Apa Ceritanya: 'Imej Seksi Bukan Nak Cari Jantan'

19 Dec

pix_gal0
Nana tak tahan dikritik, mohon maaf dan mahu kembali dengan penampilan asal

PERCUBAAN ‘berani mati’ Siti Nordiana Alias atau Nana, 26, memilih imej seksi sempena kemunculan single terbarunya, Tak Tahan berkonsepkan alternatif rock, rupa-rupanya memakan dirinya sendiri apabila dia menerima kritikan negatif daripada media mahupun orang ramai yang kebanyakannya tidak boleh menerima pembaharuan itu.
Sekalipun tidak telanjang, namun status Nana yang baru saja memegang gelaran janda lebih setahun lalu, memberi persepsi negatif kepada dirinya apabila dilabel janda panas dan seksi. Lebih menyakitkan apabila dia dituduh tidak memelihara maruah kerana dikatakan sanggup mengeksploitasikan tubuh badannya sendiri untuk tujuan kontroversi, selain memikat lelaki.
Justeru, kesempatan menemui Nana di Ampang, Selangor, Selasa lalu berjaya merungkai banyak persoalan sehingga dia membuat keputusan drastik, meninggalkan imej seksi itu dan kembali ke fesyen sopan, sekali gus menghormati kehendak peminat yang lebih selesa menerimanya dengan penampilan sebelum ini.

“Memang saya dah jangka, penampilan terbaru sempena come back menerusi single Tak Tahan, pasti mewujudkan pelbagai tanggapan, ada yang suka dan sebaliknya. Namun, daripada maklum balas di laman sosial, kebanyakannya negatif, hanya segelintir kecil saja yang boleh menerima fesyen terbaru saya.

“Kepada peminat dan pihak media yang tersinggung dengan pembaharuan yang cuba saya tampilkan, sekali gus tidak boleh menerima imej seperti ini (seksi), saya mohon maaf.

“Saya berjanji, selepas ini saya tidak akan mengenakan pakaian seksi yang melampau lagi. Sekalipun saya tampil dengan imej terbaru, ia semata-mata untuk menghadiri majlis hiburan dan sesi fotografi saja. Tapi, di luar waktu kerja, saya tetap Siti Nordiana yang lama,” katanya tenang.

Pun begitu, Nana seolah-olah tersilap langkah apabila imej seksi yang cuba ditonjolkannya tidak diterima masyarakat, berbeza dengan penyanyi baru hari ini seperti Yuna mahupun Ana Raffali yang tetap popular sekalipun tidak berpakaian seksi. Justeru, Nana dikatakan seperti ‘menjual’ tubuh untuk tatapan umum, bukan bakat nyanyiannya.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya hari ini sekadar percubaan baru untuk mendapatkan maklum balas peminat, namun dia tidak sangka menerusi imej seksi dan daring, umum tidak dapat menerima, sekali gus beliau sedar, masih ramai yang mengambil berat terhadap penampilan dirinya.

“Selepas menerima komen negatif, selepas ini saya akan mengenakan pakaian mengikut keselesaan diri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak lagi. Saya lebih mementingkan pendapat peminat dan media kerana merekalah yang sentiasa memberi sokongan.

“Justeru, sekiranya selepas ini saya kembali ke imej asal, orang kata fesyen kampung, saya perlu bersedia. Ikhlas saya katakan, saya bukan seorang yang seksi, jika peminat lebih selesa menerima saya dengan imej sebelum ini, perlahan-lahan saya akan berubah ke arah itu atau bersederhana memilih pakaian.

“Saya akui, percubaan tampil dengan imej segar dan seksi, mendapat maklum balas yang negatif. Jadi, saya harus mengambil iktibar dan memperbaiki kesilapan demi memastikan perjalanan seni berjalan lancar, sekali gus mendapat restu orang ramai,” katanya yang kini aktif semula sebagai penyanyi selepas meninggalkan kerjayanya sebagai kaunselor.

Selepas memegang status janda, Nana didakwa berubah menjadi seksi untuk menarik perhatian lelaki. Nana juga dikatakan cuba membuktikan kepada bekas suaminya, Faizal, dia juga boleh bertemu jodoh dalam masa terdekat. Justeru, sejauh mana kebenaran dakwaan itu?

“Demi Allah, itu bukan saya! Saya tampil dengan imej seksi bukan nak cari ‘jantan’ mahupun meraih publisiti murahan, sebaliknya lebih kepada percubaan. Namun, percubaan itu tidak menjadi. Saya tak sanggup lagi mendengar komen, orang menuduh saya tiada pegangan agama, selain membabitkan maruah diri dan keluarga.

“Saya tidak mahu diri ini terus dihina, dibenci dan maruah diri dipijak-pijak! Saya juga tidak pernah berniat mempamerkan aset diri sebelum ini untuk meraih kontroversi agar cepat popular. Saya akui kesilapan lalu apabila tampil dengan imej seksi, justeru sekali lagi saya mohon maaf.

“Seperkara lagi, menerusi imej terbaru ini, tiada apa yang hendak saya buktikan kepada Faizal. Dia sudah ada kehidupan sendiri, jadi apa lagi saya nak buktikan? Saya hanya nak membuktikan, saya masih bertahan dalam industri seni selepas 10 tahun menceburinya,” katanya di akhir perbualan.

Info Siti Nordiana

NAMA PENUH: Siti Nordiana Alias

NAMA KOMERSIAL: Nana

ASAL: Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan

KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik

NAMA BEKAS SUAMI: Faizal Yusup

PERKAHWINAN: 28 April 2006

BERCERAI: Ogos 2009

NAMA ANAK: Muhammad Rayyan Nakhaie, dua tahun sembilan bulan

ALBUM: Istimewa Untukmu (duet bersama Achik Spin), Benang Emas (duet terakhir bersama Achik), Gurindam Rindu Berkasih (solo) dan Pelangi (solo)

LAGU POPULAR: Paling Comel (duet bersama Achik) dan Bakawali (duet bersama Syura)

SINGLE TERBARU: Tak Tahan dan Semakin Jelas

DRAMA: Prahara, Aku Budak Minang 2, Helah dan terbaru, Nenas & Ikanku

PENGALAMAN KERJA: bekas kaunselor di City University College, Petaling Jaya

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: