Air Mata Jujur Dua Sahabat

17 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. SHAHARANI SAIBI


TIGA sahabat (dari kiri) Harris, Afif dan Hadi tidak dapat menahan sebak apabila tiada penyingkiran pada konsert minggu lalu.

SUDAH pun namanya program realiti, drama dan kejutan memang tidak dapat dipisahkan. Ibaratnya seperti irama dan lagu.

Seperti mana program lain, Idola Kecil musim ketiga (IK3) terbitan TV9 juga tidak terkecuali pada konsert mingguan keenam yang mengangkat tema penghormatan kepada Datuk Siti Nurhaliza itu apabila tiada sebarang penyingkiran yang berlaku.

Namun, itu bukan drama yang telah menarik perhatian audiens yang hadir menyaksikan rakamannya di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, minggu lalu.

Sebaliknya, gelagat dua peserta IK3 iaitu Hadi dan sahabatnya, Harris pada malam itu telah menggamatkan studio tersebut apabila air mata mereka mengalir deras tanpa dipaksa.

Semuanya selepas kesemua lapan peserta IK3 perlu melalui situasi yang agak tegang ketika nama mereka dipanggil oleh pengacaranya, Alif Satar dalam suasana yang cukup mendebarkan.

Lebih-lebih lagi tumpuan diberikan kepada Hadi yang dilihat mempunyai potensi untuk disingkirkan gara-gara kegagalannya menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu dengan baik.

Bukan sekadar lupa lirik tetapi ada bahagian not tertentu, nyanyian Hadi tergelincir daripada landasannya lalu membuatkan ramai yang menyangka kanak-kanak comel itu akan menjadi mangsa seterusnya.

Sebaik sahaja Alif mengumumkan tiada penyingkiran pada minggu itu, keadaan menjadi tidak terkawal apabila Hadi dan Harris berterusan menangis tanpa henti sehingga perlu ditenangkan oleh keluarga masing-masing.

Bertemu dengan Hadi dan Harris usai rakaman tersebut, dalam nada teresak-esak, masing-masing memanjatkan kesyukuran apabila tiada penyingkiran pada episod tersebut.

Untuk Hadi atau nama sebenarnya, Abdul Hadi Abdul Mazlan, dengan penuh jujur dia mengakui dia cukup takut seandainya namanya yang akan disebut oleh Alif sebagai peserta yang akan tersingkir.

Memang dari awal lagi, dia sudah mempunyai firasat tersebut berdasarkan kepada persembahannya yang kurang memberangsangkan atas faktor tidak sihat.

“Saya tidak dapat memberikan persembahan yang baik kerana demam dan selesema sejak beberapa hari sebelum konsert ini. Kerana itu, saya memang menyangka saya yang akan tersingkir.

“Syukur Alhamdulillah apabila tiada penyingkiran dan saya berazam untuk membuat persembahan terbaik pada minggu ini kerana saya mahu bertanding sehingga ke peringkat akhir nanti,” katanya tersekat-sekat sambil menyapu air mata yang tidak henti mengalir itu.

Namun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menafikan kemunculan Siti Nurhaliza yang turut bertindak sebagai juri jemputan pada malam itu telah mengganggu konsentrasinya.

Apatah lagi, ketika Hadi membuat persembahan, penghibur bersuara emas itu juga menyanyi bersamanya dan memang terpancar jelas kanak-kanak berusia 12 tahun itu terkedu apabila nampak Siti melakukan sedemikian.

Jika Hadi mengalirkan air matanya kerana takut menjadi mangsa penyingkiran, berlainan pula dengan Harris.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu tidak menafikan dia juga bimbang seandainya disingkirkan tetapi apa yang lebih menyedihkan jika dia tidak dapat lagi bersaing bersama Hadi.

Sesungguhnya persahabatan mereka memang cukup akrab dan lebih-lebih lagi, belum ada seorang pun peserta lelaki yang tersingkir.

Atas alasan itulah, Harris menjelaskan seboleh-bolehnya dia tidak mahu Hadi dan seorang lagi peserta lelaki, Muhammad Afif Abdul Halim atau Afif disingkirkan.

“Kami memang berkawan rapat dan kami juga mahu bertanding sehingga ke peringkat akhir nanti. Siapa yang tidak takut jika nama mereka dipanggil sebagai peserta yang tersingkir.

“Saya akui kesemua peserta yang ada dalam pertandingan ini memang bagus dan hebat,” kata Harris atau nama penuhnya, Nor Harris Nor Rashidi itu dalam nada tenang.

Anak kecil berusia 11 tahun itu telah menyampaikan lagu Pastikan dengan cukup cemerlang dengan gaya tersendiri sehingga mendapat pujian Siti dan juri tetap IK3, Atilia.

Selain Hadi, Harris dan Afif, lima peserta lain yang akan meneruskan perjuangan mereka untuk minggu ini ialah Shazlin Salamat atau Shazlin, Angelica Paujin (Angel), Farra Noradzlina Safwan (Farra), Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri) dan Nol Balqis Ahmad Tajudin (Balqis).

Secara keseluruhan, kesemua peserta telah memberikan persembahan yang menarik dan interpretasi tersendiri terhadap lagu-lagu nyanyian Siti Nurhaliza.

Afif misalnya, telah menyelitkan elemen rap pada pertengahan lagu Ku Milikmu yang mendapat pujian Siti dan Atilia.

Begitu juga Puteri dengan penuh beremosi menghayati lagu Dialah Di Hati yang merupakan sebuah lagu yang begitu sukar dinyanyikan seperti mana dikatakan Siti.

Mengulas tentang elemen kejutan pada konsert mingguan keenam itu, Penerbit IK3, Nurul Ashikin Halim memberitahu ia bukanlah sesuatu yang dirancang.

Katanya lagi, penyingkiran akan tetap berlaku kerana sedari awal sejak IK3 mula bersiaran, tidak mungkin 10 peserta yang bertanding akan mara ke peringkat akhir pada 25 Disember ini.

“Dua konsert terawal memang tidak ada penyingkiran dan ia hanya dilakukan selepas itu. Buat masa ini sukar untuk saya katakan berapakah bilangan peserta yang akan ke final. Semuanya akan terjawab pada minggu ini,” katanya yang memberitahu tema untuk minggu ini akan menyaksikan para peserta menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka.

Tentang tema minggu keenam yang memberi penghormatan kepada Siti Nurhaliza pula, Nurul Ashikin menjelaskan pihaknya memang sudah lama mahu melakukan tribute untuk penyanyi hebat itu.

Malah, untuk dua musim terdahulu, puas pihaknya menjemput Siti sebagai juri jemputan tetapi kerana kesibukannya serta waktu yang tidak sesuai menyebabkan hasrat itu tertangguh seketika.

“Lagipun tahun ini merupakan tahun ke-15 pembabitannya dalam bidang seni. Jadi, sesuai sangatlah jika Siti diberi penghormatan oleh IK3,” katanya yang gembira dengan respons menggalakkan daripada masyarakat terhadap IK3.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: