Cungkil Pengarah Muda

17 Dec

BERMULA tahun depan, syarikat penerbitan dan pengedaran filem milik penuh konglomerat media, Media Prima berhad, Primeworks Studios akan membuka ruang kepada pengarah dan penulis skrip berbakat mengikuti program khas Layar Baru dan bekerjasama menghasilkan filem berkualiti, inovatif dan dapat memenuhi kehendak masyarakat.

Ketika menghadiri majlis sidang akhbar Layar Baru bagi memperkenalkan tiga filem baru yang diarahkan pengarah muda berbakat, di Panggung Cathay, The Curve, Damansara, Pengarah Urusan Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berkata, antara syarat ditetapkan bagi mereka yang berminat, karya bakal dihasilkan mereka harus menarik dan asli, kali pertama menghasilkan skrip atau mengarah filem dan mampu berkarya dengan modal RM500,000.

Melihat kepada modal bakal dibekalkan kepada mereka yang layak, timbul persoalan mampukah pengarah muda terpilih nanti menghasilkan filem cereka. Seperti diketahui, untuk menghasilkan filem bagi pasaran tempatan, paling rendah belanja diperlukan RM800,000.

“Ada pengkarya muda yang tamat pengajian di universiti sering memberitahu kami, mereka mampu menghasilkan sebuah filem dengan modal RM50,000. Justeru, dengan kreativiti dimiliki bakal pengarah yang akan dipilih bekerjasama dengan Primeworks Studios, sebanyak RM500,000 bakal dibekalkan adalah satu jumlah cukup besar,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut mengenai program dijalankan Ahmad Puad, pihaknya terlebih dulu meminta mereka yang berminat menghantar kertas cadangan dan skrip. Dari situ, mereka akan menilai sama ada ia layak untuk dijadikan filem atau telefilem saja. Turut diberitahu mereka yang dipilih hanya akan bekerja berdasarkan projek.

“Semua penggiat filem baru menjalani penggambaran dalam bentuk High Definition (HD) dan bayaran akan diberikan separuh terlebih dulu. Sekiranya kami berasakan ia sesuai untuk ditayangkan di pawagam bayaran sekali ganda akan diberikan kemudian,” jelasnya. Pada majlis itu, Ahmad Puad turut memperkenalkan tiga pengarah muda yang dipilih bagi mengikuti program Layar Baru dan mengumumkan mengenai filem dihasilkan iaitu Sesuatu Yang Tertinggal, Klip 3GP dan Penunggu Istana.

“Setakat ini, ada beberapa pengkarya muda sudah pun kita ambil untuk bekerja. Tiga filem ini kini sedang menjalani proses akhir. Insyaallah sekiranya proses berjalan lancar ia akan mula ditayangkan bermula Mac depan,” katanya.

Tiga filem dihasilkan ini, dua daripadanya bertemakan seram dan satu lagi tampil berbeza apabila menyentuh mengenai isu semasa. Melihat daripada sedutan filem dihasilkan, nampak pengarah muda terbabit iaitu Aidilfitri Mohd Yunos mengarahkan Klip 3GP, Azli Hisham atau Black (Sesuatu Yang Tertinggal) dan Wan Asliza Wan Zainuddin (Penunggu Istana) agak berani. Beberapa babak panas dan cukup memberahikan terdapat dalam filem terbabit turut ditayangkan. Timbul kebimbangan, filem dihasilkan itu bakal dicincang pihak Penapisan Lembaga Filem Malaysia (LPF) atau langsung tidak boleh ditayangkan.

Bagaimana pengarah baru ini berkarya dalam berdepan dengan syarat ditetapkan pihak LPF dan adakah pihak Primeworks Studios sendiri campur tangan sepanjang proses penggambaran dijalankan? Mengulas mengenai perkara terbabit, tambah Ahmad Puad, Primeworks Studios percaya pihak LPF sudah semakin terbuka dan klasifikasi filem memudahkan mereka untuk menjalankan tugas.

“Kalau filem yang bakal ditayangkan nanti tidak sesuai untuk tontonan mereka di bawah umur, LPF akan mengklasifikasikan ia sebagai 13PG atau 18SX. “Begitupun, sebagai penerbit sudah tentu kalau boleh kami mahu filem dihasilkan ditonton semua pihak. Dalam melaksanakan kerja penggambaran, Primeworks Studios akan terbabit dari mula hingga penggambaran tamat. Kami akan memberi khidmat nasihat diperlukan dan sudah tentu kami akan mengawasi setiap produksi sedang berjalan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: