Idola Kecil 3 Ke Zoo Negara

7 Dec

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar ihsan TV9


PESERTA Idola Kecil 3 bergambar kenangan di dalam Zoo Negara.

NAMAPUN Idola Kecil 3 (IK3), peserta-peserta pertandingan realiti mencari bakat baru ini tentunya terdiri daripada kanak-kanak.

Sudah menjadi sifat lahiriah kanak-kanak, mereka sentiasa cergas dan menyukai aktiviti-aktiviti yang menghiburkan mereka.

Minggu lalu, satu lawatanyang dibuat khas buat 10 orang peserta rancangan realiti terbitan TV9 ini ke Zoo Negara dengan pelbagai aktiviti yang mengujakan mereka.

Penuh dengan keceriaan dan kegembiraan, kesemua bukan sekadar membuat lawatan sambil belajar di Zoo Negara, malah pelbagai program telah diatur.

Selari dengan era teknologi moden, 10 kanak-kanak berbakat besar ini telah diajar teknik menggunakan kamera Lomo dari tenaga pengajar profesional dari Lomokids dan satu pertandingan mengambil gambar telah diadakan di sana.

Mereka diminta untuk berkongsi pendapat dan sekaligus menangkap gambar-gambar haiwan, pengunjung zoo dan di serata persekitaran zoo tersebut menggunakan kamera Lomo yang disediakan.

Ujar Penerbit IK3, Nurul Ashikin Halim, tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mereka meluahkan personaliti mereka melalui fotografi.

“Selain lawatan ke zoo, sebelum ini kami ada membawa mereka melawat Planetarium, spa untuk kanak-kanak, tapak Jom Heboh dan banyak tempat lagi.

“Lawatan-lawatan sebegini sedikit sebanyak telah memberi para peserta cilik ini peluang untuk menimba ilmu serta menanam sifat cinta terhadap alam dan hidupan.

“Bukan itu sahaja, malah mereka juga dapat menanam semangat dan keyakinan apabila beraksi di atas pentas setiap minggu.

“Lagipun, mereka juga perlukan sesuatu untuk menghiburkan hati mereka dan mengurangkan tekanan dalam menempuhi konsert setiap minggu,” ujarnya ketika ditemui di Zoo Negara.

Ceritanya lagi, Nor Balqis Ahmad Tajudin, 11, berjaya menambat hati para juri apabila dia dipilih sebagai juara pertandingan mengambil gambar tersebut dan memenangi satu kemeja-T eksklusif dari Lomokids.

Segala aktiviti peserta Idola Kecil 3, akan dipaparkan dalam Klip Mini Idola Kecil 3 dan juga Klip Ekstra Idola Kecil 3.

Klip Mini Idola Kecil 3 bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis selama tiga minit pada pukul 7 malam manakala Klip Ekstra Idola Kecil 3 pula akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam.

Ujar peserta tunggal dari Sabah, Angelica Paujin atau mesra dipanggil Angel, peluang yang diberikan oleh IK3 sangat dihargai.

“Saya tidak pernah pergi ke Zoo Negara seumur hidup saya, hanya pernah ke zoo di Sabah sahaja.

“Zoo Negara memang menarik kerana banyak haiwan yang saya hanya pernah lihat di televisyen dan buku ada di sini.

“Seronok bila berjalan-jalan dengan kawan-kawan di sini. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan kami dalam membuat persembahan setiap minggu,” ujarnya.

Cerita Nor Harris Alif Nor Rashidi atau mesra dipanggil Harris pula, apa yang menyeronokkan dia berpeluang belajar mengambil gambar menggunakan kamera Lomo.

“Satu pengalaman baru buat kami mengambil gambar menggunakan kamera Lomo kerana sebelum ini kami biasa menggunakan kamera digital yang biasa sahaja.

“Efek dari kamera ini sangat menarik dan bukan mudah mengambil gambar menggunakan kamera Lomo kerana ia memerlukan filem,” ujar Harris dari Pulau Pinang ini.

Muhammad Afif Abdul Halim atau Afif turut bersetuju dengan rakannya dan merasakan aktiviti luar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan ketegangan menghadapi pertandingan ini.

Walau bagaimanapun, ujar Afif, dia tetap memberi sepenuh perhatian terhadap tugasan yang diberikan dan tidak leka dengan aktiviti-aktiviti lain.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: