka yang dimaksudkan ialah Didie Alias, Sharifah Shahora, Enot, Along Raja Lawak dan Bob Fahrin.

Sementara pelakon seperti Norlia Ghani, Liza Abdullah dan kartunis terkenal, Soya pula akan menjadi pelakon undangan untuk beberapa episod.

Jelas Michael, memang sengaja dia mahu tampilkan bilangan pelakon yang sedikit bagi menyesuaikan dengan konsep rancangan tersebut.

Apatah lagi, Astro Warna juga memberikan kebebasan dan kepercayaan kepadanya untuk memilih pelakon terbaik bagi menghidupkan karya yang cukup nostalgik itu.

“Dari segi pendekatan untuk GG versi televisyen ini, saya mengambil inspirasi itu daripada rancangan MADtv yang cukup popular di Amerika Syarikat.

“Setakat ini, saya cukup puas hati dengan komitmen para pelakon yang telah memberikan persembahan terbaik,” katanya sambil ketawa apabila teringat kembali gelagat para pelakonnya ketika di set penggambaran.

Demi memastikan semuanya berjalan dengan lancar, Michael sendiri menyelak kembali GG seawal tahun 1972 sehingga yang terbaru baik yang ada dalam simpanannya mahupun daripada koleksi milik Jaafar sendiri.

Untuk sketsa 3 Dara Pingitan misalnya, penonton Astro Warna boleh dianggap bertuah kerana ia menampilkan permulaan kisah tiga watak popular iaitu Noi, Esah dan Awa.

“Kami mengekalkan nostalgia GG dalam versi televisyen ini kerana mahu peminat setia komik ini berasa dekat dengan kisah yang sering mereka baca selama ini.

“Cuma untuk parodi filem-filem Melayu itu sahaja kami sesuaikan dengan filem tempatan yang terbaru,” ujar Michael lagi yang mengakui secara peribadi, kisah 3 Dara Pingitan merupakan kegemarannya.

Dalam masa yang sama, Michael tidak menafikan cabaran menghasilkan skrip untuk 13 episod musim pertama GG ini.

Antaranya ialah untuk mencari humor yang bijak dan tepat agar ia tidak memperbodoh-bodohkan penonton serta membosankan.

“Setiap sketsa adalah dalam tempoh satu hingga dua minit dan saya perlu memastikan setiap jenaka itu memberi impak secara tepat dengan pantas.

“Bagi memastikan itu, saya menasihatkan para pelakon agar tidak terlalu berlebih-lebihan ketika di lokasi biarpun skrip hanya dijadikan sebagai panduan,” jelasnya yang berharap dapat meneruskan GG untuk musim kedua seandainya ia mendapat sambutan yang baik.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: