Bukan Peralatan Malaysia Tidak Canggih

10 Dec

MENGAPA perlu ke Bangkok? Bukankah proses akhir sesebuah filem cereka itu boleh dilaksanakan di Kuala Lumpur kerana negara sudah ada kemudahan studio yang canggih?

Itulah persoalan pertama yang bermain di fikiran penulis apabila masih ada produser tempatan sanggup terbang ke luar negara untuk tujuan itu, sekali gus menambahkan lagi kos penerbitan.

Hakikatnya, Malaysia sudah ada Studio Mixstage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang yang peralatannya dikatakan lebih canggih dari studio luar negara seperti di Bangkok, India mahupun Hong Kong.

Studio Siam Film Development Co Ltd (SFD) di Bangplad, Bangkok contohnya, terus menjadi pilihan produser kita apabila ia memproses sekitar 16 filem Malaysia setahun hinggakan Pengurus Pemasarannya, Thanapon Maliwan tidak asing lagi dengan filem Skop Productions Sdn Bhd, MIG Productions Sdn Bhd dan KRU Studios.

Pengarah muda yang mula dikenali melalui filem aksi Evolusi KL Drift, Syamsul Yusof, 26, turut memilih SFD untuk proses akhir semua filem arahannya bermula dengan Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Khurafat dan terbaru, KL Gangster. Filem kelima arahan Syamsul ini memulakan penggambaran pada 9 Jun dan selesai 15 Julai lalu di lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Melaka. Ia kemudian menjalani proses suntingan dan memasukkan suara (dubbing) di Kuala Lumpur, tetapi proses adunan akhir dilakukan di Bangkok.

Kata Syamsul, bukan soal peralatan yang menjadi isunya kerana dia lebih mencari kepakaran tenaga kerja yang sedia ada di SFD. Lebih-lebih lagi ini filem aksi yang banyak memerlukan kesan khas. Katanya, Thailand memang pakar dengan pembuatan filem aksi dan Syamsul mahu menghasilkan filem aksi setaraf karya luar terutama Hong Kong dan Thailand sendiri.

“Mereka pakar dalam filem aksi dan seram dan saya lebih selesa menggunakan kepakaran mereka. “Kelebihan SFD juga, ia pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan dari memotong filem, suntingan, memasukkan suara, muzik hinggalah proses akhir untuk kesan khas dan imej janaan komputer (CGI). “Kepuasannya juga lebih terasa kalau buat di Bangkok dari segi beban kerja. Kalau di Kuala Lumpur, saya perlu jaga dari A hingga Z, tapi di sini, mereka ada pakar masing-masing dan tugas saya lebih kepada memantau kerja mereka saja dan meminta apa yang saya mahu.

“Biasanya produksi lain menghantar jurutera bunyi, tetapi saya memilih untuk buat sendiri dari mula hingga akhir. “Selain di sini, produser kita juga ada pilihan buat di India atau Australia, tetapi saya lebih senang dengan SFD kerana layanan mereka lebih baik dan mudah bekerja dengan mereka,” katanya.

Sebagaimana, kata Thanapon, antara kelebihan SFD ialah menawarkan pusat sehenti untuk memproses filem sebaik saja selesai penggambaran hinggalah siap produk untuk ditayangkan di pawagam, selain kepakaran tenaga kerjanya dengan pengalaman lebih 30 tahun terutama ketelitian memotong filem dengan kos berpatutan.

SDF bukan saja menjadi pilihan produser Malaysia malah Indonesia dengan 20 filem setahun begitu juga China, Filipina dan Singapura manakala di kalangan produser tempatan, 50 peratus daripada keseluruhan 55 hingga 60 filem dihasilkan setahun di Thailand, dihantar ke SDF.

Syamsul tiba di Bangkok pada 27 November lalu dan selesai tugas pada 4 Disember lalu. Anak bujang Datuk Yusof Haslam ini dibantu Rizal Ashreff yang juga penolong pengarah KL Gangster, Musa Idris dari Utusan Audio selaku penasihat teknikal serta Eksekutif Promosi Skop Productions, Rosman.

Rutin harian Syamsul sepanjang di Bangkok adalah keluar dari hotel jam 11 pagi untuk memulakan kerja di SFD dan kembali ke hotel sekitar jam 12 malam. Sebelum itu, Syamsul dan Rizal pasti singgah di Restoran Al-Hussain tidak jauh dari Hotel Le Fenix, Sukhumvit untuk mengisi perut dengan nasi beriani, roti naan atau capati bersama teh tarik.

Kata Syamsul, biasanya dia berada di Bangkok selama tujuh hingga 10 hari, tetapi untuk KL Gangster agak lama kerana bukan saja membabitkan kesan bunyi (sound effect), malah ‘foley effect’ iaitu pelbagai bunyi seperti pergerakan manusia, benda selain CGI dan juga muzik.

“Saya juga patutnya buat proses ini bulan lalu, tetapi ditunda kerana sibuk dengan penggambaran Aku Bukan Tomboy. Selain sibuk menyiapkan proses akhir KL Gangster, saya dan Rizal juga gunakan masa yang ada menyiapkan skrip sekuel Bohsia: Jalan Kembali yang akan memulakan penggambaran akhir Disember nanti. “Perkara sama dilakukan ketika proses akhir Khurafat apabila saya buat skrip Aku Bukan Tomboy,” katanya.

Mengikut jadual, Syamsul sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada 4 Disember, tetapi memerlukan masa tambahan sehingga 9 Disember ini untuk meneliti empat gulung filem agar semuanya memuaskan hati.

Bagaimanapun, Rizal tidak dapat menemani Syamsul kerana terikat dengan jadual penggambaran siri Awan Dania 3 bermula 6 Disember. Musa pula terpaksa pulang sehari lebih awal apabila menerima berita kematian ibunya, Sabaniah Ahmad, 79, ketika sibuk di SFD pada 2 Disember lalu.

Walaupun masih genre aksi, kata Syamsul, KL Gangster berbeza dengan Evolusi KL Drift dan Bohsia kerana KL Drift memaparkan aksi pemanduan kereta secara drift sementara KL Gangster pula lebih memberi fokus kepada babak pergaduhan jalanan atau ‘street fighter’.

Pengedaran dadah dan pil khayal, aktiviti pelacuran serta perebutan jajahan samseng yang menjadi permainan dunia gangsterisme adalah elemen utama menarik filem ini.

Filem ini dibintangi Aaron Aziz sebagai Malik, Adi Putra (Jai), Soffi Jikan (Ajib), Adam Corrie (Dragon), Ridzuan Hashim (King), Zizan Raja Lawak (Fadil) dan Sheera Iskandar (Zati). Ia mengisahkan Malik, gangster yang ingin membina hidup baru selepas keluar penjara.

Bagaimanapun, Malik tersepit apabila kumpulan gangster kembali mengejarnya. Sama ada kembali ke pangkal jalan mahupun terus dengan kumpulan yang pernah menghancurkan hidupnya, semua akan jadi paparan filem KL Gangster yang bakal ditayangkan di pawagam pertengahan tahun depan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: