Gandingan 'Baru' Kau Dan Aku

10 Dec

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

SELEPAS kejayaan rantaian popular Kau Dan Aku yang bersiaran di Astro Ria (saluran 104, Astro) musim pertama, kali ini rantaian itu mula menjentik emosi peminat setianya apabila kembali untuk musim yang terbaru.

Bersiaran setiap hari Selasa pukul 9 malam, siri yang dahulunya menampilkan penyanyi genit, Mila sebagai peneraju wanita utama kini mengetengahkan pelakon muda, Anith Aqila sebagai nama yang membarisi jalur utama drama berkonsepkan muzikal itu.

Di samping mengekalkan watak-watak utama seperti Aril dan Akim, siri terbitan Double Vision yang menerima sentuhan garapan empat pengarah iaitu Roslan Hussein, Chan Wai Cheang, Ho Chee Wai dan Simon Long itu kali ini tampil dengan plot yang lebih segar lagi menghiburkan.

Pelbagai ragam dan konflik terbaru yang bakal menggamit perhatian bakal dipaparkan sepanjang kelangsungan musim terbaru itu nanti.

Bagi Aril dan Akim, sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai teraju utama tentu sahaja memberi lebih makna dalam kerjaya lakonan mereka. Apatah lagi, ini kisah tentang kehidupan remaja yang penuh konflik kehidupan terutamanya dalam mengenal makna sebenar sebuah persahabatan.

Sebagai individu yang pernah mewarnai malam ribuan peminat setia Kau Dan Aku musim lalu jelas Akim, konflik yang difokuskan kali ini lebih condong kepada nilai persahabatan itu sendiri berbanding percintaan pada musim lalu.

Jika pada musim lalu watak Akim diperlihatkan sebagai seorang yang sering bersedih dan tertekan kerana hubungan cinta dengan Mila, tetapi perbezaan kali ini penonton dapat melihat Akim yang lebih ceria.

Bagi Aril pula, antara cabaran besar buat dia dan Akim untuk musim kali ini ialah selain memahami kehendak empat pengarah yang berbeza. Mereka harus mencari keserasian dengan barisan pelakon baru untuk siri tersebut.

“Mujur keserasian antara kami tidaklah sukar untuk dicari kerana antara mereka yang baru menyertai Kau Dan Aku kali ini adalah mereka yang cukup berpengalaman dalam lakonan.

“Antara lain, untuk musim kali ini agak berlainan dari segi jalan cerita. Musim lalu kalau kita perhatikan perjalanan cerita bersambung hingga ke akhir tetapi kali ini setiap satu episod memaparkan perjalanan kisah yang berlainan.

“Maknanya, hampir setiap seorang yang ada dalam siri ini ada kisah yang bakal diketengahkan,” kata Aril.

Selain Akim dan Aril, nama-nama lain yang turut dikekalkan dalam siri tersebut ialah Raja Farah, Farish, Amar, Mimi, Ika Nabila, Anita Baharom, Putri Fateen, Riezman dan Sabrina Ali.

Bagi Anith, pendatang baru yang baru sahaja beberapa bulan melebarkan sayap seni ke dunia lakonan ini, peluang menjadi salah seorang dari ‘warga’ Kau Dan Aku adalah antara yang tidak terduga olehnya.

Mula dikenali selepas menyertai pertandingan nyanyian One In A Million musim ketiga (OIAM3), Anith sebelum ini membuktikan bakat lakonannya dalam teater Gamat yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu.

“Sebelum ini saya memang mengikuti perjalanan kisah Kau Dan Aku sebab muzikal dan lakonan memang sangat dekat dengan jiwa saya.

“Saya sebenarnya memang minat berlakon tetapi belum pernah diberi peluang untuk berlakon mana-mana drama sebelum ini sehinggalah Julai lalu peluang itu datang daripada pengarah Ahmad Idham untuk saya menjayakan Durja Ningsun,” kata Anith yang turut berlakon dalam sitkom Salon yang bersiaran di Astro Warna.

Melakonkan watak Elena seorang yang terlalu yakin dengan diri sendiri, seringkali ingin menjadi yang terbaik, malah tidak mempedulikan rakan-rakannya memberikan cabaran buat pendatang baru sepertinya.

Showcase Kau Dan Aku meriah

Baru-baru ini, bertempat di ruang legar kompleks membeli belah Plaza Alam Sentral, Shah Alam, sebuah persembahan diadakan oleh bintang-bintang rantaian Kau Dan Aku bagi memperkenalkan kepada umum tentang musim terbarunya.

Disaksikan hampir 1,000 penonton yang berkunjung ke pusat membeli belah tersebut, persembahan selama hampir dua jam itu bukan hanya menampilkan lagu-lagu terbaru yang bakal dimuatkan dalam siri tersebut tetapi mendekatkan hubungan antara peminat dan barisan pelakonnya.

Selain Aril, Akim dan Anith, barisan pelakon yang turut menjayakan persembahan yang dikendalikan oleh Farish itu ialah Hafiz, Tony Eusoff, Mimi Harris, Amar, Mimi, Ika Nabila, Anita Baharom, Putri Fateen dan Zulkifli Zain.

Membuka tirai persembahan, Akim, Aril, Anith dan Hafiz tampil menghiburkan peminat dengan lagu Kau Ku Temu sebelum pentas dikuasai oleh Akim kemudiannya dengan lagu Bawa Ku Pergi.

Di samping nyanyian, barisan pelakon turut mengadakan aktiviti permainan termasuk lakonan dan lipat kertas.

Lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan ialah Biar Begini, Noktah Cinta, Janji, Dua Insan Bercinta, Inilah Cinta dan Awan Nano.

Tirai persembahan dilabuhkan dengan lagu Mulanya Disini oleh Akim, Aril, Anith, Hafiz, Tony Eusoff dan Mimi Harris.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: