Mamat Khalid Tidak Kisah

10 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan ihsan TAYANGAN UNGGUL


SALAH satu menarik filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.

SEDARI awal saat dia melangkahkan kaki dalam bidang pengarahan filem, Mamat Khalid sudah memberikan dua opsyen buat mereka yang mahu menonton filem-filemnya.

Sama ada penonton hadir untuk berhibur bagi meredakan ketegangan mahupun menyelami kritikan sosial yang diterapkan dalam setiap filemnya.

Berbeza dengan pengarah lain, filem-filem arahan Mamat cenderung kepada isu dan permasalahan sosial yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini. Bagi Mamat, hanya menerusi filem sahaja dia dapat menyalurkan mesej untuk dinikmati oleh penonton.

Seperti mana filem-filemnya sebelum ini, buah tangan terbaru anak kelahiran Ipoh, Perak itu yang berjudul Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) juga memiliki pendekatan yang serupa.

Untuk pengetahuan, HKLBR merupakan kesinambungan filem Zombie Kampung Pisang (ZKP) yang ditayangkan sekitar tiga tahun lalu.

Malah, Mamat langsung tidak kisah kalau filem terbarunya itu hanya sekadar dinikmati sebagai sebuah hiburan kosong tanpa penonton mendapat sesuatu yang berguna daripada filem tersebut.

‘Saya membikin HKLBR adalah untuk dinikmati oleh penonton daripada pelbagai peringkat umur dan terpulang kepada mereka bagaimana untuk menilai filem terbaru saya ini.

‘Kalau untuk golongan kanak-kanak dan remaja, barangkali mereka akan ketawa dan terhibur dengan lakonan serta bahasa tubuh para pemain watak dalam filem ini. Bagi mereka yang lebih dewasa, saya harap mereka akan dapat memahami mesej dan sindiran menerusi dialog yang diucapkan.

‘Itupun kalau mereka faham dengan apa yang ingin saya sampaikan dan seandainya, mereka mendapat mesej yang disampaikan itu, ia sudah cukup menggembirakan saya. Kalau mereka merasakan HKLBR sekadar untuk suka-suka pun, saya tidak kisah,’ katanya optimis.

Mamat berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas tayangan prebiu HKLBR yang berlangsung di TGV Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai dan barisan pelakon HKLBR termasuk Awie, Johan, Shy8, Pekin, Shoffi Jikan, Delimawati dan Azwan Annuar.

Kritikan

Berbicara lanjut tentang HKLBR, adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat ini berkata, walaupun ia sebuah filem komedi, ia bukan satu tiket untuknya menghasilkan HKLBR secara sambil lewa.

Mamat memberitahu dia banyak mendapat respons daripada peminat dan penonton tentang kelemahan ZKP terutama dari segi solekan serta watak dan jalan ceritanya.

‘Daripada situ, saya belajar dan perbaiki apa yang patut untuk HKLBR dan saya optimis filem ini akan diterima baik oleh penonton tempatan seperti mana sambutan yang diberikan untuk ZKP,’ jelasnya tentang filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta itu lagi.

Tambah pengarah berusia 48 tahun ini juga, penonton tetap boleh menghayati dan memahami jalan cerita HKLBR walaupun tidak menonton ZKP.

‘Watak dan latar belakang yang ditampilkan tetap sama dengan filem pertama. Cuma, kali ini fokus utama adalah kepada watak Hussin lakonan Awie dan kisah yang berlaku sehingga dia mengambil keputusan meninggalkan Kampung Pisang sebelum kembali semula,’ cerita pemilik nama penuh Mohamad Mohd. Khalid ini lagi.

Dalam sidang akhbar itu juga, Mamat sempat mengkhabarkan bahawa dia akan muncul dengan filem ketiga dalam siri zombie sebagai penutup kepada trilogi filem tersebut.

Menggunakan judul sementara, Zombie Ultimatum, Mamat enggan mendedahkan jalan cerita dan pengisian filem tersebut kerana mahu fokus kepada promosi HKLBR terlebih dahulu.

‘Semuanya bergantung juga kepada Tayangan Unggul. Kalau mereka memberi lampu hijau, saya akan meneruskannya,’ ujarnya sambil ketawa dan disahut oleh Gayatri di sebelahnya.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: