Pemilihan Pelakon Berdasarkan Watak

3 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ihsan ASTRO


PASANGAN kekasih, Eira Syazira dan Azad Jasmin merupakan pelakon utama drama bersiri Anak Mami Mek Ani.

SEBAGAI stesen berbayar tunggal negara, Astro mahu terus menghasilkan produk yang berkualiti khusus untuk pelanggan mereka. Sedar akan kehendak masyarakat yang sering dahagakan produk yang kualiti, Astro memang tidak pernah kekeringan idea untuk memberikan yang terbaik kepada penonton mereka.

Saluran-saluran popular stesen itu seperti Astro Ria, Astro Prima dan Astro Oasis telah membuktikan kehebatan kandungan masing-masing sehingga mampu setanding dengan saluran televisyen yang lain.

Sebuah lagi saluran, Astro Warna yang terkandung dalam pakej Mustika juga merupakan antara yang semakin mendapat perhatian.

Sejak dilancarkan setahun yang lalu, memang tidak dapat dinafikan kelebihan Astro Warna adalah terletak kepada kandungan saluran itu yang hanya menyajikan program dari genre komedi sahaja.

Baik drama mahupun program hiburannya, setiap produk yang dihasilkan untuk saluran itu mempunyai pendekatan berbeza dalam memenuhi cita rasa penonton yang pelbagai.

Namun, apa yang menjadi persoalan apabila setiap program yang disiarkan di Astro Warna dilihat tidak mempunyai variasi dari segi pemilihan para pelakonnya.

Hampir kesemua programnya memperlihatkan barisan pelakon yang sama sehingga ada yang mempersoalkan apakah benar industri hiburan ketandusan pelakon yang boleh membawakan watak komedi.

Ketika diajukan pertanyaan tersebut kepada Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, pihaknya memang tidak menafikan perkara tersebut.

Katanya, memang sukar sekali untuk mencari pelakon komedi untuk diketengahkan dalam mana-mana penerbitan untuk saluran itu.

‘Jika pelakon komedi lelaki, kami tidak mempunyai masalah kerana kalau dilihat, negara ini memang banyak pelakon komedi lelaki daripada pelbagai peringkat usia.

‘Apa yang menjadi masalah utama apabila kami sukar sekali untuk mencari pelakon komedi wanita. Bukan satu tugas yang mudah dan kerana itulah, wajah-wajah serupa sahaja yang ditampilkan,’ jelasnya memberikan justifikasi terhadap masalah tersebut.

Nizam berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru Astro Warna di Cathay Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, Astro Warna telah menyediakan empat drama bersiri istimewa khusus buat penonton setia mereka iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak, Ada Aku Kisah, Gila-Gila dan Anak Mami Mek Ani.

Menyambung perbualan, Nizam memberitahu setiap pelakon yang dipilih untuk mana-mana program akan disesuaikan mengikut watak yang ditetapkan.

‘Kami juga masih menggunakan khidmat pelakon komedi veteran seperti Datuk Aziz Sattar tetapi bukan untuk semua produk. Sebaliknya, kami akan mengkaji dan melihat watak yang sesuai untuknya dalam setiap program itu.

‘Begitu juga dengan kemunculan Wan Maimunah dalam siri Anak Mami Mek Ani yang mana karakternya dalam drama itu amat bersesuaian dengannya.

‘Jadi, persoalan pilih kasih mahupun keutamaan pada mana-mana artis juga tidak timbul kerana peluang sememangnya diberikan kepada semua pelakon. Asalkan watak tersebut bersesuaian dengan mereka,’ jelas Nizam yang juga Pengurus Saluran Astro Prima itu panjang lebar.

Dalam masa yang sama juga, dia tidak menafikan bukan mudah untuk memilih karya komedi terbaik yang layak disiarkan di Astro Warna.

Mujurlah katanya, dia mempunyai pasukan terbaik yang banyak membantunya dalam memilih serta mengkaji setiap kertas kerja yang dihasilkan oleh penerbit tempatan.

Mungkin secara mata kasar, komedi adalah genre yang dilihat cukup mudah tetapi Nizam tidak menolak cabaran yang perlu ditempuhinya.

‘Memang saluran Astro Warna adalah untuk penonton yang mahu melepaskan tekanan dan berhibur tanpa perlu memeningkan kepala mereka.

‘Tetapi, itu bukan bermakna kami memilih karya yang dihantar asal boleh sahaja semata-mata mahu memenuhi kuota yang ditetapkan. Kami tetap tidak akan berkompromi soal kualiti,’ ujarnya yang memberitahu menerima lebih daripada 10 buah kertas kerja setiap bulan.

Tambahnya, proses pemilihan dan saringan yang dilakukan memang cukup rumit sehingga hanya sekitar tiga atau empat judul sahaja yang diluluskan.

‘Komedi yang kami mahu tonjolkan haruslah memiliki unsur humor yang mudah difahami dan boleh dikaitkan kepada semua pihak.

‘Kita harus akui bukan semua unsur komedi itu dapat difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Ada kala apa yang kita suka tidak semestinya akan disukai oleh pihak yang lain.

‘Dalam hal ini, Astro Warna lebih selesa untuk menyiarkan program komedi berdasarkan apa yang penonton mahukan,’ katanya lagi.

Tentang empat drama bersiri terbaru yang sudah pun ditayangkan itu, Nizam cukup berpuas hati dengan penghasilan setiap drama itu.

Baginya, dia cukup optimis empat drama itu mampu menarik perhatian peminat dan pencinta genre komedi kerana pendekatan masing-masing yang berbeza sekali gus memberikan kepuasan optimum.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: