Music Mapping Tema AJL25

19 Dec

TV3 terjemah perjalanan muzik tempatan dalam majlis anugerah pada 9 Januari

MUSIC Mapping menjadi tema yang dipilih dalam meneruskan kelangsungan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 pada 9 Januari depan. Signifikannya ia menterjemahkan transisi dan perjalanan muzik di negara kita sejak dulu hingga sekarang. Lebih dua dekad penganjurannya, AJL menjadi sebuah acara yang dinanti-nantikan.
Saban tahun anugerah yang menjadi kebanggaan stesen TV3 dan Media Prima Berhad itu terus menjadi pencetus aliran muzik di negara kita. Malah ia turut menjadi satu tradisi pemecah revolusi seni dengan kebangkitan pelbagai generasi dan genre muzik.
Tahun ini, sekali lagi mandat sebagai hos akan dipikul Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar. Dalam 14 penyertaan finalis AJL-25 kali ini, Faizal Tahir menjadi peserta tunggal yang mempertandingkan dua buah lagu iaitu Hanyut dan Selamat Malam.

Sejak kebelakangan ini juga ada yang meramal Faizal Tahir bakal diangkat untuk kategori yang menjadi rebutan ramai iaitu Juara Lagu. Tetapi jangan diperkecilkan finalis lain yang tidak mustahil akan memberikan kejutan sekali gus disaksikan penonton TV3 di rumah dan di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kehadiran Yuna yang mencipta fenomena kebelakangan ini termasuk meraih anugerah berprestij di negara kita tidak wajar dipandang sepi. Begitu juga dengan finalis lain seperti Black, Ana Raffali, Adira, Stacy, Shahir, API, Hujan, Meet Uncle Hussain, Bunkface, Hafiz dan Tomok.

Malah saat ini juga sudah tersebar mengenai artis yang bakal membuat persembahan selingan pada malam itu. Salah satu yang kedengaran ialah persembahan mewakili tiga zaman iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza. Jika benar bagai dikata, ia pastinya antara yang bakal mencuri limelight pada malam itu.

Harus diingat, 14 buah lagu yang dipertandingkan diadili dengan 70 peratus daripadanya dinilai lebih awal dan 30 peratus pula diukur pada prestasi persembahan yang ditunjukkan finalis pada malam kemuncak. Begitu juga untuk kategori Vokal dan Persembahan Terbaik yang turut dinilai pada malam persembahan.

AJL-25 bakal dipancarkan secara langsung di TV3 pada jam 9 hingga 11.30 malam. Acara Red Carpet akan diadakan pada jam 7.30 malam sebelum acara kemuncak berlangsung dan boleh ditonton secara maya di laman sesawang, http://www.tv3.com.my/ajl25. Ia turut mendapat tajaan Hotlink.

Pertandingan Tiru Gaya Pemenang AJL juga diadakan dan boleh diketahui dengan melayari laman portal rasmi AJL-25. Mereka yang berminat boleh menghantar klip video menarik, kreatif dan berpeluang untuk memenangi wang tunai RM5,000 di samping mendapat undian terbanyak.

Acara ground event akan diadakan pada sebelah siang di Stadium Putra Bukit Jalil bermula jam 3 petang anjuran Hot FM yang bertindak sebagai stesen radio rasmi AJL-25. Pertandingan Pop Kuiz AJL juga diadakan dan terbuka kepada orang ramai dengan ganjaran hadiah menarik kepada pemenang.

Giliran Artis Membuat Persembahan AJL-25

1) Cinta Sempurna, Yuna (ciptaan dan lirik oleh Yuna)

2) Berlari, Tomok (Tomok, Shazee Ishak)

3) Pelita, API (Loque)

4) Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Shahir (Edry Abdul Halim)

5) Drama King, Meet Uncle Hussain menampilkan Black (Taja, Tun Teja)

6) Noktah Cinta, Hafiz (Ajai, Shah Qalam)

7) Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali (Ana Raffali)

8) Selamat Malam, Faizal Tahir (Audi Mok, Faizal Tahir)

9) Ku Ada Kamu, Adira (Edry Abdul Halim)

10) Ekstravaganza, Bunkface (Sam Bunkface, Bunkface)

11) Sofea Jane, Black (Sham Kamikaze, Iswandy, Farril)

12) Hanyut, Faizal Tahir (Audi Mok, Faizal Tahir)

13) Jahat, Stacy (Edry Abdul Halim)

14) Mencari Konklusi, Hujan (Noh Hujan)

Hadiah AJL-25

‘ Juara Lagu memenangi trofi dan wang tunai RM35,000

‘ Naib Juara, trofi dan wang tunai RM15,000

‘ Tempat ketiga, trofi dan wang tunai RM12,000

‘ Persembahan dan Vokal Terbaik masing-masing bakal memenangi trofi dan wang tunai RM10,000

Trivia AJL

Penulis lirik, Habsah Hassan adalah penulis lirik yang paling banyak mempunyai pencalonan lagu dalam AJL.

M Nasir adalah satu-satunya komposer, penulis lirik dan penyanyi yang masih terus bertanding di AJL sejak tahun 1990

Setelah juara 1990, Aishah kembali Juara dengan lagu Cinta Beralih Arah pada tahun 1995. Setelah 12 tahun menyepi, Aishah kembali tahun ini, AJL 22. Kali ketiga, adakah Aishah akan menjadi Juara sekali lagi?

TV3 memperkenalkan tiga kategori, Irama Malaysia, Pop Kreatif, Rock bermula tahun 1992.

Lokasi AJL yang menjadi gelanggang kepada artis dan penggubah tanah air beradu bakat pernah diadakan di Dewan San Choo di Wisma MCA; Auditorium Besar Angkasapuri RTM; Sri Pentas Dua; Dewan Bandaraya Shah Alam; Dewan Merdeka, PWTC; dan Stadium Putra Bukit Jalil.

Antara pengacara-pengacara yang pernah menjayakan AJL ialah Abas Bakar, Karim Muhammad, Noor Kumalasari, Azwan Ali, Charmaine Augustine, Aznil Nawawi, Fauziah Ahmad Daud, Melissa Saila, Najib Ali, Rina Khan, Intan Rozila, Normala Samsuddin, Sarimah Ibrahim, Aidiel Abu Ghaffar, ND Lala, Salleh Yaakob, Kelvin Ong, Zalina Azman, Shamsul Ghau Ghau, Anne Hamid, Ary Malik, Intan Suraya, Fara Fauzana dan Amy Mastura

Anugerah Vokal Terbaik hanya mula dipertandingkan mulai tahun 2002 iaitu mulai AJL 17

Kumpulan Exist menjadi band yang paling kerap ke AJL dengan 4 penyertaan menerusi Untukmu Ibu (1992), Anugerah (1994), Julia (2002) dan Percayakan Siti (2004)

Endang S Taurina satu-satunya penyanyi luar negara yang pernah bertanding dalam AJL iaitu lagu Sangkar Emas pada 1991.

Antara artis yang mempunyai 2 pencalonan dalam sejarah AJL ialah Siti Nurhaliza (kategori Balada, Kau Kekasihku & Nian di Hati), Noraniza Idris (Kategori Irama Malaysia/Etnik Keratif, Tinting & Ngajat Tampi), Amy Mastura (Kategori Pop Rock, Bintang Hati & Sha Na Na), Jaclyn Victor (Kategori Balada, Gemilang & Wajah) dan Faizal Tahir (Kategori Balada, Mahakarya Cinta & Kasih Tercipta)

Hanya dua artis saja yang pernah memenangi AJL sebagai pengubah lagu, penulis lirik dan penyanyi iaitu M Nasir dengan lagu Andalusia 1999 dan Yassin dengan lagu Mimpi Laila 2001.

Aishah menjadi pelopor bagi penyanyi yang memperkenalkan persembahan dengan menggunakan ‘props’ pada 1990 dengan lagu Janji Manismu. Aishah menggunakan meja, lampu, gambar dan sebuah beg besar.

Hanya tiga saja penyanyi veteran yang pernah menyertai AJL iaitu Allahyarhammah Rosiah Chik, M Daud Kilau dan Aspalela Abdullah.

Siti Nurhaliza, artis paling kerap layak ke AJL bermula dari 1996 sehingga 2003. Malah Siti mengungguli rekod dengan layak ke AJL bagi 8 tahun berturut-turut. Bilangan lagu yang dinyanyikan Siti Nurhaliza juga yang terbanyak layak ke AJL dengan 17 buah lagu bagi 8 tahun.

Liza Hanim menjadi penyanyi pertama yang dinobatkan sebagai Vokal Terbaik pada 2002 iaitu dengan lagu Gelisah Mimpi

Selama 11 tahun berturut-turut (1986 hingga 1996) Juara Lagu dimenangi lagu daripada genre Balada saja. Namun 1997, Ghazal Untuk Rabiah memecahkan monopoli lagu balada ini. Lagu nyanyian M Nasir dan Jamal Abdillah ini di golongkan dalam kategori Etnik Kreatif. Bermula dari situ, lagu Etnik Kreatif mula bersinar. Cindai (Juara Lagu 1998), Hati Kama (1999), Balqis (2000) dan Mimpi Laila (2001).

Allahyarham Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik pada AJL 1987 dengan keadaan set yang gelap dan pemetik api saja menerusi lagu Merisik Khabar.

Lagu Sinaran nyanyian Ratu Jazz, Sheila Majid terkandas pada peringkat separuh akhir tahun 1987. Sejak itu, Sheila tidak mencalonkan lagi lagu nyanyiannya.

Kali pertama Anuar Zain muncul untuk AJL bukan sebagai penyanyi tetapi muncul dalam persembahan Siti Nurhaliza menerusi lagu Jerat Percintaan, AJL 1996. Anuar Zain ketika itu berdiri di belakang kerusi dengan tangannya di ikat. Lagu itu turut dinobatkan sebagai Juara Lagu biarpun hakikatnya Datuk Siti Nurhaliza pada awalnya ingin menarik diri kerana sedang berdepan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Pada 2001, TV3 untuk kali pertama tampil dengan gagasan baru melalui AJL. Dengan tema ‘Terbaik Dari Malaysia Ke Pentas Dunia’ hasrat TV3 untuk membawa muzik tempatan ke mata dunia luar baru bermula.

AJL 1998, Ziana Zain berentap dengan adiknya Anuar Zain. Ziana Zain lagu, Puncak Kasih dan Anuar pula Bila Resah.

Hot FM adalah stesen radio rasmi yang ketiga menyiarkan secara langsung AJL

selepas THR dan ERA

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: