Jay Jay 'Tak Gila' Publisiti

16 Dec

TIGA dekad berada di persada seni suara tanah air bukan satu tempoh pendek dan tidak ramai yang mampu kekal di hati peminat dalam tempoh berkenaan.

Namun bagi penyanyi malar segar, Jay Jay, kunci utama yang menjadi pegangannya sejak dulu hingga kini adalah konsep kesederhanaan yang diamalkannya dalam segenap segi.

Kata penyanyi yang mula mencipta nama bersama kumpulan Carefree pada 1979, dia mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih untuk bersederhana, sedangkan dia pernah meniti puncak populariti, malah namanya masih menjadi sebutan peminat tanpa mengira usia sehingga kini.

Jay Jay atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Darus, 53, berkata, ramai di kalangan artis seangkatannya dulu masih kekal dan bertahan di hati peminat kerana kesederhanaan yang diamalkan mereka dan sentiasa beringat setiap waktu.

“Kalau terlalu menonjol dan berlebihan dalam perkara tertentu, orang akan cepat jemu dengan kita seolah-olah murah sangat.

Begitu juga dengan publisiti, jika asyik muka dan hal kita didedahkan, ia tidak elok dan lambat laun orang akan menyampah.

“Jadi biar kita sendiri yang tapis dan tentukan pada waktu bila dan di mana kita patut menonjol supaya kehadiran kita dirasai dan memberi impak,” katanya.

Bagai mengiakan kata-kata diungkapkan penyanyi kelahiran negeri jelapang padi ini, memang benar dia jarang muncul di media dan konsert terbuka, kebanyakannya lebih tertumpu pada konsert eksklusif dan persendirian.

Katanya, konsep kesederhanaan diamalkan bukan saja terhad di media massa, malah mencakupi kerjaya, keperibadian dan pakaiannya.

Ternyata pegangannya bukan omong kosong apabila lagu Rindu Bayangan yang menjadi lagu wajib dalam setiap persembahannya seolah-olah membuktikan peminat sentiasa rindu pada bayang-bayangnya yang sesekali muncul di khalayak.

“Rindu Bayangan antara lagu wajib saya dalam setiap persembahan kerana menerusi lagu itulah saya dikenali ramai,” katanya.

Tampil secara eksklusif mendekati peminat di pantai timur, dia akan muncul mengadakan persembahan istimewa pada Konsert dan Makan Malam Bersama Jay Jay sempena sambutan Tahun Baru 2010 di Dewan Permata, Permai Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu.

Apa yang menarik, acara yang bermula jam 8 malam pada 31 Disember ini akan dibahagikan kepada tiga sesi persembahan dengan iringan muzik secara akustik, minus one dan band iringan secara langsung.

Kata Jay Jay, dia masih berbincang dengan pihak hotel mengenai lagu yang akan dinyanyikannya nanti, namun yang pasti ia menampilkan kombinasi rangkaian lagu popularnya sejak zaman bersama Carefree dan secara solo.

Sehingga kini, Jay Jay yang sudah 31 tahun berada di arena seni suara tanah air memiliki 12 album dan pastinya lagu popular seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa, Cukuplah Sekali akan terus menjadi siulan peminat.

“Saya tidak menghadkan konsert ini hanya untuk golongan berusia 40 tahun ke atas saja kerana peminat saya kini terdiri daripada pelbagai lapisan usia, buktinya dalam persembahan sebelum ini ramai anak muda menghafal dan menyanyi bersama lagu saya.

“Jadi untuk persembahan di Permai Hotel nanti saya akan menghiburkan hadirin dan peminat dalam suasana santai dan lebih dekat dengan mereka sesuai dengan konsep persembahan eksklusif sambil makan malam sementara menunggu detik tahun baru,” katanya.

Justeru, dia mengharapkan peminat dapat hadir beramai-ramai menjayakan persembahan solonya secara sulung di Terengganu sempena sambutan tahun baru dalam suasana tertutup secara santai, jauh daripada hiruk pikuk kesesakan lalu lintas dan orang ramai seperti kebiasaan yang diraikan sesetengah anak muda di konsert terbuka.

Sementara itu, Pengurus Besar Permai Hotel, Azman Ali berkata, pihaknya menjangkakan lebih 400 tetamu akan menghadiri persembahan istimewa yang julung kali diadakan di hotel itu di bawah pengurusan baru.

Katanya, konsert berkenaan juga antara promosi Permai Hotel memperkenalkan logo barunya selain mempromosikan makan malam sempena tahun baru 2011.

“Jay Jay adalah nama besar dalam industri seni suara tanah air dan lagu popularnya sentiasa segar di hati peminat, jadi kami yakin kehadirannya ke Permai Hotel akan menyediakan platform kepada rakyat Terengganu menikmati persembahan artis kelas satu pada harga berpatutan.

“Selain menjanjikan persembahan istimewa bersama Jay Jay yang dihoskan DJ Hana Nordin (Muzikfm), tetamu akan dihidangkan dengan ‘cocktail reception’ di luar dewan sementara menunggu konsert sebelum disusuli dengan lima set makanan barat selain berpeluang mendapat cenderahati istimewa dan cabutan bertuah,” katanya.

Harga tiket untuk menyaksikan Konsert dan Makan Malam Bersama Jay Jay dijual mengikut ketetapan meja hadapan RM200 (dewasa) dan RM120 (kanak-kanak), meja tengah RM180 (dewasa) dan RM100 (kanak), meja belakang RM150 (dewasa) dan RM120 (kanak-kanak) serta tawaran diskaun 10 peratus untuk tempahan melebihi 10 orang bagi setiap meja.

Orang ramai yang berminat menyaksikan Konsert dan Makan Malam Bersama Jay Jay sempena sambutan tahun baru 2011 boleh menghubungi talian 09-6222122 atau layari laman web http://www.permaiinnkt.com.my atau datang terus pada malam konsert.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: