Keajaiban Wonder Girls

19 Dec

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto IHSAN STAR PLANET


Dress merah yang cukup menggoda penonton dipakai pada penghujung persembahan.

BUAT julung kalinya, kumpulan popular Korea Selatan, Wonder Girls membuat persembahan di Arena of Stars, Genting Highlands malam minggu lalu. Setelah menjayakan siri konsert jelajah di 27 lokasi di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang berakhir Julai lalu, dan konsert bersama kumpulan 2PM di Thailand pada 13 November lalu, Wonder Girls menghiburkan pula peminat di Malaysia.

Kehebatan jenama Wonder Girls tidak perlu perkatakan lagi. Tambahan pula tatkala peminat tempatan menerima baik muzik yang diperkenalkan dari Korea Selatan ini. Single berjudul Nobody sudah cukup kuat untuk mengheret peminatnya menyaksikan persembahan mereka.

Sebab itu, tiket-tiket berharga RM130 hingga RM420 habis dijual di kaunter masuk dan banyak yang tidak berpeluang menonton konsert ini. Peminat-peminat Wonder Girls tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan eksklusif ini.

Wonder Girls yang dilihat cukup bertenaga dalam siri-siri konsert mereka sebelum ini membuatkan ramai penonton tidak sabar. Tarian tap kaki dan tangan yang menjadi identiti kumpulan Asia pertama yang memasuki carta American Billboard Hot 100 dalam tempoh 30 tahun menerusi lagu Nobody ini, membuatkan rata-rata penonton begitu teruja.

Bingit sorak kedengaran seawal pukul 7.30 malam di kalangan penonton untuk melihat aksi lima wanita “gedik” berusia 18 hingga 22 tahun secara langsung di atas pentas.

Kumpulan yang dinobatkan sebagai Artis Terbaik Sepanjang Tahun pada Anugerah Muzikal Seoul ke-18 tahun lalu menjadi ikon kepada muda mudi terutama dalam bab mengaya pakaian, dandanan rambut dan aksesori.

Tarikan utama konsert Wonder Girls sepanjang sejam setengah itu bukan berpaksikan kepada tarian semata-mata. Koleksi baju yang disarung memang menggoda, bukan sahaja di kalangan lelaki tetapi juga wanita.

Memang ada yang keterlaluan, pakaian ketat seperti bikini yang disesuaikan dengan leggings berwarna hitam. Boleh dikatakan , setiap lagu disertakan dengan props dan baju yang digabung suai. Pancaran lampu sorot menguasai setiap langkah mereka, mengikut kesesuaian lagu. Begitu juga dengan bunga api dan gimik-gimik yang menghilangkan terus rasa bosan penonton terhadap mereka.

Persembahan pembukaan oleh Sun Ye, 21, selaku ketua kumpulan, Ye-eun, 21, Sohee,18, Yoobin, 22, dan Hye Rim, 18, menerusi lagu So Hot, sejurus selepas tayangan video menyebabkan ramai penonton semakin kuat bersorak.

Pancaran laser cukup terancang mengikut tempo lagu menyebabkan ruangan dewan hampir tidak terkawal. Wonder Girls bijak bermain masa, pantas menawan peminatnya menerusi lagu I Wanna.

Dengan kacamata hitam dan lagak ala-ala askar, lima wanita itu mencipta kelainan melodi menerusi lagu Goodbye sebelum sesi memperkenalkan diri kepada khalayak dalam bahasa Melayu.

Ungkapan klise “Apa khabar Malaysia” dijadikan umpan untuk menawan penonton pada malam itu.

Kerusi berlabel WG di bahagian belakang menerusi lagu Nobody berentak balada, menjadi fokus utama penonton. Nyanyian penonton tiba-tiba terhenti tatkala Yoobin membawa rangkap rap yang mengagumkan. Cukup jelas dan membuatkan kehadiran penyanyi yang menggantikan anggota asal, Hyuna itu dirasai.

This Time yang didendangkan secara acapella lebih menyerlahkan kekuatan vokal mereka. Iyalah, empat lagu pertama mereka dilihat seperti menggerakkan bibir sahaja dengan menggunakan cordless. Tetapi kali ini mereka menggunakan mikrofon sebelum Yoobin mengambil pentas, mendendangkan lagu So Hot, lagu yang dinyanyikan popular Pink. Begitu juga dengan Sohee yang tidak mahu kalah dengan mempesonakan khalayak menerusi lagu Single Ladies (Beyonce). Langkah cukup seksi dengan memakai kasut tinggi berwarna putih memaku pandangan sebelum dia diiringi dengan empat rakannya.

Persembahan Dance Break dan Heahache tidak kurang hebatnya membuatkan penonton tidak terkawal. Aspek komunikasi turut dititik beratkan apabila Ye-un yang senang disapa Yenny sering berkongsi perasaannya.

“Adakah anda benar-benar rasa seronok dengan persembahan kami? Saya mahu anda gembira, itu yang saya mahu. Sebab itu kami memilih lagu yang dekat dengan anda,” kata pemilik nama sebenar Park Ye-eun ini.

You Fool yang cukup beremosi berjaya dihapuskan dengan lontaran lagu rancak Irony. Kali ini, konsep baju menggunakan korset diketengahkan sebelum Ye-eun menguasai pentas menerusi lagu Tainted Love.

Sun Ye yang lahir pada 12 Ogos 1989 ini menunjukkan warna diri sebenar dengan menyanyikan lagu You Raise Me Up, nyanyian Josh Groban. Dengan gaun putih yang diiringi kepulan asap, menyuntik kesan dramatik kepada persembahannya itu.

Kemuncak konsert Wonder Girls terletak kepada nyanyian I Tried apabila mereka turun ke depan pentas bersemuka dengan penonton terdekat. Nah, di sinilah kelihatan kelipan-kelipan lampu dari kamera merakam ahli kumpulan itu semakin menjadi-jadi.

Saying I Love You ditujukan secara tidak langsung buat seorang remaja lelaki yang dipilih secara rawak oleh Ye-eun. Drama kemesraan mereka di atas pentas itu sudah pasti menghangatkan hati segelintir penonton pada malam itu, bukan?

Wonder Girls memujuk penonton agar tidak sakit hati melihat kemesraan dengan remaja lelaki itu menerusi lagu 2 Different Tears menerusi tarian chicky sebelum diselangi dengan lagu Nobody versi rock. Single paling hangat, Tell Me menyebabkan ramai yang tidak senang duduk. Mereka menari bersama dengan Wonder Girls di tempat duduk masing-masing.

Kostum merah di penghujung acara menandakan saat perpisahan sudah menjelma. Himpunan lagu Nobody dalam versi bahasa Inggeris dan Cina yang disampaikan penuh perasaan. Ucapan dalam bahasa Melayu, “Kami suka Malaysia” yang juga sangat klise menjadi penutup pada malam penuh kenangan di Genting Highlands itu.

Utusan

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: