Berkorban Demi Fantasi Siti

19 Dec

Fizo Omar
Fizo Omar
PENAMAT 2010 yang cukup indah buat Fizo Omar. Selepas berada di lokasi penggambaran filem Kongsi (terbitan Metrowealth, MIG) dan seterusnya Hello (Nusan Bakti Corporation Sdn Bhd), buat pertama kalinya tuah dan rezeki datang menyapanya ke pentas teater.

Anak muda berusia 25 tahun ini diberi dua watak, sebagai Ketua Lipas dan Putera Raja dalam teater muzikal Siti Di Alam Fantasi yang pernah dua kali dipentaskan sebelum ini dan akan menemui khalayak teater di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 22 hingga 31 Disember.
Jualan tiket pementasan bersempena musim sekolah itu difahamkan cukup menggalakkan. Malah sejarah di Istana Budaya pernah membuktikan teater kanak-kanak sebegitu mendapat sambutan yang cukup hebat. Diarahkan Aminah Rahpor, teater itu juga buat pertama kalinya menggandingkan Fizo dengan Liyana Jasmay yang memegang watak Siti (sebelum ini Amy Mastura)
Menurut jejaka bernama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu, demi teater terbabit, dia melepaskan tawaran sebuah filem, drama dan mengacara.

“Memang saya terpaksa berkorban demi teater ini. Tapi tak mengapa. Setidak-tidaknya berakhir penantian saya untuk bergelar pelakon teater. Harapnya teater ini bukan yang pertama dan terakhir buat saya. Moga 2011 dan tahun mendatang akan terus membuka peluang saya mengasah bakat di dalam medium teater.

“Tambah pula saya dapat menjejaki pentas berprestij Istana Budaya. Sewaktu tawaran ini diterima, saya sedang sibuk melunaskan baki penggambaran filem Hello. Panggilan itu datang daripada orang kuat Istana Budaya, Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani),” katanya yang ditemui B’Pop minggu lalu dalam sesi fotografi lengkap dengan pakaian Putera Raja.

Selain Liyana Jasmay dan Fizo, teater ini turut menampilkan Johan Raja Lawak, Ebby Yus, Vanida Imran, Umie Aida, Ziela Jalil, Mas Muharni dan ramai lagi. Sebelum teater ini, Fizo pernah digandingkan dengan nama besar seperti Erra Fazira, Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Zulhuzaimy.

“Apa yang saya boleh katakan, dia (Liyana) seorang yang cukup berbakat. Watak dan karakternya sangat menjadi. Dia memang boleh saya katakan seorang anak seni yang asli. Dia boleh menari, menyanyi dan berlakon. Populariti yang diraihnya seiring dengan bakat semula jadi yang dimilikinya. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada teater ini.

“Cuma cabaran besar buat saya ialah untuk menari dan menyanyi. Dua bidang ini memang bukan makanan saya. Tapi sedikit demi sedikit, saya cuba membiasakan diri. Kalau nak tengok saya nyanyi lagu berentak rock & roll kenalah datang tengok. Secara keseluruhannya ada 13 buah lagu yang akan berkumandang sepanjang pementasan ini,” katanya yang akan genap tiga tahun di dalam arena seni pada penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, nama jejaka yang mula berlakon di dalam drama Elit arahan Rashid Sibir itu turut tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 untuk dua kategori, Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Popular. Dua tahun sebelumnya, Fizo pernah berada dalam Top 5, Artis Baru Popular (ABPBH 2008) dan Pelakon TV Lelaki Popular (ABPBH 2009).

Bagaimanapun untuk kategori Artis Baru Popular, Fizo tewas di tangan Nabil Raja Lawak manakala untuk Pelakon TV Lelaki Popular, ia menjadi milik Remy Ishak. Ikutkan Fizo mahu namanya tersenarai lagi tahun ini sekali gus mencipta rekod tersenarai tiga tahun berturut-turut. Namun melihat kepada saingan tahun ini, dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi.

“Persaingan sengit juga tahun ini. Malah kebangkitan muka baru seperti Shah Jaszle dan Sharnaaz Ahmad juga dilihat berpotensi memberi saingan kepada pelakon sedia ada. Begitu juga dengan Shaheizy Sam dan Remy Ishak. Tapi ikutkan tahun lalu, saya sendiri terkejut nama saya tersenarai. Untuk tahun ini, saya mengharapkan kejutan yang sama.

“Soal nak menang itu letak ke tepi. Apa yang lebih penting, jika tersenarai dalam Top 5 ABPBH, saya berpeluang mengikuti siri jelajah sekali gus bertemu peminat yang acap kali diadakan. Tahun lalu saja, semua lokasi saya ikut.

Berdasarkan pengamatan saya, jika ada produk di TV dalam tempoh pencalonan awal ini berlangsung, ia dapat menjadi nilai tambah untuk melobi peminat,” katanya yang berlakon drama Siti Kelembai dan Jersi 9 tahun ini.

Info menarik Fizo Omar

• Dalam pementasan Siti Di Alam Fantasi, Fizo ada empat babak. Katanya, dia banyak belajar mengenai pergerakan dan ruang di dalam teater itu.

• Aminah Raphor pernah menjadi emak kepada Fizo ketika mereka sama-sama membintangi filem Andartu Terlampau. Filem terbabit filem sulungnya sebelum Kongsi dan Hello.

• Difahamkan Fizo akan terbabit dengan sebuah filem lagi bersama Nusan Bakti . Bagaimanapun, ia masih belum dapat disahkan.

• Sudah membintangi lebih 30 buah drama dan telefilem.

• Untuk mengikuti perkembangannya boleh memasuki fanpagenya di facebook, http://www.facebook.com/fofanpage atau twitter @fizoomar. Peminatnya di fanpage hampir mencecah 250,000 orang. Malah menurut Fizo, peningkatan jumlah itu disebabkan drama Siti Kelembai yang disiarkan di TV3 dan TV9 baru-baru ini.

• Tiket menyaksikan Siti Di Alam Fantasi boleh dibeli pada harga RM30, RM50 dan RM150. Untuk pertanyaan, boleh hubungi box-office (03-40265558) atau layari http://www.ticket2u.biz atau http://www.istanabudaya.gov.my.

• Penghargaan lokasi dan busana: Istana Budaya

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: