Nur Fathia Antara Peguam Dan Pelakon

5 Dec

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Foto ZAKARIA IDRIS
Solekan ZULFAZLI SUHADI (0196106969)
Busana JEFFRIEY IBRAHIM (0176816131)


Bakat lakonan Nur Fathia boleh dinilai menerusi drama bersiri terbaru di slot Lestary bertajuk Hani mulai Selasa ini pukul 9 malam di TV3.

ANDA pernah menonton iklan satu produk syampu di kaca televisyen tentang seorang wanita bertudung bermain futsal? Anda juga mungkin menonton drama Nur Kasih dan masih mengingati watak Nabila, kawan baik kepada Nur Amina lakonan Tizz Zaqyah?

Inilah orangnya, Nur Fathia Abdul Latif atau mesra dipanggil Nur Fathia. Cantik bukan?

Tetapi jangan cepat salah sangka dengan kehadiran wajah baru ini dalam bidang lakonan tanah air.

Wanita berusia 23 tahun ini bukannya semata-mata mempertaruhkan wajah jelita dan tubuh menarik untuk tatapan penonton.

Biarpun namanya kini semakin berkilau, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu tetap menyimpan cita-cita besar menjadi peguam satu hari nanti.

Sebab itu katanya, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon filem dan drama berikutan jadual penggambaran yang bertembung dengan rutin kelasnya.

Bagi membuktikan cita-citanya itu, Nur Fathia memberitahu, sebaik tamat pengajian nanti, dia merancang untuk menyambung pengajian dalam Sarjana Undang-Undang (LLB) selama dua tahun lagi.

‘Siapa yang tidak sedih dan juga ralat apabila terpaksa menolak tawaran berlakon terutama filem seperti Ombak Rindu? Hendak pula dapat berlakon dengan pelakon lelaki yang saya minati, Aaron Aziz.

‘Tetapi hendak buat macam mana, pengajian tetap menjadi keutamaan saya.

‘Saya selalu motivasi diri dengan berfikir positif apabila sudah tamat pengajian nanti tahun depan, saya boleh berlakon sepuas-puasnya secara sepenuh masa,’ kata pelakon kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia mencintai kedua-dua bidang yang diceburi sekarang namun perlu memberi keutamaan dalam bidang pendidikan demi jaminan pada masa depan.

‘Betul, tawaran berlakon datang sekali sahaja tetapi saya terpaksa menolak kerana ingin menjadi peguam. Saya hendak menjadi pelakon yang berilmu,’ katanya yang juga anak saudara kepada pengacara popular TV9, Farah Deeba.

Sanggup tukar kursus

Nur Fathia memulakan kerjaya seni agak lewat pada usia 19 tahun. Itu pun selepas iklan produk syampu muncul di kaca televisyen sekali gus menarik perhatian ramai produser drama dan filem.

Seperti diduga, bakat wanita tinggi lampai ini dihidu apabila terpilih membintangi drama Nur Kasih sebelum muncul drama seperti Musang Berjanggut, Dea Sofea dan Laila Asyikin, semuanya ditayangkan di TV3.

Bintangnya semakin berkilau apabila memegang watak heroin dalam filem Hijab berpasangan dengan Pierre Andre yang dijangka ditayangkan tidak lama lagi.

Namun gara-gara memburu profesion peguam sebagai impian utama, Nur Fathia kini lebih selesa berlakon iklan yang hanya memerlukan penggambaran sehari.

‘Sebelum ini saya memilih kursus Sarjana Muda Komunikasi Massa selama setahun setengah sebelum membuat keputusan menukar kursus Sarjana Muda Undang-Undang.

‘Saya mula jatuh cinta dengan kerjaya peguam apabila bekerja sambilan pada cuti semester di firma guaman bapa saudara.

‘Dari situ, perasaan minat semakin bercambah memandangkan saya nampak peluang pekerjaan yang cerah untuk bekerja dengan bapa saudara bila tamat pengajian nanti,’ petah ceritanya seperti seorang peguam sedang bersidang di mahkamah.

Pencabar Lisa Surihani?

Rata-rata peminat seni mengetahui pelakon popular, Lisa Surihani memiliki Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom.

Justeru, kemunculan Nurfathia pastinya menambah senarai pelakon wanita yang memiliki pendidikan tinggi dalam bidang undang-undang.

Seraya ditanya kepada wanita yang peramah ini apakah dia bakal mencabar kedudukan Lisa Surihani pada masa akan datang. Lama wanita ini terdiam sebelum berkata pelakon cantik manis itu memiliki cara yang tersendiri berbanding dirinya.

‘Lisa sudah tamat pengajian sedangkan saya masih lagi belajar. Dari segi lakonan pula, dia sudah jauh ke hadapan dan mencapai standard tinggi apabila sudah bergelar pelakon terbaik di negara ini.

‘Kalau hendak bandingkan kami, saya perlu banyak belajar lagi dan berada jauh di belakang Lisa. Saya pernah bertemunya dan dia tidak sombong dan memiliki wajah yang begitu manis,’ katanya yang mengagumi lakonan dramatis popular Ellie Suriaty dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Belum ada teman lelaki

Macam tidak percaya jawapan wanita ini apabila ditanya sama ada sudah berpunya. Belum lagi ada teman lelaki, katanya ringkas. Barangkali dia mahu menjaga ‘saham’ agar tidak jatuh ketika nama semakin berada di puncak. Tambahan pula apabila mendapat tahu Nur Fathia hadir ke sesi fotografi ini bertemankan seorang jejaka.

Namun kelibat lelaki itu tidak kelihatan kerana lebih selesa menunggu di dalam kereta.

‘Dia kawan sahaja dan bukan teman lelaki saya. Sudah lama kami kenal dan dia merupakan rakan lelaki yang baik dengan saya. Kalau saya hendak minta tolong, dengan dialah orangnya,’ katanya berulang kali menafikan jejaka itu sebagai teman istimewanya.

Justeru ditanya bagaimana ciri-ciri lelaki yang mampu mencuri hatinya yang masih kosong itu. Nur Fathia tersenyum manis menampakkan barisan gigi putih yang bersih dan cantik.

‘Kalau boleh biarlah bakal teman lelaki saya nanti seorang yang mempunyai pegangan agama, rendah diri, bertanggungjawab, dapat membimbing saya dan kalau boleh tak nak dari kalangan artis.

‘Tetapi sekarang ini saya memang tidak ada masa hendak mencari teman lelaki. Mana dengan sibuk belajar dan pada masa sama, hendak berlakon lagi,’ katanya yang sedang bercuti semester ketika ini.

Dugaan berwajah cantik

Bukan mudah menjadi artis wanita cantik seperti Nur Fathia. Kalau tak cantik pun susah juga. Jarang pula dipanggil sesi fotografi dan menerima tawaran berlakon.

Berkongsi cabaran yang terpaksa ditempuh dalam industri apabila menjadi pelakon wanita baru yang memiliki wajah cantik, pantas jawabnya ia cukup mengerikan. Jelasnya, ini kerana terdapat segelintir individu yang tidak menyukai perwatakan dirinya yang tidak bersikap hipokrit.

‘Entahlah, saya pun kadang-kadang tidak faham. Saya memang seorang yang jenis periang dan tegur orang di lokasi penggambaran.

‘Tetapi ada juga yang menyindir kata saya tidak ada standard kerana sanggup bercampur dengan semua orang. Kadang-kadang buat baik pun salah, nanti bila tidak bercampur dengan krew pula dikatakan diva’ luahnya dalam nada serba-salah.

Memiliki wajah cantik juga tentu saja ramai yang akan mengaitkan Nur Fathia dengan mana-mana VIP tidak lama lagi. Percayalah.

‘Secara jujur, saya belum ada pengalaman lagi diburu VIP. Saya tidak pandang darjat dan harta, sebaliknya selesa berkawan dengan semua orang.

‘Kalau ada VIP yang nak berkawan, saya akan layan sebagaimana orang lain dan tidak perlu hendak sombong dan kurang ajar,’ katanya yang menolak cinta dari VIP atau mana-mana lelaki buat sementara waktu ini demi pelajaran dan karier lakonan.

Sementara itu, bagi peminat hiburan yang ingin menilai bakat lakonan Nur Fathia, dia akan muncul sebagai teraju utama dalam drama bersiri terbaru di slot Lestary bertajuk Hani mulai Selasa ini pukul 9 malam di TV3.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: