Belajar Dari Siam Lab

8 Dec

JIKA para pembikin filem Malaysia lega dengan adanya Studio Digital Mix Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Thailand pula boleh berbangga dengan Studio Siam Lab mereka, di Bangkok.

Dua studio itu memudahkan proses pembikinan filem terutamanya proses-proses akhir seperti adunan semula, rakaman bunyi, kesan-kesan khas dan teknik-teknik imej janaan komputer (CGI).

Sungguhpun fungsinya sama, tetapi banyak perkara yang boleh dipelajari daripada Siam Lab yang ditubuhkan pada tahun 1971 berbanding studio milik Finas yang baru beroperasi tidak sampai tiga tahun.

Malah, Studio Digital Mix Stage boleh dikatakan mempunyai peralatan terkini yang bukan sahaja mampu menghasilkan filem-filem bermutu tetapi juga boleh menarik ramai pembikinnya ke studio tersebut.

Sayangnya, bukan sahaja para pembikin filem tempatan kurang menggunakan studio itu, malah ramai pula yang sanggup terbang ke Bangkok bagi melakukan proses-proses tersebut di sana.

Setakat ini Siam Lab mempunyai pelanggan daripada 19 buah syarikat produksi dari Malaysia yang menggunakan studio itu bagi melengkapkan proses-proses akhir pembikinan filem-filem mereka.

Antaranya MIG Production, Grand Brilliance Sdn. Bhd., Skop Production, KRU Film, Astro Shaw dan Excellent Pictures.

Kenapa studio yang terletak di bawah Siam Film Developement Co., Ltd. itu berjaya menarik ramai pelanggan dari Malaysia?

Selain daripada adanya tenaga pakar yang mampu menggunakan segala teknologi di situ, Siam Lab juga sentiasa peka dengan menaik taraf kemudahan yang ada selaras dengan keperluan semasa.

Terbaru studio paling lama di Thailand itu menyediakan kemudahan pembikinan teknik tiga demensi atau 3D yang kini menjadi trend di kalangan pembikin filem selain menjadikannya hab popular di rantau ini.

Kelengkapan mereka bukan setakat studio. Malah turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelanggan seperti bilik rehat, ruang tidur, pengangkutan dan juga hotel yang selesa.

Para pelanggan dilayan dengan baik oleh para kakitangan studio itu. Seolah-olah berada di negara sendiri, selain dapat menjalankan kerja dengan selesa dan lancar.

Dengan harga sewaan studio yang kompetitif, usaha Siam Lab harus dijadikan contoh kerana ia mampu menarik lebih ramai para pembikin filem dari negara-negara lain.

Selain Malaysia, ramai pembikin filem dari Vietnam, Singapura, Indonesia dan China juga memilih Siam Lab selain pengusaha Thailand sendiri yang tidak perlu lagi ke luar negara bagi tujuan tersebut.

Apabila bercakap soal kejayaan, Siam Lab tidak terkecuali berdepan dengan persaingan kerana di Thailand terdapat dua lagi studio yang seumpamanya iaitu Technic Colour dan Kantana Lab.

Ia berbeza dengan Studio Digital Mix Stage yang bukan sahaja tidak mempunyai persaingan, malah dinaungi oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Usaha Finas mewujudkan Studio Digital Mix Stage harus diberi pujian kerana ia merupakan wawasan jangka panjang dalam usaha untuk memajukan bidang perfileman di negara ini.

Selaras dengan matlamat bagi menerbitkan sehingga 60 buah filem setahun pada tahun depan, sudah sampailah masanya segala kekurangan yang ada di studio milik Finas itu dipertingkatkan.

Paling utama ialah menyerapkan tenaga-tenaga pakar selain melatih tenaga kerja sedia ada selain berusaha menarik serta memberi insentif lebih menarik kepada para pembikin filem tanah air.

Kaji dan tanya juga punca mengapakah masih ramai pembikin filem tempatan sanggup terbang ke Siam Lab meskipun segala kemudahan sudah tersedia di Studio Digital Mix Stage?

Sesuatu yang agak pelik juga apabila kebanyakan penerbit tempatan yang menggunakan Studio Siam Lab pula bukannya orang lain. Malah ada di antara mereka yang terbabit secara langsung dengan Finas.

Sudah sampailah masanya Finas memikirkan semula kekurangan di sebalik kecanggihan Studio Digital Mix Stage yang dikatakan menelan kos hampir RM50 juta itu demi industri perfileman tanah air.

Seperkara yang paling penting ialah, usaha keras harus dilakukan bagi membuktikan kepentingan studio itu dan tidak hanya sekerat jalan sehingga timbulnya idea untuk menswastakan pula studio tersebut.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: