Taxi Bolot RM20,000

15 Dec

PERCATURAN mereka selalu sempurna. Permainan mereka pula tidak pernah hambar dan persembahan mereka selalu ada kejutan.

Pemilihan lagu yang menguji kemampuan mereka turut membuktikan mereka memang layak bergelar juara Hot FM Twisties Bingit musim ketiga. Taxi yang dianggotai Sukri Abdul Wahab@Salleh, 23, selaku pemain bass, Mohamad Edzwan Shah Abdul Kadir, 23 (gitar), Sazuan Abdul Wahab@Salleh, 19, (dram) dan Muhammad Ar-Rashidin Tuah, 19, (vokal) berasal dari Johor Bahru ternyata beraksi yakin di pentas akhir Twisties Bingit. Band itu mengetepikan lima finalis yang lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000 serta kontrak rakaman bersama Warner Music (M) Sdn Bhd. Membawakan lagu nyanyian asal Meet Uncle Hussain, Putihnya Lukisan, Jeritan Batinku dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta lagu ciptaan sendiri Angkubah, barisan juri menyifatkan saingan petang itu sememangnya kompetitif, tetapi hanya Taxi yang mampu memberikan aksi konsisten saban minggu.

Naib Juara Hot FM Twisties Bingit disandang kumpulan Drama yang ternyata sedikit kecewa apabila gagal membolot hadiah utama. Begitupun, mereka tetap bersyukur apabila berjaya meraih wang tunai RM10,000. Apatah lagi apabila pihak penganjur sanggup mengeluarkan wang tambahan untuk menghasilkan single pertama mereka.

Uniknya mengenai kumpulan ini, penubuhan mereka terhasil atas gabungan peserta uji bakat seluruh Malaysia. Sememangnya agak sukar mencari keserasian pada peringkat awal.

Namun, diiringi dengan semangat yang kuat serta azam yang membuak untuk memberikan yang terbaik, mereka bangkit pada minggu kedua dan terus cemerlang sehingga ke peringkat akhir.

Selalu tampil dengan pelbagai gimik kreatif, di pentas akhir hari itu mereka menonjolkan drama pendek dengan mengetengahkan sitkom wad gila.

Tempat ketiga pula dirangkul Rock ‘N’ Roll John membawa wang tunai RM4,000 yang turut beraksi mantap. Manakala tempat keempat dan kelima, masing-masing D’Vyder serta O-Two, terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang wang tunai RM2,000. Bagi O-Two, menang kalah bukan perkiraannya, tetapi pengalaman serta pendedahan kepada pencinta muzik yang lebih diutamakan.

“Masuk final pun menjadi bonus kepada kami,” ujar Haniff Khan Mohammes@Mohd Khan selaku pemain dram O-Two. Band yang sudah lama bertapak dalam industri muzik tanah air itu turut gembira apabila single terbaru mereka sudah mula dimainkan di radio.

Raw Discover menduduki tempat keenam dengan wang tunai RM1,000. Petang itu, pentas akhir Hot FM Twisties Bingit diadili empat juri profesional yang mempunyai kelebihan masing-masing iaitu Che Mokh dari Warner Music, Edrie Hashim, Genervie Kam (pengarah muzik) dan Edry KRU.

Selepas berehat bagi menghormati waktu solat, Stadium Kelana Jaya kembali bergegar tepat jam 8.40 malam, pentas sekali lagi digegarkan dengan persembahan artis popular. Antara yang membuat persembahan adalah Black, Pesawat, Mizz Nina, Bittersweet, Aizat, Azlan & The Typewriter, Bunkface dan Faizal Tahir. Penghormatan turut diberikan kepada juara Hot FM Twisties Bingit terdahulu iaitu Modread dan Avidity serta juara baru, Taxi.

Persembahan malam itu dilabuhkan dengan aksi legenda rock tanah air, Wings. Ternyata, kehadiran mereka sememangnya dinantikan dan mampu menjadi contoh band yang terus bertahan.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: