Sarimah Dan Cinta Kurang Serasi

8 Dec

SERING kali persoalan mengenai pasangan hidup dan cinta berlegar di minda media apabila berpeluang bertentang mata dengan pengacara jelita, Sarimah Ibrahim, 32.

Sejak memegang status janda dua tahun lalu sehingga kini gadis berdarah Melayu-Irish itu belum menemui pengganti. Gadis yang cukup dikenali dengan kepetahannya mengacara berazam mahu menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjaya dalam bidang seni selain mendalami ilmu pengetahuan. Sarimah mengorak langkah terbabit di belakang tabir dengan penubuhan syarikat, Sarimah Sdn Bhd pada Mac lalu.

Menurut Sarimah, pengalaman lalu mendewasakan dirinya agar lebih berhati-hati dalam melakukan keputusan. Buat masa ini dia lebih selesa menumpukan usaha mengukuhkan nama dalam dunia seni. “Saya tidak fikir bernasib baik dalam bercinta. Buat masa ini kerjaya pengacaraan dan peminat adalah fokus utama ketika ini. “Saya tidak mahu memikirkan soal cinta terlebih dulu dalam keadaan kejayaan yang semakin stabil. “Persoalannya saya sering bertanya kepada diri saya sama ada orang di sekeliling selesa mengenali atau mencintai saya. “Tidak dinafikan setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing. Terpulang kepada seseorang individu berkenaan menilainya.

“Saya sudah menjual rumah lama dan berpindah ke rumah baru. Saya membayangkan untuk menceburi bidang penerbitan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dilalui sepanjang terbabit dalam dunia seni,” katanya.

Sarimah memberitahu dia semakin teruja dan seronok terbabit dalam tugas di belakang tabir. Sejak kebelakangan ini pembabitan bersama produksi tempatan dan Astro bukan hanya memberi ruang kepadanya untuk menimba pelbagai pengalaman baru. Ia termasuk ketika menjalani penggambaran untuk sebuah program terbaru Astro, 1,2,3… tukar! Menurut Sarimah, berbeza daripada program Tangkap Muat yang turut disiarkan di saluran Astro Ria menampilkan dirinya sebagai pengacara ternyata berlainan. Tangkap Muat adalah program yang menukar seseorang untuk menjadi lebih baik dari segi kecantikan diri serta apa saja di sekeliling mereka. Dengan bantuan dua perunding solekan dan fesyen selebriti iaitu, Zulfazli Suhadi dan Rizalman Ibrahim.

Manakala bagi program 1,2,3… tukar! Sarimah dibantu perunding imej yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua, Fitri untuk melaksanakan impian seseorang seperti dalam proses melamar teman wanita, menjadi pelakon, perubahan imej, bertemu dengan selebriti pujaan menerusi program yang disiarkan selama 30 minit itu.

“Memang program ini sangat berbeza. Kebetulan pula saya baru pulang daripada belajar dan membuat kajian di negara Jepun selama dua minggu. “Banyak perkara yang saya pelajari di sana bukan hanya mengenai pengurusan, malah menilai mengenai program realiti yang disiarkan di negara itu. “Sememangnya negara Jepun terkenal dengan penghasilan program berkualiti dan realiti program yang berjaya mendapat sambutan memberangsangkan di peringkat antarabangsa.

“Menyaksikan program daripada Jepun memberikan saya ilham untuk menyuntik kelainan menerusi program ini. Bukan hanya menampilkan perunding fesyen lebih unik ia mempunyai van khas yang memaparkan wajah saya sebagai menghiasi perjalanan program ini,” kata Sarimah ketika ditemui pada minum petang memperkenalkan program itu di Musa Cafe, Avenue K, Jalan Ampang, kelmarin. Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, Penerbit program, Michael Ang dan Pengarah, Razaisyam Rashid.

Menurut Azlin Reza program hiburan gaya hidup bukan hanya merealisasikan impian seseorang menerusi fesyen semata-mata sebaliknya pelbagai kaedah membabitkan selebriti dan masyarakat umum. Tambahnya pemilihan Sarimah Ibrahim sebagai pengacara bertepatan dengan konsep program berkenaan. “Program ini membuka peluang kepada peserta dalam mencapai impian mereka seperti dalam soal kerjaya, percintaan dan masa depan. “Secara tidak langsung program ini mampu memberi keyakinan kepada penonton terutama dalam soal penampilan,” katanya.

Tanpa berbekalkan skrip saksikan kumpulan penerbitan Sarimah dalam melaksanakan dan merealisasikan impian seseorang. Program yang disiarkan sebanyak 13 episod menerusi Astro Ria (saluran 104) setiap Rabu jam 10 malam bermula 15 Disember ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: