Rosyam Salahkan Tenaga Pengajar?

19 Dec

Tidak puas hati prestasi 16 peserta Pilih Kasih musim kedua

ROSYAM Nor ‘mengamuk’ lagi. Kali ini bukan sebab soal bisnesnya tetapi lebih kepada program Pilih Kasih musim kedua yang sudah pun membuka tirai pada Sabtu lalu di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang. Suasana lebih tegang apabila suara lantang Rosyam Nor, pelakon terkenal merangkap penerbit rancangan realiti itu, menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada kesemua 16 peserta Pilih Kasih itu.
Difahamkan aktor popular itu sangat kecewa dengan persembahan mereka yang seperti biasa menjalani latihan setiap minggu untuk monolog, drama dan teater bersama tiga pengarah terkenal yang berbeza iaitu Hamzah Tahir, Aziz M. Osman dan Erma Fatima.
Baginya ketiga-tiga tenaga pengajar inilah yang bertanggungjawab untuk membentuk dan mencungkil bakat yang ada pada setiap peserta. Jika bagus persembahan yang ditunjukkan, maka baguslah pengajarannya dan jika sebaliknya, ini menunjukkan kecacatan yang ada pada cara pengarah ini dalam mendidik peserta ini.

‘Saya amat tidak berpuas hati dengan persembahan mereka dan ketiga-tiga pengarah ini patut memainkan peranan untuk mendidik mereka dengan lebih baik.

Dalam melahirkan bakat baru yang berkualiti, tenaga pengajar perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya dan bukan hanya mengajar sambil lewa.

“Peserta Pilih Kasih ini ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan acuan yang betul dan pengarah inilah yang perlu melakukan yang terbaik untuk mendidik mereka sampai mereka menguasai segala-galanya dengan baik,” tegasnya.

Sekalipun tidak berpuas hati dengan prestasi peserta, Pentas Pertama Pilih Kasih musim kedua turut dikejutkan dengan suatu keputusan yang tidak diduga daripada Rosyam Nor dengan mengumumkan bahawa tiada penyingkiran dibuat.

‘Pada pendapat saya, kesemua peserta ini berada di paras yang sama dari segi persembahan mereka. Walaupun sudah dimaklumkan dengan kedudukan tiga paling bawah melalui khidmat pesanan ringkas pada minggu ini, saya berpendapat kesemua 16 peserta ini sama saja.

‘Keputusan ini juga dibuat atas dasar untuk memberi peluang sekali lagi kepada semua peserta untuk mempertingkatkan lagi usaha dan mutu persembahan mereka untuk minggu akan datang. Program ini diperkenalkan untuk melahirkan bakat baru yang bagus dan bukan hanya untuk menyingkirkan peserta ini satu-demi satu,” katanya.

Minggu pertama Pentas Pilih Kasih 2 turut menyaksikan kesemua peserta cuba memberi persembahan yang terbaik dalam tiga segmen yang berbeza iaitu monolog, drama dan teater. Namun, adakah sejarah Pilih Kasih musim pertama akan berulang dengan diungguli peserta lelaki?

Melalui persembahan Pentas Pilih Kasih yang pertama Sabtu lalu dapat dilihat bahawa peserta lelaki lebih menyerlah berbanding peserta wanita. Di dalam persembahan teater berjudul Setan Punya Ali yang dipersembahkan malam itu, kelihatan dengan jelas peserta lelaki lebih menonjol.

INFO:

Mereka yang berminat untuk menonton Pilih Kasih secara langsung, datanglah ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang setiap Sabtu untuk sama-sama menyaksikan kehebatan peserta Pilih Kasih ini dalam menonjolkan bakat lakonan mereka.

Cenderahati dan cabutan bertuah juga disediakan untuk semua penonton yang datang ke auditorium dan hadiah yang menarik menanti penonton.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: