Artis Indie Menyerlah Sepanjang 2010

15 Dec

MUZIK beredar mengikut peredaran zaman. Justeru, cita rasa peminat terutama generasi baru turut berubah mengikut arus semasa.

Perumpamaan menggambarkan perubahan senario barisan artis penghibur industri muzik tempatan kini ‘berwajah baru’ berikutan peningkatan populariti artis solo dan band indie sejak beberapa tahun lalu. Sepanjang 2010, penguasaan artis solo atau band indie dilihat masih terus unggul. Ramai artis nama besar akur dengan kehadiran mereka yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Dendangan pemuzik indie terus menghambat hati pendengar moden yang mahu muzik ‘simple’, menangkap dan senang didapati menerusi perantara teknologi komunikasi moden. Ia bermakna kelibat artis yang pernah menyerlah menerusi etnik tradisional atau pop kreatif semakin kurang mendapat tempat. Hujah diperkuatkan apabila pelbagai anugerah industri muzik diadakan sepanjang tahun ini terus menerus dikuasai artis indie yang muda, mampu mencipta dan menyanyikan lagu sendiri. Faktor konsep lagu single yang boleh dimuat turun, jelas sekali menjadi satu ‘trend’ mendapat sambutan baik. Jualan digital terus mencatat peningkatan memberangsangkan sehingga hujung tahun ini, tetapi jualan cakera padat (CD) terus merudum setiap tahun. Muat turun digital popular kerana menjimatkan dan memudahkan peminat memilih satu-satu lagu digemari. Ramai artis Indie mencatat jualan tinggi hinggakan ada artis lebih awal menempa nama menerima kesan mengalami kemerosotan mendadak jualan CD album. Di sebalik itu, cita rasa pendengar genre rock tetap setia bergerak seiring dengan kebangkitan indie menerusi konsert ‘live’.

Hakikat terbukti jualan tiket menyaksikan persembahan nama artis besar luar antarabangsa seperti gitaris bertopi ahli silap mata, Slash, kumpulan pop punk Amerika Syarikat, Paramore dan Tokio Hotel dari Jerman dibawakan pelbagai syarikat korporat serta telekomunikasi membuatkan lokasi konsert sesak.

Tarikan band heavy rock Britain, Deep Purple bersama gitarisnya, Steve Morse mahupun artis otai jazz, George Benson dan konsert Air Supply memberi dimensi baru terhadap penganjuran konsert bertaraf antarabangsa di Malaysia. Ketika ramai artis solo atau berkumpulan seangkatan daripada arus perdana tidak lagi menyengat, dua nama besar rock otai, Search dan Wings tetap kental bertahan. Jenama Double Trouble (DT) yang cekal berjuang sejak 1992 akhirnya mendapat penajaan syarikat telekomunikasi menjayakan dua konsert penutup Digi Live DT mereka pada 18 Disember ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang diikuti Surf Sunway Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, 25 Disember nanti.

Gandingan Amy Search dan Awie (A2) sejak 90-an hingga sekarang diperkemaskan menerusi repertoire dan penggunaan orkestra pada salah satu konsert penutup tirai DT. Dalam beberapa siri Double Trouble di Kuala Lumpur serta Johor Bahru dan bersama ratu rock, Ella menerusi Red On Black di Kuantan, sambutan peminat luar biasa. Bukan itu saja, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual tiket palsu! Aura Search dan Wings tetap klasik dan diminati walaupun arus band baru seperti Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussain (MUH) mahu pun Azlan & Typewriter lebih kerap mengadakan persembahan. Apa lebih menarik, ramai melihat tiga saingan separuh akhir Anugerah Juara Lagu (AJL25) sememangnya dikuasai artis Indie. Kemudahan teknologi seperti laman sosial Facebook (fb), twitter mahupun YouTube antara faktor mesej dan muzik mereka diterima lebih ramai pendengar. Kehadiran gitaris wanita bertudung, Yuna atau Ana Raffali, dengan identiti berbaju kurung mewujudkan kelompok peminat tersendiri khususnya dengan frasa baru dikenali pendengar bandar (urban).

Yuna bakal mencari satu lagi kejayaan besar pada anugerah muzik terbesar tempatan itu berlangsung 9 Januari depan. Kejayaan penyanyi bertudung berusia 24 tahun menang besar mengetepikan ramai nama besar pada Shout! Awards membuktikan Yuna menjadi ikon baru generasi mahukan perubahan. Apapun, AJL25 tidak memerlukan ramalan. Semua 14 lagu secara majoriti dikuasai artis baru menampilkan dendangan 10 artis solo dan empat band Indie dan pelbagai program realiti. Bukan sekadar itu, gitaris berbaju kurung, Ana Raffali bersama Faizal ‘Superman’ Tahir bersaing beberapa juara program realiti, Akademi Fantasia (AF) seperti Shahir, Stacy dan Hafiz termasuk juara OIAM, Tomok dan juara Mentor 3, Black. Buat masa ini, kutipan jualan digital akan diumumkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas statistik keseluruhan diterima syarikat rakaman berakhir hujung tahun. Hayatilah kata-kata legenda gitar ‘ranking’ pertama dunia sepanjang zaman, Jimi Hendrix:”Muzik tidak menipu. Jika ada sesuatu hendak diubah dalam dunia ini, ia hanya boleh berlaku melalui muzik”.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: