Klik: Pahit, Manis Hollywood

19 Dec

Peminat hiburan melihat 2010 tahun membosankan

KIAN mendekati detik akhir, dekad pertama era milenium menyaksikan persada hiburan Hollywood berdepan pelbagai cabaran baru yang menguji keutuhan semangat penggiatnya.
Aliran baru mendominasi industri hiburan, selain gosip hangat yang menjadi rencah memanaskan 2010 dengan pelbagai peristiwa pahit dan manis untuk dikenang.
Barangkali pemerhati industri hiburan Hollywood melihat 2010 sebagai tahun membosankan, namun 2011 yang bakal menjengah dijangka memberi sinar baru untuk lebih menyerlahkan kewibawaannya.

B’POP turut menyorot beberapa catatan yang memberikan impak kepada industri hiburan Hollywood sepanjang 2010.

Penghibur Terbaik: Eminem

Eminem memecah pasaran komersial sebagai rapper sedekad lalu mencetuskan pelbagai kontroversi apabila lirik nyanyiannya berkisar kepada keganasan rumah tangga, jenaka lucah selain mengecam selebriti seperti Christina Aguilera dan Moby.

Pergeseran dengan bekas isteri selain ketagihannya kepada dadah yang menjauhkan dirinya seketika daripada tumpuan umum, Eminem kembali dengan imej bersih bersama album terbarunya, Recovery.

Album itu memperlihatkan sisi kematangannya sebagai seorang penghibur, selain Recovery memperoleh 10 pencalonan untuk Anugerah Grammy yang akan berlangsung Februari depan.

Ia disifatkan pencapaian terbaik diraih seorang penyanyi yang pernah berdepan pelbagai isu kontroversi selepas beberapa tahun menyepi.

Lindsay Lohan dipenjara

Lindsay Lohan ialah contoh bintang remaja yang tewas dengan ujian sebagai selebriti dan terpaksa menerima hakikat populariti di Hollywood membunuh masa mudanya.

Lohan memulakan 2010 dengan catatan hitam, malah episod hidupnya semakin musnah. Mei lalu, Lohan tidak muncul di pengadilan kerana berpesta di Cannes menyebabkan hakim mengeluarkan perintah penangkapan tetapi dibebaskan dengan jaminan.

Lohan diwajibkan memakai gelang khas, menjalani ujian dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan untuk meredakan ketagihan alkohol.

Lohan dijatuhi hukuman penjara 90 hari dan dilanjutkan 90 hari tempoh pemulihan. Pada 24 Ogos lalu, Lohan dibebaskan.

Hidup Lohan diibaratkan seperti perjalanan sebuah drama panjang yang mengujakan khalayak untuk mengetahui apa kesudahannya.

Sandra Bullock bercerai

Beberapa hari selepas kemenangan pada Anugerah Oscar, malah sempat berterima kasih kepada suaminya atas pencapaian besarnya, Sandra Bullock menerima hukuman berat.

Kecurangan suaminya, Jesse James dengan penari bogel, Michelle McGee terbongkar selepas Bullock mengecap kejayaan sebagai Aktres Terbaik menerusi The Blind Side.

Biarpun skandal bekas suaminya heboh diperdebatkan, Bullock hanya berdiam diri sebelum akhirnya memberitahu dia bergelar ibu tunggal kepada Louise, anak angkatnya dari New Orleans.

Eva Longoria, Tony Parker berpisah

Enggan terus membiarkan dirinya menderita gara-gara sikap suami yang sentiasa berlaku curang, pelakon siri popular, Desparate Housewives, Eva Longoria memfailkan perceraian terhadap Tony Parker.

Rahsia kecurangan Parker terbongkar apabila Longoria menemui ratusan Kiriman Pesanan Ringkas (SMS) mesra daripada Eric Barry, isteri teman kepada bekas rakan sepasukannya di Spurs, Brent Barry.

Ia bukan kali pertama Parker bermain kayu tiga. Lima bulan selepas bergelar suami isteri, Parker menjalin hubungan dengan seorang model Perancis, Alexandra Paressant tetapi dimaafkan Longoria.

Foto bogel Miley Cyrus

Barangkali kanak-kanak yang membesar bersama Disney akan berubah apabila meningkat dewasa. Bintang Hannah Montana, Miley Cyrus juga tidak terlepas daripada tenggelam dalam keseronokan dunia hiburan Hollywood.

Cyrus ialah potret seorang remaja yang hidupnya sarat pemberontakan. Bermula dengan pakaian tidak senonoh yang digayakan sewaktu membuat persembahan, Cyrus ditemui mabuk ketika berada di Madrid.

Tidak lama selepas itu, pemilik album Can’t Be Tamed ini mengejutkan peminat apabila foto bogelnya beredar di dunia maya.

Cyrus kembali menggemparkan peminatnya apabila video gadis berusia 18 tahun itu menghisap rokok di tempat terbuka tersebar.

Perbuatannya itu menyebabkan bapanya terpaksa bertindak dengan memohon maaf di laman Twitter.

Musibah dadah Paris Hilton

Gadis yang gila berpesta itu menggemparkan peminat apabila ditahan polis Afrika Selatan selepas menemui ganja dalam kereta yang ditumpangnya. Hilton bagaimanapun dibebaskan.

Dua minggu selepas itu, nama Hilton sekali lagi menjadi tajuk akhbar apabila anjing pengesan menghidu aroma dadah ketika dia berada di Corcisa.

Sekali lagi, Hilton disoal-siasat namun dibebaskan. Ogos lalu, Hilton ditangkap bersama teman lelakinya, Cy apabila kokain ditemui dalam tas tangannya ketika berhibur di Las Vegas.

Lady Gaga berjuang untuk gay

Lady Gaga sudah membuktikan kewibawaannya untuk diangkat sebagai artis terbaik tahun ini. Dia meraih pencapaian sebagai bintang yang pernah menjulang trofi Anugerah Grammy.

Pada 2010, Gaga menyatakan pendiriannya dan berehat daripada konsert jelajahnya The Monster Ball yang mencatat kutipan tinggi untuk menyertai perhimpunan di Maine untuk pemansuhan polisi terhadap kaum gay, Don’t Ask Don’t Tell.

“Persamaan adalah hak semua insan. Saya berkongsi hubungan yang istimewa dengan peminat dan saya bersuara supaya undang-undang itu diakhiri,” katanya.

Speak Now lakar sejarah Taylor Swift

Taylor Swift mencatat sejarah dalam industri muzik menerusi kelahiran album ketiganya, Speak Now, Oktober lalu. Ia melakar pencapaian terbaik sebagai album pertama mencecah jualan satu juta unit pada minggu pertama dipasarkan selepas Tha Carter III milik Lil Wayne pada Jun 2008.

Album itu juga berada dalam senarai lapan album terlaris sepanjang 2010, selain diumumkan sebagai album country kedua terbesar untuk tahun ini.

Speak Now juga menjuarai pasaran digital sebagai album paling laris, malah penjualannya mengatasi Viva La Vida milik Coldplay yang diedarkan pada Jun 2008.

Dalam galur irama country, Swift memegang rekod penjualan terbesar selepas memadamkan sejarah yang diciptanya menerusi album Fearless.

The Beatles ke dunia digital

Katalog lagu The Beatles akhirnya boleh dimuat turun peminat menerusi iTunes. Sehingga ini, lebih 450,000 peminat membeli album kumpulan popular British itu untuk berada dalam simpanan mereka. Lima lagu yang mencatat jumlah muat turun tertinggi adalah Here Comes The Sun, Come Together, Let It Be, In My Life dan Blackbird.

The Social Network filem terbaik 2010

Filem The Social Network mendedahkan kepada dunia pencipta laman sosial, Facebook, Mark Zuckerberg. Filem yang menceritakan mengenai asal usul penubuhan laman sosial popular itu mendaki tangga pertama pada dua minggu awal ditayangkan.

The Social Network mengumpul kutipan RM526.7 juta di seluruh dunia. Biarpun pengkritik meletakkan The Social Network sebagai filem terbaik 2010 namun pembikinannya tetap menjadi perdebatan.

Mereka yang dekat dengan Zuckerberg menyifatkan filem itu tidak mencerminkan siapa lelaki itu yang sebenar.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: