Bukan Gadis Penggoda

12 Dec

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
Foto ZAKARIA IDRIS
Pakaian JEFFRIEY IBRAHIM (Gaun pendek) (017-6816131) & RIZKYAFELLAY (Gaun labuh) (019-3552186)
Solekan ZULFAZLI SUHADI (019-6106969)


Gadis kacukan Dusun Kadazan ini mengaku belum terbuka hati untuk bercinta lagi.

RINGKAS memakai jumpsuit tanpa secalit solekan di wajah, dari jauh gadis bertubuh kecil ini tampak seperti masih di bangku sekolah. Cukup kebudak-budakkan.

Hadir ditemani pengurusnya, Adira yang baru berusia 19 tahun ini nampak ceria seawal pertemuan kali pertama bersama Pancaindera bagi melengkapkan sesi penggambaran pagi itu. Dalam hati terdetik rasa puas apabila melihat empunya diri sudah berada di depan mata.

Mana tidaknya, difahamkan susah benar untuk bertemu dengan pemegang gelaran naib juara Akademi Fantasia musim kelapan yang seorang ini.

Semuanya kerana kesibukan dan jadual hariannya yang padat. Melihatkan kesungguhannya yang tiba lebih awal daripada masa yang dijanjikan, tanpa diseru, timbul persoalan bagaimana pula gadis berbintang Virgo ini boleh dilabel sebagai artis tak berdisiplin oleh sesetengah pihak.

Benarkah Adira begitu? Menjawab segala pertanyaan yang bersarang di minda, gadis kelahiran Ranau, Sabah ini tenang membuka mulut melontar isi hati saat diaju soalan.

Menepis dakwaan sebagai artis baru yang bermasalah, Adira tak tegar dirinya dipalit tuduhan sebegitu. Apalagi dia sedar sebagai orang baru, itu bukanlah satu amalan yang patut dipraktikkan. Untuk berlaku sombong jauh sekali.

“Saya sendiri tak tahu macam mana isu ini boleh timbul. Tetapi saya pasti, semuanya berpunca daripada kegagalan saya untuk mengotakan janji menjalani dua buah sesi fotografi bersama sebuah akhbar sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya telah meminta maaf berhubung isu itu dan saya anggap ia sudah selesai. Tak sangka pula sampai sekarang ia masih menjadi bahan cakap-cakap orang.

“Saya ada alasan saya sendiri. Ketika itu, keluarga memerlukan saya menyebabkan saya terpaksa memungkiri janji. Tetapi itu tidak bermakna saya ialah seorang individu yang cakap tak serupa bikin.

“Dalam keadaan itu, sudah tentulah saya terpaksa mengutamakan keluarga walaupun saya sedar komitmen terhadap kerjaya juga penting, ” katanya.

Usai menghela nafas, kata Adira lagi, dia bagaimanapun tidak melatah dengan apa yang berlaku selain menganggap itu cuma salah faham.

Bahkan, tutur anak bongsu daripada lapan beradik ini lagi, dia langsung tidak mengambil hati meski sedar isu-isu begitu bisa menjejaskan imejnya sebagai pendatang baru yang cuba menumpang atmosfera glamor dunia hiburan tanah air.

“Betul, saya tak ambil hati pun. Marah pun tidak. Iyalah, dalam sedar tak sedar saya mungkin ada buat sesetengah pihak terasa hati. Sesuatu yang bukan disengajakan.

“Sama ada masih baru atau tidak, saya bukanlah seorang individu yang ego. Percayalah, saya selagi boleh mahu memuaskan hati semua pihak tetapi sebagai manusia jika ada halangan saya pun tidak mampu berbuat apa-apa,” ujarnya.

Optimis dengan apa yang berlaku selain menganggap semua pihak punya hak untuk menyatakan pendapat subjektif, kata Adira, dia kini banyak belajar daripada kesilapan lalu.

Bukan gadis penggoda

Ada garis senyuman di bibir gadis Dusun ini tatkala ditebak pertanyaan mengenai siapa lelaki bertuah yang menghuni ruang hatinya ketika ini.

Iyalah, sekejap dikaitkan dengan lelaki ini, sekejap dikaitkan dengan lelaki itu. Pokok pangkalnya, yang mana satu wahai cik adik?

Baru sahaja menyingkap tirai dunia hiburan sudah bermacam lelaki yang dikatakan singgah di hatinya. Antara lelaki-lelaki ‘bertuah’ itu termasuklah Daus, Iwan, Maulana dan Shahir.

Cuma ketawa apabila diasak soalan begitu, kata Adira mana mungkin dia memberi ruang cinta untuk lelaki-lelaki yang disebut apatah lagi kehadiran mereka tidak lebih dari sekadar kawan.

“Saya ini orangnya peramah. Dengan sesiapa pun saya akan berkawan tidak kira lelaki atau perempuan. Saya juga seorang yang manja, tapi bukan gedik. Kalau nampak saya mesra dengan mereka itu bukan bermakna saya ni kekasih mereka.

“Itu semua salah faham. Mereka cuma kawanlah. Lagipun saya dah dikaitkan dengan perkara-perkara begini sejak memasuki AF lagi. Dah terbiasa dan tak ambil hati pun. Playgirl? Tidak sama sekali..” katanya.

Menganggap gosip-gosip itu tidak lebih dari sekadar usikan, akui Adira hatinya sehingga kini masih kosong tanpa kehadiran insan istimewa.

Menyentuh mengenai ciri-ciri teman lelaki idaman seandainya hatinya sudah terbuka untuk bercinta, bisik Adira, memahami adalah perkara utama yang dititikberatkan.

“Tak mahulah yang cepat cemburu kak..iyalah, saya kan peramah nanti kalau bercakap dengan lelaki dia ingat saya curang pula. Tapi jangan risau, saya orangnya setia pada yang satu, ” katanya menguntum senyuman manja.

Minah ‘blur’ & bahasa ibunda

Baru sahaja meniti perjalanan seni secara selama enam bulan, banyak transformasi positif yang dapat dilihat pada gadis cantik ini. Kalau dahulu dia didakwa kurang bijak menjawab soalan wartawan selain dicop sebagai minah “blur”, kini Adira banyak memperlihatkan peningkatan yang bergerak seiring dengan kematangannya.

Mengiyakan dakwaan itu, jelas Adira, itu semua berlaku semasa di awal kemunculannya terutama selepas melangkahkan kaki keluar daripada kepompong AF8.

“Saya akui pada mulanya saya memang susah nak faham apa yang ditanya oleh teman-teman wartawan. Kadang-kadang soalannya macam berbelit-belit.

“Sampai sekarang pun saya masih lagi bertatih belajar bagaimana nak memahami soalan-soalan yang diajukan.

“Satu lagi, masa awal-awal dulu, saya takut dengan wartawan. Bukan apa, gerun dengan soalan-soalan maut.

“Tetapi lama-kelamaan saya dah faham kerja mereka dan semakin membiasakan diri sebab saya tahu artis dan wartawan saling memerlukan,” kata penyanyi lagu Aku Ada Kamu ini.

Bercerita mengenai imbuhan kepada transformasi diri, kata Adira dia juga berusaha untuk belajar bagaimana untuk menggunakan bahasa Melayu standard sementelah dirinya dilihat lebih selesa menggunakan dialek Sabah.

“Dialek Sabah masih pekat ya? Eh..tapi ini sudah semakin baik ni kak, kalau dulu lagi pekat sampai orang pun tak faham apa yang saya cakapkan.

“Nasib baiklah ada kawan-kawan yang sudi membantu saya dalam bab ini. Tapi jangan salah faham pula. Bukan bermakna saya malu dengan bahasa ibunda saya, tetapi ini demi kesesuaian berkomunikasi, “katanya.

Menutup bicaranya, kata Adira, sebagai buah tangan baru kepada semua peminat, dia sudah pun menghasilkan single keduanya yang berjudul Ilusi yang akan menemui pendengar tidak lama lagi.

Turut selesai menjalani penggambaran untuk klip video lagu itu yang menjadi tema drama bersiri Awan Dania musim ketiga, kata Adira lagi, kelahiran Ilusi membuktikan bahawa dia serius dalam bidang ini.

“Sekurang-kurangnya tak adalah saya hanya dikenali hanya dengan satu lagu sahaja, lepas ni manalah tahu ada rezeki saya boleh memiliki album pula, kita tengoklah ya, ” ujarnya.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: