MTM Dikritik Dalam Senyap

15 Dec


SIAPAKAH pengganti Erra Fazira (kanan) bagi melakonkan watak Dr. Siti Hasmah selepas dia tidak terbabit dalam MTM musim kedua ini nanti?

TUN Dr. Mahathir Mohamad merupakan tokoh pemimpin negara yang dikagumi ramai. Sebab itu, apabila teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) yang bercerita tentang kisah hidup beliau dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dua bulan lalu, ia menjadi bualan ramai.

Ramai yang hendak tahu bagaimana kisah hidup bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu apabila ia di angkat ke pentas teater? Apakah sisi-sisi lain dalam hidup Dr. Mahathir yang mahu diungkap menerusi naskhah tersebut? Apatah lagi, ia pula berkonsepkan muzikal.

Justeru, ramailah yang berduyun-duyun membanjiri IB pada pementasan MTM dari 24 September hingga 9 Oktober lalu. Sepanjang 19 hari pementasan itu diadakan, seramai 19,967 penonton telah menyaksikannya.

Itu adalah penangan positif teater yang diarahkan oleh Rosminah Tahir. Namun, di sebalik penangan publisiti meluas dan bilangan penonton yang ramai itu, ada juga cerita kurang sedap membabitkan MTM yang kedengaran selepas pementasan musim pertamanya.

Antaranya, ada yang mengeluh mengatakan teater skrip tulisan Ismail Kassan itu agak membosankan. Jalan ceritanya juga agak meleret-leret dengan fakta-fakta tentang tokoh itu yang ramai sudah mengetahuinya.

Cuma agak menghairankan kerana ramai yang seolah-olah enggan membuka mulut mahupun mengkritik. Mungkin kerana mahu menjaga hati segelintir pihak. Meskipun suara-suara sumbang itu terpacul keluar, tetapi ia berlaku setelah berakhirnya pementasan tersebut.

Dalam hal ini, MTM pada musim pertama pementasannya itu bolehlah dianggap sebagai bernasib baik. Banyak faktor penyebabnya. Paling utama ialah aura ketokohan yang ada pada Dr. Mahathir itu sendiri.

Ia merupakan pementasan teater atas nama seorang tokoh terbilang yang dipentaskan di saat hayatnya masih lagi dikandung badan. Sebab itulah, ramai yang sanggup bertandang ke IB bagi memberi sokongan terhadap karya tersebut.

Bagaimanapun, di saat ketidakpuasan menonton MTM masih diperkatakan ramai, penerbitnya dengan sokongan IB sekali lagi akan mementaskannya di panggung bertaraf dunia itu pada 21 Januari hingga 30 Januari tahun depan.

Ia lebih kurang tiga bulan selepas berakhirnya MTM musim pertama. Tahniah kepada penerbitnya, Siti Rohayah Attan yang begitu gigih dan berani untuk mementaskannya buat kali yang kedua.

Cuma kurang pasti sama ada beliau pernah mendengar rungutan-rungutan tentang rasa ketidakpuasan para penonton menonton muzikal itu ataupun tidak. Atau pun mereka terlalu berpuas hati sehingga buat-buat tidak mendengarnya.

Jika para tenaga penggerak teater muzikal itu pernah mendengar komen-komen rasa ketidakpuasan penonton yang disuarakan secara senyap itu, mungkin mereka akan berfikir banyak kali untuk mementaskannya buat kali kedua.

MTM masih boleh diteruskan. Tidak kiralah sama ada untuk musim kedua ini ataupun yang seterusnya. Ia masih relevan kerana terlalu banyak cerita di sebalik sisi hidup Dr. Mahathir yang boleh dikongsi oleh seluruh rakyat negara ini.

Mungkin ia boleh digarap dan diserlahkan menerusi pentas teater secara berperingkat-peringkat mengikut era perjalanan usia kehidupan yang dilalui oleh tokoh terbabit.

Namun, pastikan ia bukan sebuah karya ekspres yang sekadar mahu memenuhi tuntutan-tuntutan tertentu sahaja. Contohnya, soal bajet atau penggunaan kostum, prob dan set pentas yang masih boleh digunakan lagi selepas pementasan musim pertama itu.

Untuk menghasilkan sebuah naskhah tokoh besar seperti Dr. Mahathir, paling penting ialah kajian terperinci bukan sahaja fakta tetapi jalan cerita dan gaya olahan skrip teater muzikal itu.

Kita tidak mahu rasa kurang puas hati itu disuarakan sendiri oleh Dr. Mahathir selepas beliau menonton teater tentang kisah hidupnya itu. Ini kerana, sewaktu pementasan itu diadakan beliau tidak sempat menontonnya kerana tidak sihat dan baru pulang daripada menjalani rawatan di Australia.

Pihak produksi MTM sepatutnya tidak sekadar menemu bual Dr. Mahathir dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali semata-mata. Sebaliknya, skrip yang telah siap harus juga dibaca, mendapat semakan serta persetujuan daripada pasangan itu.

Kalau boleh, biarlah juga pementasan latihan karya itu dipertontonkan terlebih dulu kepada Dr. Mahathir dan isterinya, para pengkritik dan wartawan sebelum ini dipersembahkan kepada umum. Ini penting sebagai reaksi awal dan juga dalam usaha untuk menambah baik karya itu.

Sepatutnya, Ismail Kassan selaku penulis skrip MTM juga mendapatkan rujukan, nasihat dan komen daripada anggota-anggota keluarga serta teman-teman rapat dan para pembantu yang pernah berkhidmat dengan Dr. Mahathir sebelum teater itu dipentaskan.

Ia bagi memastikan agar pementasan musim kedua ini bukan sahaja lebih menyerlah berbanding musim pertamanya. Malah, paling penting biarlah MTM mendapat kritikan lebih awal sebelum ia mampu untuk memuaskan hati bukan sahaja para penonton, tetapi juga Dr. Mahathir yang akan menontonnya kelak.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: