Sorotan 2010: Cerita Panas, Sensasi

19 Dec

Rentetan peristiwa suka duka hias dada akhbar

SEGALA yang tertulis tidak mampu dipadamkan lagi, malah akan kekal dalam ruang ingatan selama hayat dikandung badan.
Pahit atau sebaliknya, semua pengalaman itu mendewasakan seseorang insan seni yang menerima kekhilafan dan kelemahan sebagai titik tolak yang mematangkan perjalanan hidup.
Biar seluruh semesta mentertawakan kesilapan itu kerana tiada siapa akan pernah tahu, nikmat kemanisan yang dijanjikan kepada mereka yang kuat menempuh cabaran. Barangkali 2010 membawa perkhabaran kurang enak, mungkin juga merobek hati namun 2011 pasti menemukan sesuatu yang manis untuk dikenang.

Berikut antara rentetan peristiwa yang pernah menjadi topik hangat di dada akhbar sepanjang 2010.

Duka perpisahan:

SEKIAN lama cuba menyembunyikan keretakan rumah tangga yang dibinanya selama 10 tahun bersama Kamal Roslim, Ramlah Ram akur ketentuan Tuhan apabila ia menemui titik akhir pada 20 Mei lalu.

Kamal melafazkan talak satu kepada Ramlah di Mahkamah Syariah Shah Alam, sekali gus mengakhiri tanda tanya mengenai status penyanyi Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) itu.

Ramlah dan Kamal yang bertugas sebagai penerbit di Bahagian Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bernikah pada 3 November 2000 di Masjid Kesang, Muar, Johor.

APAKAH benar kerana badi program Sehati Berdansa, satu persatu pasangan yang menyertai rancangan realiti itu mengambil keputusan untuk berpisah?

Berita perceraian pelakon, Anne Ngasri yang bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan antara insiden paling menggemparkan sepanjang 2010.

Ketika perceraian itu diputuskan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Anne sedang hamil lima bulan anak ketiga mereka.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan tiga lafaz cerai diucapkan Abdul Wafi, 29, di tempat dan masa berlainan terhadap Anne atau nama sebenarnya, Anne Ngasri, 26, sebagai sah dengan talak satu bagi setiap lafaz.

Anne yang ditemui di luar mahkamah kelihatan tenang dan berkata: “Saya sudah bersedia. Saya sudah tahu apa yang terjadi dan saya percaya masih ada hikmahnya.”

EPISOD tegang rumah tangga pelakon, Badrul Muhayat dan Julia Daud berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat mengesahkan mereka bercerai talak satu pada 22 September lalu.

Babak hitam rumah tangga mereka bermula apabila Badrul Muhayat bertindak kejam dengan sanggup mengasari isterinya dan merampas wang jaminan mahkamah RM2,500 sebelum melarikan diri pada pertengahan Julai lalu.

Kejadian itu membuatkan Julia terkilan dan menutup pintu hatinya serta tidak memaafkan Badrul yang sebelum itu berjanji akan berubah.

Julia seterusnya membuat laporan polis sebelum nekad membuat tuntutan cerai kerana sudah tidak tahan menempuh kehidupan bersama pelakon terbabit sejak empat tahun mereka berkahwin.

Sensasi dan diperkatakan

Aktor dan pengacara, Rosyam Nor panas punggung dan tertekan apabila e-mel layang yang mengatakan dirinya sebagai penipu beberapa ahli yang bernaung di bawah jenama Rosyam Nor Group (RNG).

Rosyam berkata, tuduhan itu terlalu berat untuk diterimanya sepanjang 25 tahun bergelar artis malah turut mengguris perasaan keluarganya.

Ekoran laporan itu, kepercayaan ahli yang menceburi perniagaan menjual produk kesihatan, Power Impian itu merosot dan bisnesnya terjejas teruk.

“Sejak laporan itu dibuat, perniagaan saya terjejas teruk. Saya tidak bodoh melakukan perkara ini dan pembabitan saya dalam perniagaan ini adalah cara membalas sokongan peminat dengan membantu menerusi perniagaan bersama,” katanya pada sidang media khas, 25 Jun lalu.

Rosyam menegaskan Power Impian mendapat lesen perniagaan pada 8 Januari lalu dan menjalankan operasi sejak 13 April lalu.

Katanya lagi , dia turut melabur RM300,000 untuk menjalankan perniagaan itu termasuk membeli iklan serta mempunyai pejabat sendiri.

DATUK AC Mizal juga melalui getir ujian apabila AC Konsortium yang memperkembangkan perniagaan dengan menawarkan pinjaman melalui koperasi sah menjadi mangsa fitnah hingga mencalar nama baiknya.

AC Mizal, 39, turut membuat laporan polis pada 8 November lalu selepas mendakwa menerima ugutan melampau serta pelbagai fitnah yang ditulis dalam beberapa laman blog dipercayai dilakukan pesaing dalam perniagaan bagi memusnahkan perniagaannya.

Terdapat lima laman web yang dikaitkan memburuk-burukkan nama dan syarikat artis itu yang tersebar melalui Internet sejak Oktober lalu.

Selain membuat ugutan kepada AC Mizal, penulis blog berkenaan melemparkan ugutan kepada pekerja serta kakitangan syarikat AC Mizal yang didakwa melakukan penipuan berhubung harga kos dan harga jualan produk syarikatnya.

AC Mizal turut dituduh menipu pengguna mengenai testimonial daripada pesakit yang menggunakan produk gelang tangan diedarkan syarikat itu.

PUBLISITI murahan untuk mencipta populariti? Mungkin itu yang bermain di fikiran peminat filem Melayu apabila pelakon baru, Arja Lee mengaku berbogel dalam satu babak filem lakonannya, …. Dalam Botol.

Belum pun reda kehangatan pengakuan Arja Lee, penyanyi dan pelakon Zul Handy Black pula mencetuskan kontroversi sama dalam filem seram, Mantra terbitan MIG Productions. Menerusi filem arahan Azhari Zain itu, Zul atau nama sebenarnya Nurzul Suphia’an, 35, dikatakan sanggup berbogel dengan menampakkan seluruh belakang tubuhnya termasuk punggung dengan jelas bagi menjayakan babak Muzir (pelakon utama Mantra) mengamalkan ilmu hitam.

Ekoran pengakuan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak bertanggungjawab meneliti adegan bogel yang dilakonkan Arja Lee.

Jamil berkata, perlakuan itu tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan norma masyarakat serta ditegah agama Islam walaupun ia bertujuan menyedarkan masyarakat.

BERSARA atau tidak? Itu antara persoalan yang terus menjadi tanda tanya kepada pemerhati industri hiburan selepas pelakon jelita, Rozita Che Wan mengumumkan mahu meninggalkan dunia lakonan.

Selepas empat tahun berlakon dan membintangi puluhan drama dan beberapa filem, ibu tunggal dua cahaya mata itu mengakui tidak mampu lagi berdepan cabaran sebagai insan seni.

Pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui sudah muak berhadapan dengan pelbagai kontroversi, malah tidak mampu lagi menerima kejutan setiap kali cerita tidak benar mengenai dirinya terpampang di akhbar.

Rozita bagaimanapun, masih dilihat aktif di lokasi penggambaran untuk menyudahkan beberapa lagi drama yang terlebih dulu dipersetujuinya.

“Saya terlalu penat dan tidak mampu lagi untuk terus berlakon. Malah saya rasa bersalah kerana sepanjang empat tahun ini, saya tidak punya masa untuk anak dan mungkin tiba masanya buat saya menjadi ibu sepenuh masa dan hanya menjalankan perniagaan sendiri,” kata Rozita mengenai keputusannya itu.

Selain selalu dikaitkan dengan hubungan cinta dengan VIP, sejak akhir-akhir ini juga gosip bertiup kencang mengenai hubungan Rozita dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir. Namun, Rozita dengan pantas menepis gosip itu sambil mengatakan dia masih ‘waras’.

SEMUANYA tercetus sebagai luahan rasa tidak puas hati Ammar Alfian Aziz terhadap laporan gosip yang ditulis wartawan mengenai insiden tegang antara dia dengan kekasihnya, pelakon Puteri Sarah Liyana ketika majlis prebiu filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie.

Model yang juga pelakon siri Tari Tirana itu dengan penuh emosi menulis kata-kata kesat, malah berbaur ugutan terhadap seluruh wartawan di Malaysia, terutama wartawan hiburan menerusi laman Facebook.

Ammar dikatakan tidak puas hati dengan tindakan seorang jurugambar yang mahu mengambil gambarnya di majlis itu selain marah apabila Sarah dilihat beraksi mesra dengan Nabil Raja Lawak sewaktu gambar mereka berdua dirakam bersama.

Kekeruhan itu bagaimanapun dijernihkan semula apabila Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengadakan sidang media untuk menemukan wartawan dengan Ammar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 Mac lalu.

KENYATAAN keras pelakon dan pengacara, Wardina Saffiyah yang membidas selebriti Malaysia tidak layak digelar ikon menimbulkan kemarahan ramai artis.

Kenyataan itu dikeluarkan Wardina ketika menjadi ahli panel dalam program bual bicara di ruang legar pusat beli belah KB Mall, Kota Bharu, pada Februari lalu.

Wardina yang bercakap menerusi pengalamannya sendiri berkata dunia artis dipenuhi dengan keburukan berbanding kebaikan dan banyak bersandarkan kepada keseronokan.

Katanya ada kalangan artis menghabiskan masa di kelab malam, mengambil dadah, minum arak dan terdedah kepada pergaulan bebas di luar batasan.

Aktres popular, Umie Aida mengakhiri zaman daranya apabila melangsungkan pernikahan di Kota Suci Makkah pada 14 Mac lalu.

Umie atau nama sebenar Umi Khalsum Rah
mad Ali bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di hadapan Kaabah, Masjidilharam, rumah ibadat paling agung buat umat Islam dengan sekali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan jurunikah, Maruwan Zakaria dan diwalikan abangnya, Ahmad Reedzuan. Pada majlis itu, Umie menerima wang mas kahwin sebanyak Saudi Riyal 1,818.18 (kira-kira RM1,663.63) dan sebentuk cincin berlian.

IMPAK kemenangan Syamsul Yusof sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 membangkitkan pergeseran mulut antara anak kesayangan pengarah jutawan, Datuk Yusof Haslam dan pengarah serta pelakon, Farid Kamil.

Pergeseran itu bertitik-tolak daripada kenyataan Farid yang mempertikaikan kemenangan Syamsul sebagai Pengarah Terbaik pada malam itu.

Syamsul yang kebingungan kerana dikritik tidak pasti mengapa Farid perlu mempersoalkan kemenangannya apabila keputusan sudah termaktub.

“Setahu saya, kami memang tiada isu peribadi. Jadi, apabila diberitahu Farid menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap kemenangan saya, sejujurnya perkara itu benar-benar mengelirukan,” katanya.

Syamsul turut menyangkal dakwaan mereka mempunyai masalah peribadi ekoran Farid kini menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, Diana Danielle selepas hubungan mereka putus pada hujung 2008.

Diana selepas sekian lama berteka-teki akhirnya membuka mulut dan membuat pengakuan mencintai Farid yang disifatkannya sebagai lelaki yang bijak, sempoi, kuat bekerja dan dedikasi.

BERITA mengenai ‘kehilangan’ juara One In A Million musim kedua, Norayu Damit menimbulkan tanda tanya peminat hiburan tanah air. Apatah lagi ada angin bertiup kencang mengatakan bahawa anak kelahiran Sabah ini sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka Perak.

Semakin menguatkan lagi bualan kalangan media apabila Norayu yang mesra dipanggil Ayu sukar untuk dihubungi untuk sebarang temu bual atau sesi fotografi. Pihak pengurusannya juga mengakui sukar untuk menghubungi Ayu.

Tiba-tiba Ayu muncul semula sambil mengesahkan bahawa memang dia sudah menjadi isteri orang dan kini sudah mempunyai seorang anak. Itu pun kerana dia mahu aktif semula dalam bidang seni yang amat dicintainya iaitu nyanyian. Semoga berjaya Ayu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

Saman dan mahkamah:

PELAKON dan pengacara, Fahrin Ahmad pada 25 Januari lalu memberi tempoh tujuh hari kepada penyampai radio Suria FM, Linda Onn untuk membuat permohonan maaf sebelum tindakan undang-undang diambil ke atasnya.

Diwakili peguam bela Tengku Naufal Tengku Mansor daripada Tengku Naufal & Co, Fahrin membuat empat tuntutan ke atas penyampai radio yang juga seorang usahawan iaitu membuat permohonan maaf secara jelas, penarikan semula kenyataan secara terbuka yang disiarkan dalam akhbar, aku janji tidak mengulangi kenyataan memburukkan Fahrin Ahmad dan tuntutan kos ganti rugi.

Fahrin yang tidak dapat menahan sebak berkata, tindakan saman terhadap bekas kekasihnya itu diambil selepas mengambil kira tindakan Linda yang disifatkan melampau serta dilihat sengaja memalukan dirinya dan keluarga.

Selepas mendengar nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Fahrin menangguhkan hasratnya itu namun ruang perdamaian antara mereka hingga ini masih belum menemui titik penyelesaian.

Bintang Pop

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: