Beast Cipta Fenomena Baru

10 Dec

PENYANYI Rain, kumpulan Super Junior dan Wonder Girls antara penyanyi popular dari Korea yang berjaya mencipta nama di pentas hiburan antarabangsa.

Menariknya, fenomena yang dicetuskan mereka bukan hanya di tempat sendiri, malah muzik yang digelar K-Pop menular hingga seluruh dunia termasuk Malaysia. Lantas, tidak hairan mengapa lagu mereka cepat diminati dan setiap persembahan yang diadakan di negara asing turut meraih sambutan menggalakkan.

Bagi peminat Wonder Girls, pastinya kunjungan kali kedua kumpulan gadis jelita ini ke sini dinantikan menerusi konsert mereka di Arena of Stars, Genting Highlands, malam esok.

Begitu juga, suasana di negara asal mereka tetap meriah apabila kumpulan popular, Beast akan mengadakan konsert solo pertama bertempat di Jamsil Indoor Gymnasium, Seoul, Korea pada 12 Disember ini.

Beast dikenali B2ST merujuk akronim Boys To Search for Top pada asalnya, mencipta nama pada 2009. Mereka kemudian menukar nama kepada Beast selepas melancarkan album debut, Beast Is The B2ST pada 14 Oktober tahun lalu.

Mempunyai enam anggota iaitu Yoon Du Jun, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seob, Lee Gi Kwang dan Son Dong Woon, kumpulan ini berjaya mencipta populariti dalam masa singkat. Album sulung mereka berjaya meraih jualan sebanyak 40,000 unit.

Nyata, kehadiran album itu termasuk peluang mengadakan persembahan menerusi program TV, Music Bank terbitan KBS menyaksikan single popular Bad Girl, berjaya melonjak nama kumpulan ini dikenali ramai. Sejak itu, mereka menerima pelbagai tawaran membintangi iklan komersial.

Mencipta trek rekod sendiri, mereka meraih anugerah Rookie of The Month daripada Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Korea Selatan dan Artis Baru Terbaik pada majlis Anugerah Muzik Seoul ke-19, Februari lalu.

Sejak awal tahun ini, mereka juga meluaskan pengaruh muzik dengan mengadakan promosi di Taiwan. Begitu juga, kehadiran album mini kedua, Shock of The New Era berada di pasaran pada 1 Mac lalu, terus meraih sambutan hangat daripada peminat mereka termasuk ditonton menerusi YouTube.

Menariknya, album kali ini memperkenalkan genre muzik baru, Rocktronic yang memberi kelainan pada aspek vokal dan bunyi yang lebih mantap. Eksperimen muzik yang ditonjolkan mereka turut membawa pembaharuan apabila pernah mencuba muzik orkestra yang mendapat respons positif peminat.

Beast kemudian muncul dengan single baru, Clenching My Fist Tight mempromosikan album mini ketiga, Mastermind pada 17 September lalu diikuti album keempat, Lights Go On Again menemui peminat sejak 3 November.

Seperti tiga album sebelumnya, album keempat kali ini juga diminati ramai. Bilangan peminat mereka juga bertambah apabila melancarkan album edisi istimewa, Beast-Japan Premium Edition pada 24 November lalu.

Atas sambutan dan sokongan padu peminat mereka, Beast menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan konsert julung kali yang diberi judul Welcome To Beast Airline.

Dalam persembahan selama dua jam bermula jam 5 petang, anggota Beast tampil dengan imej seperti kapten juruterbang diiring pramugari. Mereka berhasrat menghiburkan peminat mereka sebagai penumpang menerusi percutian bersama Beast. Menariknya, Universal Music Malaysia akan membawa Harian Metro untuk memberi liputan secara eksklusif mengenai persembahan dan temubual bersama Beast pada 12 Disember nanti.

Sementara itu, syarikat telekomunikasi DiGi turut menaja persembahan Beast di Malaysia menerusi DiGi Live K-pop Party 2011 yang akan diadakan di Stadium Negara pada 13 Januari tahun depan. Konsert kali ini turut menyaksikan persembahan bersama penyanyi G.Na dan kumpulan 4Minute.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: