Padi Sahabat Selamanya

6 Dec

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS


Anggota kumpulan Padi, Fadly dan Rindra bersama maskot Upin dan Ipin pada sidang akhbar pelancaran lagu tema Sahabat Selamanya di pejabat urusan Les’ Copaque Production di Shah Alam, baru-baru ini.

FENOMENA animasi yang mengetengahkan si kembar, Upin dan Ipin ternyata berjaya membuka lembaran baru kepada industri kreatif tempatan.

Gelombang yang dibawa oleh produk mutlak terbitan Les’ Copaque Production (LCP) itu bukan hanya melanda kanak-kanak di negara ini tetapi juga ke negara seberang, Indonesia.

Menyedari animasi popular itu cukup dekat dengan jiwa kanak-kanak, kumpulan popular Indonesia, Padi mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan LPC menghasilkan lagu tema untuk animasi yang semakin mendapat tempat di seluruh dunia itu menerusi lagu Sahabat Selamanya.

Hadir menjalankan perbincangan penghasilan sembilan lagu yang bakal dimuatkan dalam album khas Upin dan Ipin, Padi dalam sidang akhbar yang berlangsung di LCP, Shah Alam baru-baru ini memberitahu jalinan kerjasama itu memperlihatkan hubungan setiakawan dua nagara.

Turut terlibat dalam kerjasama itu ialah Sony Music dari dua negara, Malaysia dan Indonesia.

Padi yang diwakili Fadly dan Rindra pada majlis itu memberitahu, ia sejajar dengan mesej saling membantu serta bersahabat selamanya yang sering dipaparkan dalam siri tersebut.

Menariknya, sejak dilancarkan di Jakarta, lagu Sahabat Selamanya berjaya memukau halwa telinga pendengar sehingga berjaya menempatkan diri di tangga ke-20 antara ringback tone popular di negara itu.

‘Tanpa sebarang promosi ternyata tarikan Upin dan Ipin begitu kuat bukan hanya kanak-kanak tetapi juga di kalangan dewasa.

‘Sejak dilancarkan, maklum balas daripada kanak-kanak terutamanya begitu ketara kerana di Indonesia ia sudah menjadi sebahagian daripada diri mereka.

‘Dengan menonton Upin dan Ipin juga, tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi mudah kerana terlalu banyak kata-kata nasihat dan panduan yang boleh dijadikan pegangan mereka,’ kata Fadly mewakili kumpulannya.

Menghasilkan lagu kanak-kanak bukanlah terlalu asing buat Padi. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, mereka sudah berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian dengan kanak-kanak.

Malah kata Rindra, jika dahulu Padi diminati oleh ramai gadis tetapi kini mereka mula mempunyai peminat baru bukan hanya di kalangan kanak-kanak tetapi ibu bapa mereka juga.

‘Kami kurang senang melihat anak-anak kecil yang sedang membesar menyanyikan lagu-lagu cinta yang kebanyakannya kurang sesuai dengan jiwa mereka.

‘Dengan terhasilnya lagu Sahabat Selamanya serta sembilan lagi lagu yang bakal dihasilkan nanti kami harap mesej berguna itu dapat sampai kepada mereka.

‘Niat kami satu iaitu dapat melakukan sesuatu untuk generasi muda,’ kata Fadly lagi.

Andai sebelum ini Padi terkenal sebagai kumpulan yang sering menghasilkan lagu dalam tempoh beberapa tahun, ajaibnya untuk lagu Sahabat Selamanya mereka hanya mengambil masa yang cukup singkat iaitu 10 hari sahaja.

Membayangkan karakter-karakter yang mendukung animasi tersebut yang sering bersahabat tidak kira bangsa dan agama membuahkan ilham kepada mereka dalam penghasilan lirik lagu tersebut.

Dari segi susunan muzik pula, jelas Rindra, ia disesuaikan seperti orang dewasa tetapi liriknya menepati dengan mesej yang ingin disampaikan kepada kanak-kanak.

‘Usaha menghasilkan Sahabat Selamanya ialah cabaran yang mana tidak mudah bagi kami berbicara dalam ‘bahasa’ kanak-kanak.

‘Akan datang mungkin kami perlu pelajari lagi agar sasaran untuk menyampaikan mesej itu berjaya,’ kata Fadly.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: