Mutu Lagu Atau Populariti Penyanyi?

4 Dec

MELIHAT senarai lagu layak ke Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25), ramai menjangkakan acara kemuncak nanti yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari depan di Stadium
Putra Bukit Jalil bakal mendapat sambutan hangat.

Ini kerana tiada seorang pun penyanyi berjaya ke peringkat akhir tidak mempunyai nilai komersial dan mampu menarik perhatian penonton.

Perasan atau tidak, lagu layak bertanding bakal dipersembahkan penyanyi bertaraf ‘rockstar’, kumpulan indie yang kini menjadi kegilaan ramai dan bintang realiti TV. Situasi ini menyebabkan ada yang berpendapat, populariti mengaburi kualiti lagu sekali lagi bakal menjadi isu dan menjadi pertikaian ramai.

Tidak kurang yang menyatakan pemilihan lagu layak ke peringkat akhir sememangnya bergantung kepada populariti penyanyi dan AJL yang kini sudah masuk usia jubli perak bakal menjadi sekadar konsert mega.

Sudahnya, objektif AJL diwujudkan TV3 bermula 1986 oleh Datuk Ahmad Merican yang ketika itu Pengurus Rancangan TV3 untuk mengangkat pencipta lagu dan penulis lirik akan ke mana akhirnya? Penyanyi Adibah Noor, yang mengungguli AJL21 menjelaskan, AJL kini sudah menjadi satu ‘trend’ dan biasanya mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung ada kepentingan.

“Sebagai penyanyi sudah tentu pentas AJL dijadikan medan untuk kelangsungan kerjaya.

“Bagi stesen televisyen yang menganjurkan pertandingan ini pula memerlukan rating tinggi bagi memastikan rancangan dihasilkan mendapat sambutan dan ditonton ramai.

“Buat apa menerbitkan sesebuah rancangan sekiranya ia tidak mempunyai penonton.

Itu sudah menjadi perspektif penggiat televisyen. Saya yakin AJL25 akan mendapat sambutan hangat terutama daripada golongan muda,” katanya.

Begitupun jelas Adibah yang ditemui ketika menjayakan program Revolusi Anugerah Juara Lagu 25 di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini, tidak dinafikan dia bimbang dengan perkembangan populariti menga buri kualiti lagu dipertanding kan kerana tersasar daripada tujuan sebenar ia diadakan.

“Pihak produksi TV3 sendiri menegaskan AJL adalah pertandingan lagu di mana kualiti melodi dan lirik dihasilkan penulis lebih diberi perhatian,” katanya.

Bagaimanapun ia tidak berlaku seperti apa yang dinyatakan, malah Adibah berkata, ada beberapa lagu yang dipertandingkan sebenarnya harus berada dalam senarai AJL25, tetapi tidak berjaya.

“Namun saya tidak kata semua lagu yang layak itu tidak bagus kerana boleh dikatakan 80 peratus lagu yang tersenarai memang berada pada tahap baik.

“Cuma sekali lagi saya tekankan AJL menilai hasil lagu dan lirik, tetapi bukan penyanyi.

“Populariti penyanyi tidak seharusnya mempengaruhi keputusan dibuat.

“Bagaimanapun, ada beberapa penyanyi bertanding seperti Yuna dan Faizal Tahir bertanding dengan karya sendiri,” katanya.

Penyanyi Noraniza Idris yang mengungguli kategori persembahan terbaik pada Muzik Muzik 1998 hingga 2000 dan 2004 pula menjelaskan apabila kategori itu dihapuskan inilah yang terjadi kepada AJL dan ia akan dimonopoli oleh mereka yang popular dan punya nama besar.

“Saya tidak bercakap atas kepentingan peribadi tetapi secara keseluruhan. Saya rasa penonton setia rancangan ini juga oleh nampak perubahan yang berlaku dalam rancangan ini. Ia kini di monopoli belia dan nilai komersil menguasai AJL.

Apatah lagi sekarang ini dunia hiburan bertunjangkan kepada kuasa undian sistem pesanan ringkas (SMS), sudah tentu ia akan menyebelahi satu pihak saja,” katanya.

Jelas Noraniza lagi, dalam pemerintah negara sibuk menyatakan soal penyatuan bangsa, AJL boleh menjadi ruang untuk menyatukan pelbagai kaum dengan mewujudkan kembali kategori seperti sebelum ini, sekali gus memberi ruang kepada mereka yang mahu mengangkat budaya tradisi.

“Penggiat seperti kami memang memerlukan pengaruh yang ada dalam Anugerah Juara Lagu untuk mengenengahkan muzik tradisi kepada anak muda agar ia tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Penyanyi Hazami yang pernah duduk di meja juri bagi menilai lagu bertanding di Anugerah Juara Lagu berkata, sebenarnya dalam soal ini ia lebih terletak kepada rezeki dan juga ‘trend’ semasa.

“Muzik sebenarnya berputar seperti bumi dan ada ketika lagu yang dihasilkan bagus cuma ia tidak menepati cita rasa pada tahun atau masa itu.

“Perkara seperti ini juga perlu diberikan perhatian dalam menilai sesebuah lagu yang dipertandingkan.

Tidak kira apa jenis pertandingan, sama ada dalam mahupun luar negara begitulah yang dilihat,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, kata Hazami, setiap tahun apabila pertandingan AJL diadakan, biasanya penganjur mahupun juri akan meletakkan kriteria khas.

Beberapa perkara dinyatakan sebagai garis panduan agar pemilihan selaras dengan pasaran dan kehendak pendengar.

“Biasanya dalam AJL, saya akan melihat kepada persembahan dan juga vokal, kemudian lagu dan lirik sama ada ia memenuhi kriteria yang sudah ditetapkan. Perkara ini jugalah yang menyebabkan mengapa sesebuah lagu yang bertanding tidak berjaya ke AJL.

“Ada lagu yang pada pandangan orang luar ia bagus, tetapi tidak layak masuk. Tetapi juri pula apabila meneliti lagu terbabit ia seperti pernah didengari sebelum ini. “Bermakna ia bukan satu komposisi yang segar kerana pernah dilakukan orang lain sebelum ini. Lebih penting lagu bertanding baru ada keasliannya,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: