Muzikal Malim Deman Tutup Tirai 2010

16 Dec

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
IFQDAR.RAHMAN@UTUSAN.COM.MY
Gambar: Ihsan Dewan Filharmonik Petronas


Pementasan Muzikal Malim Deman dikuatkan dengan barisan artis budaya PPAG yang berpengalaman dalam pementasan.

MUZIKAL Malim Deman (MMD) menjadi penutup tirai 2010 buat Dewan Filharmonik Petronas (DFP) apabila ia kembali dipentaskan di platform berprestij tersebut.

Pada awal 2010, naskhah popular itu pernah dipertontonkan di DFP. Akan tetapi, jalan ceritanya dipersembahkan dalam bentuk drama tari.

Kini teater yang akan menampilkan artis budaya Kumpulan Seni Persembahan Petronas (PPAG) akan memulakan pementasannya pada 17 dan 18 Disember ini sebagai aktiviti berterusan Petronas dalam memelihara seni budaya bangsa.

Penerbitnya, Hartini Abdullah ketika ditemui memberitahu, pemilihan untuk mengangkat hikayat khazanah kesusasteraan Melayu yang telah diceritakan secara turun menurun itu disebabkan naskhah tersebut pernah popular suatu ketika dahulu.

‘Ia adalah sebuah karya yang cukup indah dari segi jalan ceritanya. Selain itu, naskhah Hikayat Malim Deman pernah dijadikan bahan rujukan di sekolah-sekolah menengah bagi pelajar yang mengambil jurusan sastera.

‘Saya yakin, naskhah ini mempunyai kelompok peminatnya yang kini telah pun meningkat dewasa,” ujarnya yang sebelum ini pernah menggalas tugas sama sewaktu pementasan teater Mek Mulung pada Julai lalu.

Mengetengahkan 65 barisan artis dan pemuzik PPAG, pementasan MMD dijangka merekodkan kehadiran 800 penonton seperti mana kejayaan beberapa karya yang pernah dipentaskan di DFP sebelum ini.

Menurut Hartini, MMD bakal diperindahkan penceritaannya menerusi 21 buah lagu yang digubah khas oleh komposer yang sedang mencipta nama di persada muzik tempatan, Yuzai.

Tambahnya, kepercayaan untuk membawakan dua watak utama Malim Deman diberikan kepada Mohamad Rizal Mohd. Lizam manakala watak Puteri Bongsu bakal dilakonkan oleh Norhafiza Hamid.

‘Selaku individu yang terlibat secara langsung dengan PPAG, saya yakin dengan bakat lakonan yang ada pada mereka berdua.

‘Kelantangan suara mereka dalam melontarkan dialog dan kemerduan suara kedua-duanya dalam nyanyian adalah faktor utama mereka diberikan peranan utama,” katanya menguatkan struktur dalaman pementasan MMD.

Di samping itu, teater arahan Roslee Mansor itu turut diperkuatkan dengan menggunakan khidmat koreografer A. Sam Palal.

Para penari yang dilengkapkan kostum mengikut 12 babak yang bakal dipersembahkan cukup memberikan daya tarikan tambahan terhadap naskhah hebat itu.

Kreativiti A. Sam Palal turut diuji apabila ruang pentas yang terdapat di dalam DFP adalah terhad dan tidak seperti pentas canggih yang mampu digerakkan dengan kuasa mesin yang dimiliki Istana Budaya.

Pujian harus diberikan kepadanya kerana berjaya menghidupkan suasana sesuai dengan rekaan kostum tarian yang kena dengan setiap babak yang dipersembahkan.

Bagi peminat setia hikayat kesusasteraan Melayu itu, tiket untuk menonton MMD boleh ditempah melalui kaunter Box Office dengan menghubungi talian 03-20517007 atau layari laman web http://www.dfp.com.my

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: