10 Paling Hot!

19 Dec

pix_gal0
B’POP menyorot topik hangat industri hiburan yang menjadi bualan peminat

KANVAS bersih industri hiburan dilatari pelbagai rona ketika 2010 kian mendekati garis penamatnya. Hitam, putih, tawa dan duka menjadi lakaran yang mengisi dekad pertama era milenium lantas menghangatkan 2010 dengan sorotan pelbagai isu sensasi dan kontroversi.
Berbaki kurang dua minggu sebelum diari 2010 ditutup kemas dan melambai sebagai sejarah, B’POP menyorot beberapa topik hangat industri hiburan yang menjadi perdebatan panjang sepanjang tahun ini.
Dalam khilaf akan terpancar cahaya jika seseorang insan seni itu ikhlas membawa perjuangannya. Bukan niat mahu menoreh kembali luka silam kerana segala yang dilalui akan kekal dalam lipatan ingatan yang barangkali sulit untuk dikikis.

Kekhilafan lalu menjadi renungan untuk membentuk sebuah industri yang berwibawa, dihormati dan dikagumi pada masa akan datang.

B’POP membawakan 10 paparan terhangat sepanjang 2010 mengikut pengamatan team B’POP berdasarkan minat dan bualan masyarakat, media dan media sosial.

Terhangat 1:

JUARA Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad berada dalam senarai artis paling sensasi 2010 kerana kontroversi yang dilaluinya bagaikan bertali arus.
Gelaran Bintang Paling Popular yang diraihnya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagaikan badi baginya. Rezeki yang melimpah ruah kerana gelaran itu juga sama naik dengan kontroversi yang menimpa dirinya.

Awal 2010, Nabil menggemparkan industri hiburan apabila disaman RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri De Movie.
Gara-gara mengkritik filem lakonannya sendiri serta enggan mempromosikan produksi itu seperti dijanjikan, Nabil disaman RM2 juta oleh SDAF Pictures (M) Sdn Bhd.

Penerbit dan pengarah Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Aminah Rhapor mendakwa kesan tindakan Nabil itu memalit imej buruk ke atas filem itu selain menjejaskan reputasinya sebagai produser serta pengarah.

Bagaimanapun, saman yang difailkan itu ditarik balik pada 6 Ogos lalu selain SDAF Pictures bersetuju melunaskan baki bayaran tertunggak serta memberi pampasan kos guaman yang ditanggung Nabil dalam pembelaan kes itu.

Kontroversi yang melanda Nabil tidak terhenti di situ. Dia sekali lagi dijengah kisah hangat apabila didakwa ditangkap khalwat dengan buah hatinya, Irma Hasmie selain difitnah sebagai kaki botol. Bagaimanapun, Nabil menafikan semua dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah.

Kemuncak kisah sensasi Nabil apabila penyebaran tiga keping gambar menyerupai dirinya bersama seorang gadis dikenali sebagai Uqasha pada pertengahan November lalu.

Nabil menafikan gambar itu miliknya, malah menyifatkan dirinya dianiaya oleh individu yang iri hati dengan kejayaannya.

Letusan kontroversi itu adalah rentetan yang memberi tekanan kepada Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu selepas akur percintaannya selama tiga tahun dengan pelakon dan pengacara, Irma Hasmie berakhir, awal Oktober lalu.

Terhangat 2:

SELEPAS berteka-teki apabila dilihat bertandang ke mahkamah pada 24 Jun lalu, Maya Karin dan Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali mengesahkan mereka berpisah pada 16 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Berita pergolakan rumah tangga pasangan ini mula tersebar sejak Februari lalu. Ia terus menjadi teka-teki selepas pasangan ini hadir ke mahkamah pada 24 Jun lalu untuk mengesahkan perkahwinan mereka yang dilangsungkan di Villa Corte de Lago, Itali pada 14 Ogos 2008.

Aktor Remy Ishak pula dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga mereka tetapi dinafikan Maya kerana pasangannya dalam teater muzikal, Natrah dan filem Cun itu tidak mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, gosip ‘ada sesuatu’ di antara mereka terus diperkatakan sekuat penafian mereka.

Terhangat 3:

SEMBILAN tahun bergelar isteri kepada Adzmin Tan Sri Osman, Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku melepaskan gelaran itu apabila mereka bercerai talak satu pada 28 September lalu.

Ia menjadi sensasi dan mengejutkan ramai pihak kerana sebelum ini pasangan itu kelihatan cukup bahagia di khalayak ramai.

Pasangan itu berpisah dalam satu prosiding tertutup yang berlangsung di Mahkamah Syariah di Selangor selepas berusaha menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu mengadakan sidang media tergempar bagi menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak.

Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke Mahkamah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu tiada kena mengena dengan isu memfailkan permohonan cerai.

Raja Azura berkahwin dengan Adzmin, yang juga anak mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada 10 Mac 2001.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, lapan tahun; Megat Luqman Hakim, tujuh tahun; serta Puteri Mia Maizurah, empat tahun.

Terhangat 4

SETIAP kali muncul dengan buah tangan terbaru untuk peminat hiburan tanah air, ada saja yang menimbulkan bualan khalayak. Awal tahun orang mula rancak bercerita mengenai filem terbarunya yang menggunakan judul yang agak kontroversi iaitu Anu Dalam Botol yang berkisar mengenai kehidupan insan dua alam.

Tetapi akhirnya Raja Azmi Raja Sulaiman menukar judul filem itu kepada …Dalam Botol saja atas nasihat Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF). Bagaimanapun, apa saja kontroversi yang melingkari hidupnya tidak dapat menandingi kisah hitam yang berlaku Ogos lalu.

Ketika dirinya berdepan tuduhan sebagai punca keretakan rumah tangga pemain badminton negara, Roslim Hashim, penerbit kontroversi itu menerima dugaan paling hebat apabila menjadi tahanan di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur pertengahan Ogos lalu.

Isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, itu ditangkap pada 19 Ogos lalu jam 4.50 petang berikutan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) pada 21 Julai lalu kerana tidak hadir prosiding di mahkamah itu.

Penerbit filem berusia 51 tahun itu ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya, sehari selepas cerita mengenainya disiarkan akhbar kerana dikaitkan sebagai punca perceraian pemain badminton negara, Roslin.

Raja Azmi bagaimanapun, dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 pada 20 Ogos lalu dan diberi amaran keras oleh Hakim Mahkamah Tinggi supaya tidak memperlekehkan proses mahkamah.

Terhangat 5:

KERETAKAN rumah tangga yang dibina Rita Rudaini Mokhtar dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, mula dihidu pada awal Oktober lalu.

Bermula di laman gosip yang mendakwa seorang selebriti menghalang keluarga suaminya bertandang ke kediamannya, lantas membawa Rita ke media untuk bersuara.
Dia yang tidak lagi mampu membendung sabar mendedahkan campur tangan individu tertentu dalam keluarga mentuanya menyebabkan hubungannya dan suami goyah.

‘Perang mulut’ memuncak apabila suami Rita membuat kenyataan balas mahu mendedahkan punca keretakan rumah tangga mereka.

Akhir Oktober lalu, kemelut rumah tangga mereka bertambah buruk apabila Rita yang sedang hamil anak kedua keliru dengan tindakan Aidil ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban untuk memfailkan permohonan Sulh (perbincangan).

Peguam Aidil, Noor Ariff Delia Ramli, berkata tindakan pemain bola sepak berusia 23 tahun itu membuat keputusan memfailkan dua tuntutan terhadap Rita iaitu hak penjagaan terhadap anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin dan perintah isteri kembali taat (nusyuz) adalah kehendaknya sendiri.

Menurutnya, Aidil membuat keputusan berkenaan itu menjurus kepada usaha untuk memastikan haknya sebagai bapa berada pada landasan yang betul.

“Tindakan Aidil itu bukan untuk ‘memanaskan’ lagi pergolakan rumah tangga mereka yang dibina sejak Februari 2008, tetapi lebih kepada usaha mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Bagaimanapun, Rita yang ditemui pada sesi penggambaran drama bersiri Bahulu Balu Bidin di Damansara, baru-baru ini berkata, rumah tangga mereka kembali damai dan berharap segala kekeruhan itu akan segera berlalu.

Terhangat 6:

KRISIS peribadi antara Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza yang berlanjutan hampir enam tahun berakhir pada Ogos lalu apabila mereka dipertemukan dalam satu sesi fotografi khas di sebuah hotel di ibu negara yang menjadi berita muka depan tiga akhbar iaitu Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Meskipun pernah bertembung dalam beberapa majlis, namun tiada usaha dibuat untuk menjernihkan semula kekeruhan yang pernah menggemparkan industri hiburan negara itu.

Kedinginan hubungan antara dua penghibur terkenal itu tercetus apabila Sharifah Aini didakwa membuat fitnah menerusi e-mel dengan niat merosakkan reputasi Siti Nurhaliza. Bagaimanapun, pendakwaan terhadap penyanyi itu digugurkan selepas didapati tiada kes yang boleh mengaitkannya.

Sharifah Aini ketika ditanya kesudiannya memenuhi undanga
n fotografi itu enggan masyarakat terus menyimpan prasangka buruk terhadap hubungan mereka berdua.

Siti Nurhaliza pula menyifatkan pertemuan itu sebagai keberkatan Ramadan yang mulia di samping menyeru semua pihak supaya terus menghentikan spekulasi terhadap mereka.

Biarpun mengakui pasti ada cakap-cakap nakal yang mempertikai keikhlasan mereka itu, Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza menegaskan untuk tidak mempedulikannya serta mengharapkan ikatan yang terjalin akan berkekalan. Malah sudah ada ura-ura, kedua-dua penyanyi itu akan disatukan dalam sebuah persembahan.

Terhangat 7:

“WALAU apa pun terjadi, Ben (Benjy) masih anak mama.. Mama tetap sayangkan Ben,” itu ungkapan yang ingin diucapkan kepada anak kesayangannya, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah.

Benjy ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah serta menjadikan kediamannya di sebuah kondominium mewah di Kepong sebagai tempat memproses kokain dan syabu pada 11 Mac lalu.

Artis berusia 31 tahun itu ditahan bersama rakan wanitanya berusia 23 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Segambut, kira-kira jam 2.30 petang pada tarikh itu sebelum dibawa ke kediamannya untuk pemeriksaan lanjut.

Mengikut laporan, polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 tersembunyi dalam sebuah bilik di kediaman terbabit.

Polis turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah berkenaan. Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Tidak sampai dua jam dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 pada 25 Mac lalu, Benjy ditahan semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952).

Dia yang sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu, ditahan polis di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Benjy kelihatan terpinga-pinga dan sempat bersalaman dengan ibunya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Penahanan semula Benjy turut mengejutkan Azean dan suaminya, Khairil Anwar, manakala adik pelakon itu, Elza Irdalyna menangis sambil menjerit ke arah polis sebelum dipujuk peguam bela, Sharon Khoo.

Kes itu masih dalam perbicaraan dan Mahkamah Majistret pada 13 Disember lalu menetapkan 11 Januari ini untuk sebutan semula perbicaraan Benjy yang berdepan dua tuduhan memiliki dadah.

Terhangat 8:

EPISOD perkahwinan yang menjadi bualan antara Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar dan aktres popular, Zizie Ezette Abd Samad kembali ‘hangat’ apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Mokhtar mengaku bersalah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran pada 19 Mei lalu.

Bung Mokhtar, 51, juga didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku salah bersubahat dengan Zizie, 32, bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

Isteri mudanya itu pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya berpoligami tanpa kebenaran.

Pasangan itu bernikah di rumah Bung Mokhtar di No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak jam 8.50 malam, 16 Disember 2009.

Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam bagaimanapun menerima rayuan Bung Mokhtar Radin untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada 11 Ogos lalu.

Dia dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

“Saya percaya perkara baik, (kesudahannya) tetap baik. Allah sudah memberikan hadiah terbaik untuk Ramadan tahun ini,” komen Bung Mokhtar sejurus menerima berita gembira itu.

Terhangat 9:

CITA-CITANYA terlalu tinggi, bahkan dianggap tidak realistik ketika industri perfileman tempatan masih bergelut untuk meraih kepercayaan khalayak supaya menyokong produk nasional.

Nama Dr Rozmey meniti di bibir peminat filem Melayu kerana kebijaksanaannya mencipta strategi memasarkan filem sulungnya berjudul 2 Alam.

Sasaran awal Dr Rozmey mensasarkan filem itu mampu mengumpul RM12 juta namun keyakinannya meningkat lalu memberi jaminan 2 Alam mampu mengumpul RM40 juta.

Dr Rozmey percaya sasaran itu boleh dicapai sekiranya masyarakat berfikiran positif dan memberi sokongan kepada filem Melayu untuk mencipta sejarah.
Bagaimanapun, apa yang dicita-citakan Dr Rozmey tidak menjadi kenyataan. 2 Alam tidak meraih kutipan yang diharapkan, malah Dr Rozmey terpaksa akur apabila filem itu hanya membawa pulangan tidak sampai RM500,000.

Terhangat 10:

FASHA Sandha terus menjadi tumpuan media sepanjang 2010. Satu demi satu episod hangat menyerang selebriti yang sudah lunak dengan perkataan kontroversi itu.

Gadis kelahiran Johor Bahru itu memanaskan 2010 apabila dilaporkan pergi bercuti bersama kekasihnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli di Pattaya, Thailand pada akhir Januari lalu.

Fasha bagaimanapun menafikan perkara itu, malah memohon dakwaan liar terhadapnya dihentikan kerana ia memberi tekanan kepadanya.

Namanya terus hangat apabila kembali dikaitkan sebagai orang ketiga yang menjadi punca kepada keretakan rumah tangga aktres, Nora Danish dan Rizal.

Fasha bagaimanapun menganggap Rizal hanya sebagai kawan dan memberitahu, perasaan cinta antara mereka belum berputik sepenuhnya.

Bara cinta mereka mula dikesan apabila Rizal membuat kejutan dengan singgah di lokasi penggambaran drama bersiri, Duyung Aridinata di Pulau Lang Tengah, Terengganu menggunakan helikopter peribadi pada pertengahan Mei lalu.

Sensasi terbaru mula tercetus apabila meluahkan ketidakpuasan hatinya di laman Twitter mendakwa pelakon, Tiz Zaqyah cuba menggoda Rizal atau disapa Jejai.

Rentetan kontroversi itu mendesak Fasha untuk membuat pengakuan hatinya dimiliki Rizal pada majlis sesi ramah mesra bersama pelakon Duyung Aridinata di Ampang, 30 Jun lalu.

Fasha yang mengenali Jejai sejak tujuh tahun lalu berkata, hubungan cinta mereka makin terserlah apabila Jejai datang membuat kejutan di lokasi penggambaran drama itu di Pulau Lang Tengah dengan helikopter, Mei lalu.

Sehingga ini, pasangan itu belum berbincang mengenai perkahwinan kerana menganggap ia masih terlalu awal. Fasha sendiri tidak mahu terlalu berharap kerana enggan dikecewakan lagi.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: