Awie, XPDC Sesakkan Dataran Karyawan

17 Dec

TEMA Lagenda Rock yang menampilkan Awie dan kumpulan XPDC Jumaat lalu menutup tirai program Malam Bersama Bintang anjuran Finas yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini.

Penuh sesak dibuatnya Dataran Karyawan, Finas, Hulu Klang dibanjiri peminat untuk menyaksikan persembahan artis secara ‘live’. Suasana bertambah meriah apabila acara turut menyenaraikan tayangan filem Estet arahan Mamat Khalid.

Malah, pengarah kontroversi ini turut turun padang bersama pelakon filem terbarunya, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) bagi mempromosi filem yang hangat ditayangkan di pawagam itu. Tidak ketinggalan, kehadiran pelakon filem Janin iaitu Siti Shahrizah atau Eja dan Airis Yasmin bagi mempromosi filem bercorak seram yang bakal menemui peminat pada 23 Disember ini.

Program dikendalikan Bahagian Latihan Perfileman Finas ini dibuka pada jam 8.30 malam dengan persembahan daripada Band Finas yang menyampaikan beberapa lagu popular. Disusuli selepas itu dengan persembahan Awie menyampaikan lagu popularnya.

Populariti watak Hussin dalam HKLBR menjadikan penyanyi kumpulan Wings ini mendapat tepukan gemuruh sebaik naik pentas. Walaupun kurang sihat, vokal Awie tetap mantap menyampaikan lagu Layang-Layang Terputus Talinya.

Tidak ketinggalan, dia turut menjemput Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab berduet menyampaikan lagu Sejati.

Suasana menjadi bertambah ‘panas’ dengan kemunculan XPDC yang menampilkan Ali sebagai penyanyi pada malam itu. Tanpa membiarkan persoalan mengenai ketiadaan Mael bersarang di minda peminat, XPDC memberi persembahan menghiburkan menerusi lagu Apa Nak Dikata dan Teman.

Sekali lagi, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab, diundang berduet menyanyikan lagu Hentian Ini bersama Ali. Selesai persembahan artis, acara diteruskan dengan promosi filem Janin dan diikuti pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah. Gelagat bersahaja pelakonnya serta Mamat Khalid menjadikan keadaan begitu meriah. Selepas berakhir semua acara pentas, barulah diadakan tayangan filem Estet. Turut diadakan cabutan bertuah menawarkan hadiah berupa hamper. Ternyata peminat yang hadir tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi hadiah yang ditawarkan.

Meskipun baru tiba di ibu negara sebaik selesai menghadiri Asian Television Forum (ATF) dan Asian Television Awards 2010 (ATA) yang berlangsung di Singapura, Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim turut meluangkan masa hadir pada malam itu. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Fatimah Ahmad.

Malam Bersama Bintang yang diilhamkan Mohd Mahyidin, diadakan setiap Jumaat minggu pertama setiap bulan, bertujuan mendekatkan masyarakat dengan Finas serta memupuk rasa cinta rakyat Malaysia terhadap industri seni tempatan.

Dengan pelbagai tema ditampilkan antaranya Arabian Night dan Rock Dangdut, program ini mendapat sambutan masyarakat sekitar, pelajar IPTA dan IPTS, penghuni rumah anak yatim serta ahli kelab permotoran tempatan. Mohd Mahyidin melahirkan perasaan puas hati kerana program ini diterima baik masyarakat. Dia gembira kerana daripada 12 kali program ini dijalankan, hanya satu yang kurang mendapat sambutan.

“Sambutan pada acara ini bergantung kepada populariti pelakon dan filem itu sendiri. Apapun, saya anggap ia satu kejayaan yang membanggakan kerana Finas sudah mula menjadi tumpuan ramai.

“Insya-Allah, Finas akan teruskan program sebegini kerana ia membantu mendekatkan artis dengan peminat.

“Untuk tahun depan, Finas akan rancang mengadakan lagi majlis sebegini. “Kami akan terus memikirkan cara untuk menarik peminat mendekati Finas seterusnya menyokong industri filem tanah air,” katanya ketika ditemui sejurus majlis selesai.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: