Appalam Lebih Sedap

8 Dec

FILEM India Malaysia pertama dihasilkan Tayangan Unggul, Appalam mendapat sambutan apabila kutipan tiket mencecah RM500,000 selepas seminggu ditayangkan.

Melihat perkembangan ini membuatkan Penerbit dan Pengarah Urusan Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai yakin filem Tamil tempatan mempunyai pasaran.

“Menilai kutipan diperoleh menerusi 44 panggung saja ia cukup memberangsangkan dan bermula minggu hadapan ia akan mula ditayangkan di Singapura,” katanya sewaktu dihubungi.

Lebih meyakinkan Gayatri apabila komen diberikan orang ramai juga positif terutama sewaktu mereka mengadakan ‘kejutan’ dengan membawa pelakon untuk beramah mesra bersama penonton.

“Ada penonton yang beritahu kami, mereka tidak menyangka negara kita ada pelakon Tamil yang sangat berbakat. “Ramai juga meluahkan rasa bangga dengan Appalam dan mahu mempromosikan kepada orang lain. Malah, penonton yang datang menyaksikan filem ini juga pelbagai termasuk keluarga dan orang perseorangan,” katanya.

Kebimbangan yang timbul sebelum ini untuk menghasilkan filem yang dibintangi Raja Ilya, Pragasam Sebastian dan Sharifah Amani oleh Tayangan Unggul juga hilang selepas melihat sambutan diberikan penonton.

“Pada peringkat awal saya tidak yakin hendak menghasilkan filem ini kerana menerusi pemerhatian kebanyakan masyarakat India di Malaysia lebih gemar menonton filem Tamil dari India. “Selepas melihat sambutannya saya yakin pelaburan dibuat berbaloi. Lebih penting kita menjadi pelopor untuk membentuk pasaran untuk filem genre sedemikian. Selepas ini Tayangan Unggul tidak teragak-agak untuk menghasilkan lebih banyak filem Tamil tempatan,” katanya.

Khabarnya juga Tayangan Unggul mahu membawa filem Appalam ke India. Menjelaskan mengenai perkara itu, Gayatri berkata mereka kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pengedar di sana.

“Segalanya bermula apabila kami menerima e-mel dari orang di sana yang turut berbangga atas usaha dilakukan Tayangan Unggul. “Mereka sangat berminat dan berharap agar ia dapat ditayangkan di sana. Kami sudah pun berbincang dengan tiga pengedar. “Bagaimanapun ia tidak akan ditayangkan di pawagam sebaliknya di stesen televisyen. Pada saya itu lebih baik sebagai permulaan untuk memperkenalkan kepada orang di sana kita sedang berusaha menghasilkan filem Tamil di sini,” katanya. Sementara itu pengarah Appalam, Afdlin Shauki juga menjelaskan dia lega dengan perkembangan positif apabila filem terbabit mendapat sambutan ramai. “Mereka yang sudah menonton filem ini memberi komen Appalam lebih baik berbanding versi asalnya Pappadom. “Pada saya sudah tentu ia akan menjadi bertambah baik kerana saya berpeluang memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam Pappadom. Seperkara lagi filem Appalam tempoh tayangannya lebih panjang berbanding Pappadom, jadi ruang untuk saya berkarya lebih banyak,” katanya.

Begitupun menyentuh mengenai perkembangan filem Tamil tempatan selepas ini jelas Afdlin, ia bergantung kepada kutipan Appalam yang boleh dijadikan penanda aras.

“Bajet untuk menghasilkan Appalam menelan belanja RM1.5 juta. Pada peringkat awal saya mengingatkan penerbitnya, Gayatri agar tidak mengharap banyak dari Appalam. Sebaliknya jadikan ia sebagai satu percubaan. “Appalam harus membuat kutipan sekurang-kurangnya RM2 juta. Sekiranya filem ini memperoleh sedikit keuntungan bermakna penerbit filem Tamil tempatan akan terus hidup dan boleh terus berkarya. “Malah, penerbit lain juga akan mengikut jejak langkah Tayangan Unggul.

“Saya lega apabila kebanyakan penonton tempatan yang menyaksikan Appalam suka dengan filem ini dengan berkata ia berbeza dengan apa yang pernah dihasilkan oleh penggiat di India yang lebih suka kepada filem bertemakan melodrama. “Lagipun sebelum ini kami lihat filem dari India Enthiran berjaya mengutip RM8 juta di sini. Ini bermakna filem Tamil memang ada pengikutnya di sini. Sekiranya berjaya, saya akan teruskan usaha menghasilkan dan mengarahkan lebih banyak filem India tempatan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: