Janji Anggota Search, Wings

3 Dec

BERITA kemunculan semula dua gergasi rock, Search dan Wings yang akan menggegarkan dua lokasi pada 18 dan 25 Disember ini pasti menggembirakan ramai peminat mereka.

Menerusi persembahan yang dikenali DiGi Live! Konsert Gemuruh DT Search dan Wings, mereka akan beraksi di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang diikuti Surf Sunway Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.

Persembahan yang dianggap penutup tirai 2010 ini menyaksikan kerjasama antara penganjur eksklusif, RYE Productions Sdn Bhd bersama rakan penaja, DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) manakala Harian Metro adalah akhbar rasmi.

Produser konsert, Mas Ayie Mas Omar, berkata persiapan untuk mengadakan dua konsert ini sedang rancak berjalan dan mengikut perancangan. Antara Search mahupun Wings, kedua-dua anggota kumpulan ini semakin sibuk dengan berlatih di studio agar dapat memberi persembahan terbaik.

“Bagi penganjur, Search dan Wings sendiri, kami masih dalam proses memilih lagu-lagu terbaik yang akan dipersembahkan pada dua persembahan itu nanti.

“Apa yang ditekankan, kami mahu beri kelainan pada persembahan mereka yang pernah dibuat sebelum ini.

“Sehingga kini, kami sebenarnya masih belum mendapat senarai lagu-lagu yang paling sesuai.

“Seperti yang peminat tahu, kedua kumpulan ini ada banyak lagu terbaik dan popular. Ini memberi kesukaran untuk menentukan lagu mana yang ingin dipersembahkan.

“Sebagai produser, saya juga mendapatkan pandangan peminat mengenai lagu pilihan mereka sendiri. Kami berharap apa yang dipersembahkan adalah atas kehendak peminat mereka.

“Dua konsert ini dianggap istimewa kerana ia mungkin menjadi persembahan terakhir mereka bersama anggota asal. Siapa tahu, mungkin mereka membawa haluan masing-masing selepas ini,” katanya.

Menerusi empat persembahan lalu bermula awal Mei lalu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Limbang, Sarawak dan Tawau, Sabah, sambutan yang diterima memang cukup menggalakkan.

Kata Mas Ayie, ada segmen solo Search dan Wings pada persembahan kali ini. Memberi kejutan, gabungan lapan pemuzik dari dua kumpulan ini akan bermain serentak pada segmen tertentu.

“Kami banyak berbincang dari aspek persembahan mengikut segmen. Semua anggota Search mahupun Wings memberikan sepenuh komitmen pada persembahan ini walaupun Awie paling sibuk dengan lakonan dan promosi filem barunya.

“Latihan bersama dua kumpulan ini akan bermula minggu depan. Kami percaya pemilihan dua lokasi ini adalah cukup strategik.

“Kami menjangkakan antara 7,000 hingga 10,000 peminat hadir di lokasi Pulau Pinang manakala antara 5,000 hingga 7,000 di Sunway Lagoon.

“Memberi tarikan, peminat akan menyaksikan persembahan unik apabila lagu seperti Opera Hidup dimainkan anggota Search bersama Awie manakala Amy bersama anggota Wings pula menyampaikan lagu Balada Pemuzik Jalanan.

“Saya percaya persembahan ini tidak dapat disaksikan di konsert lain mereka sebelum ini. Begitu juga, anggota asal Search iaitu Amy, Nasir, Din dan Yazid manakala Wings, Awie, Black, Eddy dan Joe berjanji untuk beraksi dengan hebat,” katanya.

Mengenai jualan tiket, Mas Ayie menyatakan penjualan akan bermula minggu ini. Harga tiket adalah RM70 dan cukup berbaloi.

“Sebanyak 28 hingga 30 lagu dijangka dipersembahkan selama dua jam setengah. Peminat juga akan dihiburkan dengan segmen medley,” kata Mas Ayie.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: