Suzzanne Kembali Dengan Muahh!

7 Dec

GADIS berdarah campuran Melayu-Belanda ini menetap di Perth, Australia.
Namun Suzzanne Brautigam, 21, bersama ibunya, Zarinah Mahmud sanggup berulang alik ke Kuala Lumpur untuk memperkenalkan diri dan lagunya kepada peminat muzik di Malaysia.

Impiannya gadis sunti ini mahu menjadi penyanyi namun dia menyedari lagu Melayu sukar untuk menembusi pasaran muzik di Perth namun dek kerana minat, ibu bapanya sanggup mengeluarkan bajet bagi merealisasikan impian anak gadis mereka untuk menjadi penyanyi.

Oleh itu, cara lain adalah memasarkan lagunya di Malaysia. Single pertamanya berjudul Kesal sudah pun diperkenalkan kepada pendengar di negara ini tahun lalu dan kedatangan Suzanne ke KL baru-baru ini, untuk mempromosikan single keduanya, Muahh!.

“Buat masa ini tidak banyak yang dapat saya lakukan di Perth. Di sana bukan macam di KL dan saya pun tidak pernah dapat undangan menyanyi. Jika rindu untuk menyanyi, saya dan keluarga akan berkaraoke.


“Walaupun lagu saya mendapat sambutan yang baik oleh pendengar di sini, tetapi saya tidak berhasrat untuk berpindah ke KL.


“Biarpun saya dan mama terpaksa berulang alik antara Perth – KL, kami tak kisah. Saya tidak biasa berpisah dengan keluarga dan selesa tinggal di sana.

“Saya menyanyi pun sekadar hobi dan tidak begitu mengharapkannya menjadi sumber pendapatan utama,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini dilahirkan di Singapura dan pada usianya 13 tahun mereka sekeluarga berpindah ke Perth.

Walaupun dia melewati usia remaja di persekitaran yang budayanya lain namun Suzanne tidak pernah melupakan adat dan budaya orang Melayu.

Jiwa Melayunya sangat kental dan menariknya mengenai gadis jelita ini, dia sangat sukakan lagu Melayu.

Dia amat meminati lagu nyanyian Misha Omar, Kridayanti dan Rossa.

Jangan terkejut kerana Suzanne juga suka mendengar lagu dangdut nyanyian Amalina dan Mas Idayu. Menambahkan lagi keunikan Suzanne, dia ingin mencari jejaka Melayu sebagai suaminya dan cita-citanya untuk menjadi guru tadika kerana dia sukakan kanak-kanak.

“Di Perth, saya mendengar semua lagu kegemaran saya menerusi online. Keadaan sekeliling saya sekarang tidak pernah menukar pemikiran saya dan sejak dulu saya suka dengar lagu Melayu dan sebab itu juga saya merakamkan lagu Melayu. Kawan saya di sana pun ramai Melayu kerana ramai orang Malaysia dan Singapura menetap di Perth.

“Di rumah, mama yang berasal dari Singapura akan bercakap bahasa Melayu dengan saya dan adik (Shazwani). Manakala papa pula akan bertutur dalam bahasa Belanda, tetapi saya tidak fasih berbahasa Belanda.

“Walaupun masih pelat, tetapi sejak selalu berulang alik ke KL, saya semakin dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Saya juga lebih mudah untuk menjiwai lagu Melayu daripada lagu Inggeris,” katanya yang semakin pandai bergaya.

Bercakap mengenai lagu Muahh! yang kini berada dalam carta di kebanyakan stesen radio tempatan, Suzanne sangat gembira kerana walaupun dia berada di Perth namun peminat muzik tidak pernah meminggirkan lagunya itu.

Lagu ciptaan Eddie Hamid itu berada tujuh minggu dalam carta THR Gegar di Kelantan FM selama minggu dan Sabah FM pula empat minggu.

Sementara di Perak FM dan Terenggganu FM, Muahh! bertahan untuk tiga minggu serta Mutiara FM dan Perlis FM, masing-masing selama tujuh dan dua minggu. Muahh! turut diputarkan di Muzik FM, Pahang FM dan Suria FM.

Di samping lagu Kesal dan Muahh!, Suzanne sudah pun merakamkan lagu Penyeri Hati berduet dengan pencipta lagu itu sendiri, Eddie Hamid. Lagu lain, Itu Ini Pasti (Ajai) dan Kau Tetap Di Hatiku (Adnan Abu Hassan). Semua lagu itu akan dimuatkan dalam mini album yang akan berada di pasaran pada 10 Disember dan bakal diedarkan Nova Music.

“Muahh! turut dirakamkan dalam versi bahasa Inggeris untuk pasaran muzik di Perth. Muzik dan melodinya semua sama cuma liriknya saya dialih bahasa. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam dunia hiburan tetapi sekiranya berjaya dan album saya laku di pasaran, Alhamdulillah,” katanya.

Mengenali Suzanne lebih dekat, dia dilahirkan pada 9 Oktober 1989 di Utrecht,

Belanda dan kini menuntut di High School, Perth. Mengubati kerinduannya untuk menyanyi dia akan menyanyi pada majlis perjumpaan keluarga dan masyarakat Melayu di sana.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: