Cantik Bukan Kerana Botox

7 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


ROHANA Jalil mengakui tidak menyuntik wajahnya tetapi perubahan wajahnya kini adalah kerana teknik solekan.

ISU suntikan botox di kalangan artis tempatan sebenarnya bukan lagi satu berita baru. Kalau ditanya tentang perubahan mendadak pada wajah mereka, masing-masing mempunyai jawapan tersendiri.

Sama ada hendak mengaku atau terus berbohong kepada peminat dengan menafikan tindakan mereka itu, semuanya terpulang pada artis itu sendiri.

Hakikatnya, sekeping gambar tidak akan menipu sesiapa yang melihatnya kerana di situlah tersimpannya pelbagai cerita yang boleh ditafsir.

Masyarakat hari ini sudah semakin bijak menilai dan usahlah cuba hendak menipu mereka dengan pelbagai jawapan yang ada kalanya tidak masuk akal.

Artis popular, Ifa Raziah misalnya mengakui pernah bergelumang dengan dunia suntikan sehingga satu ketika dia sedar akan kemudaratan yang perlu dihadapinya lalu dia berhenti menggunakannya.

Keberanian Ifa memang wajar dipuji kerana dia sedar sampai bila harus berbohong kepada masyarakat. Sedangkan buktinya sudah jelas terpampang di akhbar dan majalah.

Kadangkala yang menjadi mangsa adalah pihak media yang sering dipersalahkan kerana dikatakan tidak mahu mendedahkan kisah artis yang sebenarnya mengamalkan suntikan pada wajah dan badan mereka.

Sebagai pengamal media, apa yang ditulis dan keluar di akhbar itu semuanya berdasarkan fakta serta kenyataan daripada hasil temu ramah yang berlangsung.

Kalau jawapannya ya, maka, itulah apa yang ditulis dan begitulah sebaliknya.

Hits juga tidak terkecuali apabila mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca dan peminat yang sering kali bertanyakan tentang perubahan wajah artis yang pada mereka kelihatan cukup ketara sekali di dalam gambar.

Lebih menghairankan mereka, artis yang sudah berusia pun tidak mahu kalah dengan penampilan diri seolah-olah mahu bersaing dengan artis muda yang bergetah.

Tidak suntik wajah

SALAH seorang daripadanya adalah juara Bintang RTM 1980, Rohana Jalil yang juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa perdebatan peminat hiburan.

Mereka tertanya juga apakah benar Rohana juga sama seperti artis lain yang cukup gemarkan suntikan. Peminat merasakan wajahnya kelihatan jauh berbeza jika hendak dibandingkan pada 10 atau 15 tahun lalu.

Mungkin akan ada yang mencebik, apa hendak disibukkan dengan kes cucuk muka ini kerana bukan hanya artis tetapi sekarang ini orang biasa pun ada yang melakukannya.

Berkesempatan bertemu dengan penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Rayuanku di kediamannya yang terletak di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini, Hits mengambil peluang itu untuk merungkai segala persoalan yang bersarang di minda peminat selama ini.

Sejauh manakah kebenaran tentang isu perubahan wajah Rohana yang bukan hanya meniti di bibir peminat hiburan tetapi juga menjadi topik perbualan di laman sembang di alam maya.

Dalam sesi temu ramah itu, penulis juga membawa beberapa keping gambar lamanya yang dicetak daripada arkib gambar Utusan Malaysia untuk ditunjukkan kepada tuan punya badan.

Dengan tenang, Rohana memberikan justifikasi terhadap isu yang menjadi topik perbualan kami pada petang itu sambil membelek-belek gambar yang berada dalam genggamannya.

Diselak beberapa kali dan ditenungnya gambar-gambar ketika zaman kegemilangannya seraya berkata: ‘Saya tidak menyuntik wajah saya untuk menjadi cantik. Kalau dilihat pada wajah saya dalam gambar-gambar ini, semuanya adalah kerana teknik solekan.

‘Dulu manalah saya pandai menyolek wajah sendiri ketika mahu membuat persembahan. Segala alat solek yang ada ketika itu, semuanya saya gunakan tanpa banyak bicara.

‘Begitu juga dengan penampilan saya. Semuanya mengikut peredaran zaman. Tetapi, sekarang zaman sudah moden. Sudah ada jurusolek yang cukup bijak dan kreatif dalam menyolek wajah.

‘Saya sendiri pun banyak belajar daripada mereka. Bukan hanya jurusolek tetapi juga pereka fesyen yang tidak lokek memberikan tips untuk menjaga penampilan diri.’

Punya peminat sendiri

MELIHAT kepada rejim kecantikannya, penulis sengaja mengusik isteri kepada seorang pegawai polis, Jangir Khan itu apakah dia mahu bersaing dengan artis-artis muda sekarang ini.

‘Saya sudah melalui zaman populariti saya dan buat apa saya hendak bersaing dengan anak-anak muda. Saya mempunyai kumpulan peminat sendiri yang sehingga ke hari ini masih lagi kuat menyokong saya.

‘Saya terus menyanyi pun kerana minat yang terlalu mendalam. Pernah saya mahu berhenti menyanyi dan duduk di rumah seperti suri rumah yang lain tetapi tidak boleh.

‘Tangan ini masih lagi mahu menggenggam mikrofon dan membuat persembahan. Bukan tidak pernah suami saya suruh bersara tetapi saya akan melakukannya bila masanya sampai,’ jelasnya sambil memberitahu anak ketiganya, Syakila Nisha, 18, kini mengikut jejak langkahnya sebagai seorang artis.

Sementara anak sulung dan keduanya, Rosella, 22, dan Shakirah Idora, 20, kata Rohana, lebih selesa dengan bidang yang tiada kaitan dengan dunia seni.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: