Suzanne Minat Lagu Melayu

7 Dec

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


Biarpun bermastautin di luar negara sejak lahir namun Suzanne, gadis kacukan Melayu-Belanda tidak pelat bertutur bahasa Melayu.

ANUARI lalu si gadis berperwatakan manja persis penyanyi Raja Ema ini ke Malaysia bagi mempromosikan dua single yang semakin mendapat tempat di hati pendengar iaitu Kesal dan Penyeri Hati.

Kedatangan gadis kelahiran Utrecht, Belanda itu ke Malaysia ketika itu sekali gus merakamkan beberapa lagi lagu yang bakal dimuatkan dalam mini album pertama miliknya.

Baru-baru ini, Suzanne Brautigam atau lebih dikenali Suzanne, 21, sekali lagi ke Malaysia dalam proses melengkapkan proses akhir pembikinan album Muahh! yang memuatkan tiga lagu iaitu Muahh!, Itu Ini Pasti dan Kau Tetap Di hatiku.

Album yang condong kepada konsep pop komersial itu bakal dilancarkan pada Disember ini.

Biarpun itu merupakan produk sulung Suzanne di arena seni suara namun, apa yang pasti album tersebut berjaya membariskan komposer terkenal negara iaitu Eddie Hamid, Ajai, Adnan Abu Hassan dan Baba.

‘Saya memang bertuah kerana walaupun ini album pertama tetapi dapat bekerjasama dengan komposer terkenal Malaysia.

‘Ini saya anggap sebagai salah satu proses pembelajaran buat saya apatah lagi, saya yang sudah biasa bertutur dalam bahasa Inggeris kini perlu menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu,’ kata Suzanne.

Cabaran ketara yang diambil oleh Suzanne ialah menyanyikan lagu berbahasa Melayu biarpun hakikatnya gadis berbintang Libra ini tidak begitu petah berbahasa Melayu.

Menariknya, biarpun sejak lahir Suzanne dan keluarga bermastautin di luar negara malah sudah menetap selama lapan tahun di Perth, Australia namun tatkala melantunkan suara, Suzanne tidak pelat dan kekok menyebut perkataan Melayu.

Mungkin juga kerana di Australia dia sudah dibiasakan oleh ibunya Zarinah Mahmud berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Biarpun berdarah campuran Melayu dan Belanda, namun lidah Melayunya juga tidak kekok menikmati pelbagai makanan Melayu yang pedas-pedas kegemarannya termasuk sambal belacan, sambal petai dan asam pedas.

‘Berbanding lagu-lagu Inggeris, saya lebih suka menyanyikan lagu-lagu Melayu walaupun saya tidak begitu fasih.

‘Namun inilah cabaran yang saya ambil sebab dalam masa yang sama saya boleh pelajari lebih mendalam tentang bahasa Melayu.

‘Di rumah memang mak saya selalu bercakap Melayu dengan saya namun, tidaklah seperti perkataan-perkataan yang digunakan dalam lirik lagu saya,’ kata Suzanne yang baru sahaja selesai merakamkan lagu Muahh! dalam versi Inggeris.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: