'Selamat Tinggal Dunia Lakonan'

3 Dec

SUDAH enam bertahun berlakon, tetapi Nazariah Hassan, 29, atau mesra dengan panggilan Tasha masih berjuang membina nama yang gah.

Antara drama lakonannya adalah Julia Juli, Merdekakan Kampungku, Abang, Adam 4, Sembilu dan Bara.

Kala baru hendak mengukuhkan lagi namanya dalam bidang seni, Tasha bertemu jodoh pula dengan cinta hatinya, Mohd Rustam Roshandin, 27, dan terus mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lalu. Akur dengan tanggungjawabnya sebagai isteri, Tasha mengambil keputusan untuk bersara.

“Bukan suami tak mengizinkan saya berlakon, tapi saya yang mahu berhenti dari dunia seni. “Saya rela menjadi suri rumah sepenuh masa dan sambil itu membantu menguruskan syarikat suami yang mengelolakan KL Downtown di Cheras.

“Sejak itu saya mula minat berniaga. Tambahan melihat kesibukan suami dan 2 Disember ini (semalam) dia membuka satu lagi cawangan, Downtown@Bukit Dukung di R&R Bukit Dukung, Kajang, saya nekad berhenti berlakon.

“Kami akan terus mempromosikan KL Downtown agar menjadi salah satu tempat terkenal di Malaysia,” katanya.

Menurut Tasha, Downtown@Bukit Dukung itu akan dirasmikan pada 25 Disember ini, tetapi mula dibuka pada 20 Disember dengan memberi peluang kepada peniaga untuk berniaga di situ.

Menariknya, kata Tasha, Downtown@Bukit Dukung menyediakan gerai makanan terpilih selain gerai barangan kering seperti pakaian dan hiasan.

“Sesiapa yang ingin berniaga makanan, boleh menghubungi urus setia di talian 03-41474593. Sewanya sekitar RM500 sebulan.

“Bagaimanapun urus setia berhak memilih jenis makanan yang boleh dijual di sana. Saya juga akan membuka Downtown Pit di Downtown@Bukit Dukung yang berkonsep kafe,” katanya.

Tambahnya untuk memeriahkan Downtown itu, persembahan artis akan diadakan setiap minggu di pentas kekal yang dibina di situ.

Pada hari perasmian nanti, antara artis yang akan membuat persembahan, Jamal Abdillah, kumpulan Sixth Sense, Azrin Azhar, Rina, Izwan Pilus, Jaafar Onn dan Along Raja Lawak selaku pengacara.

Pada hari perasmian Downtown itu juga akan diadakan penyembelihan lembu yang diketuai artis dan Jaafar Onn.

Berlakon hampir 29 drama, Tasha menyedari pengorbanan yang dilakukan tidak sia-sia kerana walaupun sudah tidak terjebak dengan dunia glamor, menguruskan aktiviti di bawah syarikat suami sedikit sebanyak mengubat rindunya kerana sering berurusan dengan artis bagi menjayakan persembahan di Downtown.

Teringin juga untuk berlakon semula, namun dia akur terpaksa melihat kerlipan dunia lakonan dari kejauhan dek kesibukannya sekarang.

Ketika sesi fotografi yang diadakan di Restoran Rebung, Bangsar, Rustam setia menemani isterinya.

Menurut usahawan muda yang juga Pengarah Urusan KL Downtown Night Market selepas kejayaannya menguruskan Downtown Cheras, dia berhasrat membangunkan tempat lain pula yang secara tidak langsung dapat menjana ekonomi masyarakat setempat.

“Kebetulan pihak Grand Saga yang menguruskan Lebuhraya Cheras-Kajang menawarkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Bukit Dukung untuk dibangunkannya. Kalau dilihat dari lebuh raya itu, kawasan yang terletak dalam mukim Kajang itu agak sepi, tidak seperti kebanyakan R&R lain.

“Untuk mendirikan Downtown, saya mencari kawasan yang mempunyai kemudahan selesa seperti tempat letak kereta dan tandas. Justeru, tawaran Grand Saga itu bagai pucuk dicita ulam mendatang.

“Di Downtown@Bukit Dukung ini saya sediakan 150 gerai dan 300 tempat letak kereta percuma dan konsepnya tidak sama dengan di Downtown Cheras.

“Ia lebih seperti medan dengan jualan makanan yang berbeza. Bazaria akan menyusul selepas itu.

“Jumlah gerai itu akan bertambah bagi menyemarakkan lagi kawasan perniagaan itu,” katanya.

Dengan perancangan rapi, dia yakin lokasi ini akan ‘meletup’ seperti Downtown Cheras.

“Saya juga memberi peluang kepada bekas penghuni Pengasih, Kuala Lumpur berniaga di sana bagi memulakan hidup baru. Di Downtown Cheras ramai bekas Pengasih berniaga di sana dan tiada siapa yang perasan kerana mereka berjaya memulakan kehidupan baru.

“Malah sebagai membantu meringankan beban kewangan Pengasih, 30 peratus dari keuntungan perniagaan di Downtown@Bukit Dukung akan disumbangkan kepada mereka,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: