Adik-Adikku Kembali Lagi

4 Dec

RANCANGAN Adik-Adikku yang bersiaran pada 18 Mac lalu mencetuskan satu fenomena baru dalam penerbitan program realiti TV tempatan.

Paling membanggakan apabila program itu merekodkan jumlah hampir sejuta penonton, sekali gus meletakkan Adik-Adikku sebagai program paling popular di TV1 bagi minggu ke-11 tahun ini. Rancangan ini juga mendapat liputan meluas daripada media, selain pelbagai komen positif daripada penonton.

Atas sambutan hangat yang diberikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan pencarian bakat Adik-Adikku bagi musim kedua.

Program ini dilihat sebagai rancangan alternatif kepada kanak-kanak yang tidak hanya menerapkan unsur hiburan semata-mata, tetapi terbukti mampu mencungkil bakat, karisma, kepemimpinan dan membentuk keyakinan diri peserta melalui persembahan mereka di pentas Adik-Adikku. Generasi muda hari ini sewajarnya dididik dengan sifat Rasulullah s.a.w ketika zaman kanak-kanak dan remaja yang sangat mulia serta berwibawa, sekali gus dijadikan idola kanak-kanak hari ini.

Objektif rancangan ini untuk memaparkan karisma kanak-kanak, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri kanak-kanak serta dapat mendorong membentuk jati diri dan istiqomah dalam keemimpinan kanak-kanak.

Sesi uji bakat Adik-Adikku musim kedua sudahpun dijalankan di 14 lokasi di seluruh negara. Penyertaan terbuka kepada peserta berumur 8 hingga 12 tahun dan pemilihan berdasarkan kepetahan berpidato, bertarannum, mengalunkan azan (bagi peserta lelaki) dan bernasyid.

Ada peserta yang menampilkan kelainan dengan membuat persembahan seperti berzanji, marhaban dan kalam jama’ie dalam menambat hati juri.

Program Adik-Adikku musim kedua ini masih mengekalkan konsep seperti musim pertama iaitu menggabungkan elemen hiburan, pendidikan dan riadah.

Persembahan pidato yang ditugaskan kepada setiap peserta perlulah mempunyai mesej ditetapkan tema, jelas, disampaikan dengan menarik dan terpulang kepada kebijaksanaan setiap Murabbi untuk mengasah bakat setiap peserta dan menggunakan kebolehan yang ada untuk tampil berada di pentas Adik-Adikku. Setiap pertandingan realiti mempunyai penyingkiran peserta dan yang membezakan Adik-Adikku dengan program realiti lain, peserta yang tersingkir dibenarkan untuk mengikuti semua aktiviti sepanjang di akademi sehingga tamat program ini.

Bagi aktiviti riadah pula, peserta didedahkan dengan tiga aktiviti yang sering diamalkan Rasulullah iaitu berkuda, memanah dan pada musim kedua ini aktiviti berenang ditampilkan, sekali gus melengkapkan 3 aktiviti amalan Rasulullah.

Peserta juga dibawa melawat tempat tertentu bagi memberi pendedahan kepada peserta.

Untuk musim terbaru ini, peserta yang terpilih ke Akademi Adik-Adikku di Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Bangi bermula 27 November lalu hingga 25 Disember ini akan dikumpulkan selama hampir sebulan dengan kelengkapan penuh dan wajib mengikuti kelas pembelajaran melalui kurikulum sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

Hasil uji bakat di 14 lokasi seluruh negara, 16 peserta berbakat telah dipilih. Peserta lelaki (Da’ie) yang layak iaitu Muhammad Ammar Mukhlis Abd Mohsin, Muhammad Amirul Munir Azlin, Zaid Najmudin Zul Akmal, Muhammad Abdussalam Mohd Nidzomuddin, Isma Amirrul Ismail, Khair Najmi Mohd Khair, Amir Hamzah Hizir dan Muhammad Zakiy Najdee Shahirul.

Peserta perempuan pula, Siti Nur Alia Safri, Normarina Misuari Baharodin, Syafiqah Fasiha Ahmad Safri, Iffah Ahmad Hilmi, Raudhatus Syamimi Harun, Najahatus Solehah Rapihi, Amira Nursyahira Azli dan Nurjannati Syakirin Ramli.

Akademi Adik-Adikku akan diketuai seorang Ra’es selaku pengetua iaitu Farihin Abdul Fattah dan empat Murabbi terdiri daripada Ustaz Zamri Zainuldin, Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah, Ustaz Badrul Sani Baharudin dan Ustazah Asni Abu Mansor membimbing peserta yang terpilih ke pusingan akhir. Setiap Murabbi akan diberi empat Da’ie untuk dididik, diasuh, diasah bakat mereka bagi pertandingan ini. Pertandingan pidato akan diadakan di Studio Media Jakim, Putrajaya.

Program ini akan dikendalikan Mohamed Noor Mohamed Yusof bersama peserta Adik-Adikku musim pertama.

Seperti musim pertama, pertandingan pidato ini akan diadili gandingan juri profesional daripada pelbagai bidang bagi melengkapkan penjurian dan memperoleh keputusan muktamad. Juri akan memberikan komen untuk setiap persembahan mereka ketika pertandingan berlangsung. Program Diari pula dikendalikan empat peserta Adik-Adikku musim pertama. Adik-Adikku musim kedua ini amat istimewa berbanding musim lalu kerana penonton dapat melihat sendiri pembabitan dan bakat peserta musim pertama kerana mereka terbabit secara langsung dalam program ini.

Segmen Diari Adik-Adikku akan memaparkan aktiviti harian yang berlaku kepada peserta Adik-Adikku daripada aktiviti kurikulum, riadah, lawatan sehingga persiapan menghadapi pertandingan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: