Sepah Tidak Menyesal Berhenti Kerja

17 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN dan Ihsan Astro

KUMPULAN Sepah menyertai pertandingan Raja Lawak musim ke-3 (RL3) dua tahun lalu kerana menyahut cabaran kawan-kawan yang mahu melihat bakat mereka sebagai pelawak.

Bukan sahaja tidak berniat menjadi pelawak sepenuh masa, malah kumpulan trio ini juga asalnya berhasrat kembali kepada kerjaya masing-masing selepas berakhirnya RL3.

Bagaimanapun, juara RL3 ini akhirnya tidak mampu menolak rezeki yang datang mencurah-curah dalam bidang lakonan selepas menjuarai pertandingan tersebut.

Menurut salah seorang anggota Sepah, Jep, dia dan dua lagi anggota kumpulannya tidak menyangka akan menceburi bidang lakonan dan melupakan terus kerjaya lama mereka.

“Sebelum ini, saya dan Shuib misalnya, bekerja sebagai ramp agent atau pengawal bahagian lalu lintas di Lapangan Terbang Senai di Johor. Pendapatannnya agak bagus juga.

“Sementara Mamat pula kerja sendiri dan kadang-kadang tidak bekerja. Tetapi selepas menang RL3 ada kawan-kawan cabar kami supaya cuba kerjaya sebagai pelakon.

“Kami memang pernah ada niat mahu ‘berpatah balik’ kepada kerja-kerja lama, tetapi selepas hampir dua tahun menjadi pelakon kami dapati pendapatan bidang ini lebih bagus,” katanya.

Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin menyingkap pengalamannya sebagai pelakon sejak dua tahun lalu semasa ditemui selepas acara Bujang Sepah, Amazing Race di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Pelakon dan pelawak berusia 25 tahun ini menjawab dakwaan kononnya populariti Sepah semakin pudar selepas menjuarai rancangan terbitan Astro Prima itu.

Jelas Jep, dia mengakui nama Sepah tidak segah juara Raja Lawak yang lain terutamanya Nabil yang terus mekar dalam bidang seni dengan mendapat publisiti meluas daripada media massa.

“Saya akui hakikat itu kerana banyak sebab termasuklah masalah disiplin kami. Saya pula ketika baru menang RL3 kurang sihat.

“Apatah lagi, kami bergerak sendiri tanpa ada pengurus yang memberi garis panduan dalam bidang seni. Sekarang ini kami sudah mampu bergerak sendiri kerana ada pengalaman.

“Malah, tawaran berlakon dalam drama dan telemovie juga semakin banyak kebelakangan ini. Ia termasuk mengendalikan rancangan Bujang Sepah Lalalitamplom di Astro Prima,” ujarnya.

Bujang Sepah Lalilatamplom musim kedua sebanyak 26 episod akan disiarkan setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Prima (saluran 105, Astro) mulai 3 Januari depan.

Drama bersiri arahan Mohd Danial Hasbullah yang menampilkan Sepah itu turut dilakonkan oleh Hamid Gurkha, Sheila Mambo, Imuda, Ely Sarimah dan Daim Handsome.

Selain menerima tawaran berlakon, Sepah juga tidak menang tangan menerima pelbagai undangan termasuklah merakamkan album single sulung mereka berjudul Mak Dah Kata.

Album single itu akan diterbitkan oleh E-rama Records .

“Ini suatu permulaan kami sebagai penyanyi. Selepas ini kami akan bertambah sibuk kerana sekarang kami bukan setakat berlakon tetapi juga menyanyi,” jelasnya.

Namun, Sepah yang lebih mengutamakan bidang lakonan pada masa ini mengakui mereka pernah dikritik kerana menggunakan bahasa kasar ketika berlawak.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga dikatakan menampilkan lawak bodoh yang membosankan.

Bagi Sepah, walau apapun yang dilabelkan ia tidak mematahkan semangat mereka.

Sebaliknya tiga anak muda kelahiran Johor ini mengakui ia adalah gaya berlawak mereka dan tidak berniat untuk menyakiti sesiapa juga.

“Bukannya mudah mahu buat orang ketawa. Kalau hendak buat orang sakit hati mudah sahaja. Kami rasa lawak kami jujur dan ia datang daripada hati kami. Itu adalah gaya bahasa kami.

“Kami tidak berniat mahu menyakiti sesiapa. Kalau orang boleh ketawa dengan gaya lawak kami walaupun bunyinya agak kasar, maka kami rasa sampailah lawak kami itu,” katanya.

Selain Jep, Sepah yang turut dianggotai oleh Mohd Noor Murad (Mamat) dan Shahmira Mohamed (Shuib) tampil petang itu bagi meraikan wakil-wakil media massa melalui acara Amazing Race.

Menerusi program itu, wakil-wakil media massa bukan sahaja bersaing dalam acara mencari harta karun tetapi juga menunjukkan bakat menyanyi dan menari.

Kumpulan Jijah The Legend memenangi acara Amazing Race, manakala The Girls pula memenangi kategori persembahan terbaik di mana masing-masing menerima baucer membeli-belah di Jusco.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: