Sheila Beri Peluang Artis Bertudung

3 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


LAKONAN empat pelakon ini dalam drama bersiri, Sakti Delima akan dapat ditonton menerusi slot Lagenda di TV3 bermula 3 Januari depan.

MENGENALI produser wanita yang cukup produktif ini, sering kali dia tidak pernah gagal memberikan santapan terbaik menerusi karya-karya terbitan syarikatnya, JS Pictures.

Bukan hanya menerapkan dakwah dan mesej menerusi drama-dramanya, tetapi Sheila Rusly juga amat menitik beratkan kelainan yang ingin ditonjolkan.

Sebagai penerbit yang terkenal dengan drama yang berkualiti, Sheila tidak mahu penonton berasa bosan dengan jalan cerita yang klise.

Biar susah mana sekalipun, Sheila enggan menjadikan ia sebagai satu halangan dalam melahirkan drama yang mampu meninggalkan impak kepada audiens.

Begitu juga tentang perihal imejnya yang bertudung. Di awal kemunculannya dengan imej tersebut, ramai yang agak skeptikal dengan kemampuan anak jati Kuala Lumpur itu meneruskan karier seninya sebagai seorang aktres.

Sekali lagi, Sheila membuktikan itu bukannya satu masalah besar asalkan dia bijak memilih dan mewarnakan watak yang dijayakannya dengan baik.

Meskipun pernah dikritik hanya mampu berlakon di bawah terbitan syarikat miliknya sahaja, Sheila sedikit pun tidak pernah melatah mahupun melenting.

Menerusi JS Pictures, kata Sheila, dia mempunyai sepenuh kebebasan untuk berkarya dalam memikirkan apa jua watak yang sesuai dengan penampilannya.

“Selalunya masyarakat menganggap kalau pelakon yang sudah memakai tudung, sukar sekali mendapat watak yang benar-benar memberikan kepuasan.

“Tetapi, kalau kita berfikir di luar kotak fikiran kita, saya percaya tiada yang mustahil dalam menghasilkan watak khusus untuk wanita bertudung.

“Sebagai anak seni, kita seharusnya lebih kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan untuk audiens kita,” jelas Sheila bersungguh ketika ditemui di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Sheila sendiri sudah membuktikan sebelum ini apabila membawakan watak antagonis, Malika dalam drama bersiri Anak Betong dan Cucu Betong.

Menerusi drama bersiri terbaru, Sakti Dilema yang bakal menghiasi slot Lagenda di TV3 bermula 3 Januari depan, Sheila sekali lagi menampilkan kelainan yang pasti akan menarik perhatian audiens kelak.

Mana tidaknya, kali ini Sheila telah mengumpulkan artis-artis wanita yang bertudung untuk menerajui Sakti Dilema termasuk dirinya sendiri yang membawakan watak Siti Anggerik.

Lima aktres pilihan Sheila untuk drama ini ialah Bienda sebagai Siti Melur, Catriona Ross (Permaisuri Nirwana), Safura Ya’cob (Siti Tanjung), Liza Hanim (Dewi Bitara) dan Aida Khalida (Kemalasari).

“Inilah salah satu kelainan dalam drama ini dan saya memang mewujudkan watak-watak yang ada dalam drama ini khusus untuk kesemua pelakon ini.

“Sebagai teman seperjuangan, kadang-kala saya sedih mendengar keluhan mereka yang sukar mendapat watak yang sesuai dengan mereka.

“Sering kali watak yang diberikan kepada mereka begitu klise. Atas alasan itu, saya mahu membuka peluang kepada mereka dengan membuktikan kepada masyarakat bahawa tidak semestinya bertudung ia mampu menyekat bakat lakonan mereka,” kata Sheila mempertahankan pendiriannya saat diajukan tentang rasional dia berbuat demikian.

Berbicara lanjut tentang Sakti Dilema, Sheila tidak menafikan sebagai penerbit, dia juga berdepan dengan situasi yang merumitkan dalam menjadikan Sakti Dilema sebagai karya terbaik.

Walaupun pernah menerbitkan drama bersiri untuk slot Lagenda sebelum ini, kelainan Sakti Delima terletak pada genre epik yang pertama kali diterbitkan oleh JS Pictures.

“Memang cukup mencabar menghasilkan sebuah drama epik secara total kerana segala aspek perlu dititik beratkan dari lokasi, busana sehinggalah ke tata rias.

“Tetapi, saya harus akui ia merupakan pengalaman yang cukup menakjubkan kerana berpeluang berlakon dengan pelakon yang kali pertama muncul dalam drama terbitan saya.

“Juga, seluruh krew yang menjalankan tanggungjawab dan kerja masing-masing seperti mana yang dirancang menjadikan penggambaran drama ini semuanya berjalan lancar,” ujarnya tentang Sakti Delima yang merupakan adaptasi daripada kisah klasik Panca Delima.

Malah, Sheila juga sanggup mengeluarkan bajet yang besar dengan menyediakan busana khas untuk semua watak utama tersebut.

Begitu juga dengan pemilihan lokasi iaitu Sungai Congkak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor yang bertepatan sekali dengan konsep penceritaan Sakti Delima.

Ketika ditanya tentang harapannya, tiada lain yang Sheila harapkan melainkan drama bersiri 20 episod itu akan meninggalkan impak yang luar biasa dan menghiburkan audiens seperti drama-dramanya sebelum ini.

Pelakon lain yang turut membintangi Sakti Delima hasil tulisan Sofia J. Rhyland itu ialah Iqram Dinzly yang melakonkan watak Putera Nurfirdaus, Ungku Ismail (Andika) dan Syean (Faris).

Bienda tiada masalah

Berbanding dengan Safura dan Catriona Ross, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Penantian ini tidak berdepan dengan masalah meskipun dia bertudung.

Barangkali semua itu ada kaitan dengan personalitinya yang memang sedari awal sudah bertudung sejak menceburkan diri dalam bidang seni.

Bienda menjelaskan dia bertuah kerana sepanjang lebih lima tahun menjadi artis, dia tidak berdepan dengan masalah besar dalam membawakan pelbagai watak yang diberikan kepadanya.

Katanya, pengarah yang menggalas tanggungjawab tersebut benar-benar memahami kedudukannya sebagai wanita bertudung.

“Tetapi, dalam masa yang sama saya juga sebenarnya mengharapkan lebih ramai penerbit drama dan filem membuka mata bahawa apa yang penting adalah bakat.

“Adakah kerana seseorang itu bertudung rezekinya perlu disekat dan tidak boleh diberikan watak yang mampu mencabar kredibiliti mereka sebagai seorang aktres,” ujar Bienda atau nama penuhnya, Nor Razlinda Razli memberikan pendapatnya.

Mengenai wataknya sebagai Siti Melur dalam drama itu, Bienda memberitahu, dia tidak ada masalah berlakon bersama pelakon lain.

Katanya, kali pertama berlakon di bawah arahan Jinggo memberikannya pengalaman berbeza dan pengarah itu cukup faham dengan situasinya sebagai wanita bertudung.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: