Dafi Tak Minta Ihsan Bapa

15 Dec

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Semasa awal kemunculan empat tahun lalu, penyanyi remaja Dafi kerap juga dikritik pasal keupayaan serta kemampuannya bertahan sebagai penyanyi dalam masa yang panjang. Ternyata dia masih kukuh hari ini walaupun artis baru bercambah.

Produk kelahiran Akademi Fantasia 5 itu masih mampu bertahan. Apatah lagi sejak Jun lalu dia memiliki syarikat pengurusan artis dan produksi yang akan fokuskan kerjaya nyanyiannya. Adakah kerana latarbelakang keluarga yang senang membolehkan Dafi kini bergelar usahawan dalam bidang muzik?

Apa kata Dafi?

“Tidak! Saya memulakan syarikat Laugh Out Loud Entertainment (LOLE) ini dengan modal sendiri tanpa meminta bantuan daripada bapa saya. Ya! Saya ada berbincang dan bapa saya menyokong hasrat saya untuk memulakan bisnes dalam bidang muzik.

“Tapi bapa saya tidak mengeluarkan modal untuk saya memulakannya. Segala-galanya saya lakukan sendiri. Saya kumpul hasil kegiatan seni saya. Keluarga hanya menyokong apa yang saya buat. Mereka mahu saya berdikari. Setakat ini alhamdulillah saya masih boleh meneruskan perjalanan syarikat ini dengan sempurna.

“Sekarang LOLE  hanya menguruskan perjalanan seni saya sahaja. Saya sebagai pemilik syarikat ini tentulah mahu menguruskan kerjaya saya sendiri. Insya-Allah saya juga akan menjadi penaung kepada artis lain juga, tapi sebelum itu saya harus kukuhkan jenama Dafi dahulu.

“Kalau nama kita pun tidak kukuh bagaimana kita nak menguruskan orang lain. Siapa yang mahu percayakan kita?” kata Dafi semasa ditemui dalam majlis pelancaran LOLE dan sambutan ulangtahun kelahirannya yang ke-22 di Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu.

Dafi sekarang sedang menyiapkan single pertama yang dijangka akan disiapkan awal tahun depan. Kali ini sebagai syarikat produksi dia sendiri menurunkan idea terutamanya konsep lagu bagaimana yang dia mahukan.

“Single ciptaan Omar K ini berkonsep rancak. Saya sendiri berbincang dengan penulis lirik untuk memasukkan elemen lirik yang saya mahukan. Lagunya belum berjudul kerana sedang menunggu lirik disiapkan.

“Insya-Allah pertengahan tahun depan saya akan pasarkan album penuh. Kami memang merangka untuk mengadakan road tour ke seluruh negara apabila album dipasarkan nanti,” kata Dafi penuh semangat.

Sokong dari belakang

Bapanya, Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta ibu turut memeriahkan majlis yang dianjurkan bersama oleh LOLE dan Kelab Peminat Dafi Malaysia (Dafi FC) itu.

“Saya menyokong hasrat Dafi memiliki syarikat berkaitan muzik. Saya hanya memberi sokongan dan tidak terlibat secara langsung dalam urusan syarikat itu. Sebagai bapa semestinya saya memberi nasihat, terutamanya apa yang dia patut lakukan apabila menjadi seorang ahli perniagaan.

“Saya mahu dia fokus dengan apa sahaja yang dia lakukan. Saya juga mahu dia fokus kepada nyanyian untuk perancangan tahun 2011 kerana tahun ini pembabitannya lebih menjurus kepada lakonan. Saya tak percaya kepada seseorang yang melakukan banyak kerja dalam satu masa. Pada akhirnya semuanya tak ke mana mana.

“Nak berlakon boleh… tapi kena jadikannya sebagai cabang sampingan dan sentiasa memberikan fokus kepada nyanyian kalau dia benar-benar mahu menjadi penyanyi dan penghibur berjaya,” kata Ismail Sabri.

Dia juga sentiasa mengikuti perkembangan anak bujangnya itu dari semasa ke semasa dan tidak sangka dalam masa singkat sudah memikirkan memiliki bisnes sendiri. Menteri itu juga mahu Dafi menjadikan bekas majikannya, kumpulan KRU sebagai contoh terbaik anak muda yang berjaya dalam perniagaan bidang muzik.

“Kalau mahu berjaya sesiapa sahaja kena hasilkan sesuatu yang istimewa dan lain daripada apa yang orang lain buat,” kata Ismail Sabri lagi.

Kejutan buat Dafi

Banyak kejutan buat Dafi yang dihadiahkan oleh peminatnya dalam majlis pelancaran serentak dengan sambutan ulangtahunnya itu. Walaupun Dafi menyertai komitee merancang majlis, tapi ada kejutan yang dia sememangnya tidak diberitahu.

Sebagai gimik pelancaran album, sekumpulan model memperaga pakaian rekaan ahli kelab peminat. Itu Dafi sedia maklum.

Tapi babak di akhirnya iaitu kemunculan Rozita Che Wan membawa sejambah bunga sebagai tanpa syarikat itu dilancarkan ialah satu kejutan. Ia sebagai hadiah kerana Dafi sememagnya mengagumi kecantikan pelakon popular itu.

Segmen membawa kek ulang tahun juga ada kejutan apabila rakan-rakan artis yang rapat dengannya muncul secara mengejut. One Nation Emcees masuk  membawakan kek sambil menyanyikan lagu Happy Birthday To You. Bukan hanya mereka, Marsha juga turut tampil bersama-sama menyanyikan lagu ucap selamat itu.

Tuah peminat

Dafi juga bertuah kerana memiliki peminat yang setia dengannya. Bukan sahaja mengikuti perkembangannya, sebaliknya mereka menjadi sebahagian tulang belakang kerjaya Dafi.

Ratusan acara dilakukan oleh ahli Dafi FC sepanjang empat tahun ia ditubuhkan. Kelab ditubuhkan semasa dia masih dalam program AF5 lagi. Sekarang apabila Dafi memiliki syarikat produksi sendiri, urusan membabitkan peminat semakin mudah diselenggarakan.

“Dafi sangat berterima kasih kepada peminat yang terlalu banyak menyokong kerjaya Dafi sehingga sekarang. Tanpa mereka Dafi mungkin tidak ada di sini hari ini,” kata Dafi.

Majlis tersebut juga banyak didokong oleh ahli kelab peminat. Mereka sangat sporting apabila memilih tema Masquarade Nite. Masing-masing tampil dengan gaya tersendiri.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mangga Online

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: